Saturday, April 16, 2011

Peka Masalah Lelaki


LEMAH syahwat, mati pucuk atau erectile dysfunction (ED), sudah terlalu kerap kita dengar namun tidak ramai yang begitu peka dengannya.

Silap jika ada yang menganggapnya masalah kesihatan semata-mata sebaliknya apa yang lebih dibimbangi, ia sebenarnya antara gejala awal penyakit kardiovaskular yang lazimnya berlaku seiring dengan diabetes, darah tinggi atau hipertensi, kolesterol tinggi selain penyakit jantung.

Kebimbangan peningkatan kes ini ditegaskan dalam bancian terbaru di Amerika Syarikat, Second Princeton Consensus on Sexual Dysfunction and Cardiac Risk yang menasihati lelaki mengalami ED dirawat sebagai pesakit jantung sehingga dibuktikan sebaliknya.

Dalam satu kajian berasingan juga di Barat, membabitkan 147 pesakit mendapati purata jarak waktu antara permulaan ED dan Penyakit Arteri Koronari ialah 38.8 bulan (lebih sikit dari tiga tahun). Ini membuktikan bahawa ED harus dirawat, bukan dibiarkan begitu saja.

Pengarah Perubatan Pfizer di Malaysia dan Singapura, Dr Vicknesh Wellupillai, menjelaskan kebimbangan itu mencetuskan idea kepada usaha sama syarikat berkenaan bersama Celebrity Fitness mengadakan kempen dengan slogan Make A Stand, untuk memberi kesedaran kepada kaum lelaki semua peringkat usia.

Kempen ini menawarkan maklumat dan garis panduan mengenai cara mengesan ED pada peringkat awal di cawangan Celebrity Fitness tertentu di seluruh negara. Malah, lokasi ini turut dilengkapi modul Make A Stand yang ditempatkan di bilik persalinan lelaki bagi menggalakkan kesedaran mengenai kesihatan seksual dan kesihatan tubuh secara keseluruhan.
“Kempen Make A Stand menumpukan keperluan mendapatkan nasihat doktor pada peringkat awal sekiranya mengesyaki mereka mengalami ED atau kerap tidak mendapat ketegangan maksimum.

“Modul mudah difahami itu diletakkan dalam bilik persalinan lelaki untuk membolehkan mereka membezakan peringkat ketegangan berlainan melalui ujian sentuhan mudah yang dapat memberikan maklum balas di mana kedudukan mereka dalam ujian ‘Skor Kekerasan Ereksi’ (EHS),” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Celebrity Fitness Bangsar Village, baru-baru ini.

EHS mudah digunakan dan mengukur secara tepat ereksi dengan skala satu hingga empat dengan empat skor maksimum.

Kaedah ini disahkan mengikut Indeks ED Antarabangsa yang juga alatan klinikal yang mudah.

“Lelaki yang mengalami ED boleh menggunakan skala berkenaan untuk menilai tahap seriusnya penyakit mereka disamping memantau kesan rawatan yang dijalani. EHS juga memberikan objektif rawatan yang jelas dan terperinci untuk mendapatkan ereksi yang berkualiti,” kata Dr Vicknesh.

Kajian mengenai kesihatan seksual dan kesihatan keseluruhan di kalangan lelaki dan wanita Asia Pasifik menunjukkan 62 peratus lelaki di Malaysia tidak berpuas hati dengan kehidupan seksual mereka manakala 40 peratus lagi dilaporkan mengalami ereksi suboptimum di antara gred satu hingga tiga di dalam EHS.

“Lelaki yang mengalami ereksi suboptimum dan mendapat rawatan awal menunjukkan peningkatan ketara di dalam kepuasan seksual secara keseluruhan,” katanya.

INFO: ED
  • Mati pucuk merujuk ciri-ciri kegagalan alat kelamin lelaki untuk menegang atau mengekalkan ketegangan sehingga mencapai kepuasan seks.
  • Dari sudut budaya ia berkait rapat dengan kesuburan, kejayaan, dan kelelakian hingga memberi kesan psikologi serius termasuk perasaan malu, hilang harga diri atau rendah diri.
  • Sekitar satu bagi setiap 10 lelaki akan mengalami lemah tenaga batin berulang pada satu ketika dalam hidup mereka
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my

Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment