Monday, April 4, 2011

Sedekah Pintu Barakah



KALA memandu dari Bulatan Pahang menuju Ke Jalan Kuching di ibu kota, sekali-sekala cuba alihkan pandangan ke sebelah kiri jalan. Di atas sebuah bangunan di situ, ada sebuah papan besar yang menempatkan sebuah iklan. Ilustrasinya mudah, ada sekaki payung yang besar dengan tulisan berbunyi: 'Bentengilah harta anda dengan zakat.'

Sebenarnya, kalimah tersebut adalah daripada sepotong hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang berbunyi: "Lindungi harta kamu dengan zakat, ubati sakitmu dengan sedekah, dan hadapi gelombang hidup dengan tawaduk kepada Allah dan doa (riwayat al-Baihaqi)."

Konotasinya mudah, untuk menjaga harta dan memastikan ia selamat, maka sedekahkan harta itu. Hakikatnya, zakat juga adalah sedekah, yakni sedekah yang wajib. Menahan harta daripada disedekahkan pula, adalah lawan kepada kehendak hadis tersebut.

Dalam erti kata lain, sikap enggan berzakat dan bersedekah, adalah punca rosaknya harta.

Memang ada orang yang khuatir dengan bersedekah atau berzakat, maka hartanya akan menyusut. Makin banyak diberi sedekah, semakin banyak pula hartanya beralih tangan.

Jika memberi seringgit dua tidak mengapa, bagaimana pula jika jumlahnya mencecah ratusan malahan ribuan ringgit.

Pernah terjadi, setelah penulis membantu mengira zakat seseorang, tiba-tiba dia minta tangguh menunaikannya. Alasannya mungkin tidak cukup wang. Tetapi, rasionalnya jika sudah tahu mahu mengira zakat, jika sudah sedar hartanya banyak, maka siapkanlah wang dengan jumlah yang sesuai. Masakan minta dikira zakatnya sedang wang masih tiada.

Pernah terjadi, seorang hamba Allah yang pada awalnya beria-ia mahu menunaikan zakat. Alih-alih setelah mengetahui jumlah zakatnya agak besar, mulalah berubah rona wajahnya. Mula terketar-ketar suara dan tangannya.

Rupa-rupanya, si dia merasa terkejut dengan zakat yang perlu dilunaskan. Fikirnya hanya beberapa puluh ringgit; tidak disangka jumlahnya setinggi bukit.

Syaitan dan iblis memang sentiasa membisik-bisikkan perasaan sayang kepada harta. Syaitan tahu, jeratnya selalu mengena. Maka, tatkala si hamba yang berharta mahu mengeluarkan zakat dan sedekah, mulalah si Iblis berbisik.

Kata Iblis: "Kamu pun susah juga, gaji kamu kecil sahaja, masakan sudah kena berzakat". Bisikan lain pula bunyinya mungkin begini: "Anak dan isteri kamu masih memerlukan wang itu, baik disimpan, manalah tahu nanti kamu pula yang tidak berkecukupan".

Sesungguhnya bisikan sang Iblis datang dalam pelbagai cara dan rupa. Allah SWT sudah pun menegaskan hal ini agar kita mengambil sikap waspada.

Firman Allah yang bermaksud: Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut-campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata. (al-Israk: 64)

Sering terjadi, bisikan ini bertali arus datangnya dan sukar sekali untuk menepisnya. Selalu juga bisikan para iblis dan syaitan ini mempunyai tahap rasional yang tinggi, menyebabkan kita terfikir berkali-kali sebelum memberi. Pernah juga seorang pembayar yang sudah pun berada di hadapan kaunter zakat; tetapi hampir-hampir tidak jadi mengeluarkan zakat dek kerana halusnya desakan para syaitan ini.

Manusia mungkin lupa atau mungkin tidak sedar, bahawasanya kita dan seluruh kepunyaan kita, adalah milik Allah SWT. Apabila Allah SWT menghendaki kita agar berzakat, berinfak dan bersedekah, maka pastilah Allah SWT tidak menyuruhnya dengan sesia. Pasti ada manfaat di sebaliknya.

Ia menjadi rahsia Allah SWT yang hanya dapat kita kesani dan rasai natijahnya apabila amalan bersedekah dan berzakat itu sudah menjadi satu kelaziman pada diri. Ibarat manisnya gula, hanya dapat dimengerti oleh orang yang pernah merasai dan bukannya oleh orang yang hanya asyik berteori tentang manisnya gula.

Maka, lestarikanlah amalan bersedekah agar ia menjadi tradisi yang berakar umbi dalam kehidupan. Anak-anak kita wajar dididik agar suka memberi, kerana pastinya ia adalah kaedah terbaik melentur nurani mereka menjadi manusia berakhlak mulia.

Lagi pun, Rasulullah SAW juga sudah berjanji, bahawa orang yang suka bersedekah sama sekali tidak akan rugi. Bahkan Allah SWT sudah menjamin kehidupan mereka, bahkan menjadi punca datangnya kemuliaan di sisi manusia.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah SAW, sabdanya: Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya. (riwayat Muslim). Wallahu a'lam.

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment