Friday, December 23, 2011

Amalan Di Dunia Penentu Kehidupan Akhirat


Umat Islam wajib percaya setiap perbuatan pasti dapat ganjaran sama ada dosa atau pahala

ALLAH SWT menyediakan dua penempatan kepada manusia iaitu penempatan sementara di dunia dan penempatan kekal di akhirat. Di penempatan pertama, Allah SWT mendatangkan kepada manusia pelbagai ujian kepada orang Islam dan bukan Islam, beriman atau sebaliknya.

Di penempatan akhirat, Allah SWT menjanjikan balasan kepada manusia sama ada syurga atau neraka, bergantung kepada nilai amalan manusia sepanjang hayat mereka di dunia yang dihitung menerusi timbangan antara pahala atau dosa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan cari pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan jangan kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baik (kepada orang lain) seperti Allah berbuat baik kepadamu dan jangan kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas, ayat 77).

Sesungguhnya keseimbangan Islam berkaitan dunia dan akhirat tidak boleh dilihat dengan nombor dan bilangan tetapi melihat keseimbangan ditetapkan Allah SWT. Dalam Islam tidak ada pemisahan antara dunia dan akhirat, bahkan kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain.

Ajaran Islam tidak pernah memisahkan antara urusan dunia dan akhirat kerana semuanya akan dinilai di akhirat nanti. Justeru, manusia mesti melakukan urusan keduniaan yang menepati ajaran Islam untuk mendapat nikmat atau azab di akhirat.

Bagaimanapun, fitrah hati dan diri manusia cenderung melihat bukti atau dalil yang dapat mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap perkara dijanjikan Allah SWT seperti bukti kewujudan pahala, dosa, syurga dan neraka serta semua perkara yang tidak dapat dilihat pada mata kasar.
Sedangkan hakikatnya, persoalan dosa dan pahala serta syurga dan negara termasuk kiamat adalah termasuk dalam perkara ghaib, yang tidak wajar diperkatakan melainkan berpandukan nas dan dalil al-Quran dan Sunnah.

Walau bagaimanapun, sebagai Muslim yang beriman kepada Allah SWT, kita hendaklah melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah dan menghindarkan setiap apa yang mendekatkan diri kepada neraka.

Orang beriman harus memahami konsep Islam ialah agama yang memperseimbangkan antara tuntutan hidup di dunia dan akhirat. Segala harta kurniaan Allah hendaklah diguna dan diuruskan kepada perkara kebaikan yang mendapat ganjaran di akhirat.

Kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di akhirat tidak mungkin dapat dikecapi tanpa melakukan amalan baik ketika di dunia seperti menafkahkan harta pada jalan Allah, mengeluarkan zakat, bersedekah selain melaksanakan perintah wajib seperti solat lima waktu.

Keseimbangan dunia dan akhirat akan mewujudkan umat Islam yang sentiasa memberi manfaat pula kepada sekalian manusia. Justeru, umat Islam perlu sentiasa berwaspada agar tidak berlaku pengabaian antara kedua-dua tuntutan berkenaan dalam kehidupan seharian.

Dalam apa juga aspek kehidupan, Islam mengingatkan kita mengenai dua kehidupan yang perlu diseimbangkan iaitu dunia dan akhirat. Malangnya, dalam keghairahan umat Islam mengejar impian hidup di dunia, ada masanya mereka tergelincir daripada landasan agama sehingga mengabaikan kepentingan akhirat.

Pada masa sama, wujud pula kumpulan yang berpendirian mahu mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan kehidupan dunia.

Menyentuh perkara ini, pensyarah bebas, Harryanto Rizal Rokman menegaskan, perkara itu berlaku disebabkan manusia hanya dapat melihat atau nampak kehidupan serta keseronokan dunia tetapi tidak dapat melihat kehidupan akhirat kerana ia perkara ghaib.

“Bagaimanapun, amalan kita di dunia itu yang akan menentukan nasib kita di akhirat sama ada menuju ke syurga atau neraka. Akan tetapi disebabkan manusia tidak nampak akhirat, mereka tersilap untuk membezakan mana yang lebih penting adakah dunia atau akhirat,” katanya pada majlis Forum Hal Ehwal Islam bertajuk Dunia Diuji, Syurga Dinikmati anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan The New Straits Times Press (NSTP) di Balai Berita, kelmarin.

Dalam bentuk sindiran, beliau menjelaskan, manusia mungkin akan berlumba-lumba mengerjakan amalan jika Allah SWT memberi keizinan kepada mereka untuk melihat jumlah amalan mereka seperti kita dapat memeriksa jumlah simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kalau pahala boleh diperiksa macam kita periksa duit KWSP, sudah tentu manusia akan gembira kerana dapat mengetahui jumlah amalan mereka. Walaupun simpanan itu belum boleh diambil, tetapi kita nampak. Dapat tengok berapa banyak jumlahnya pun akan menggembirakan walaupun tidak dapat lagi.

“Akan tetapi, pahala, dosa dan akhirat ini perkara yang tidak nampak kerana Allah hendak menguji manusia di dunia bagi menentukan kehidupan mereka di akhirat sama ada ke syurga atau neraka,” katanya.

Seorang lagi ahli panel forum, Abdul Halim Din menegaskan umat Islam perlu menyoal diri mereka dengan tiga soalan setiap hari selepas bangkit dari tidur iaitu siapa diri kita, untuk apa kita di dunia dan ke mana kita akan pergi selepas ini.

“Manusia perlu menjadikan Allah sebagai keutamaan dalam setiap aspek kehidupan, pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedekah dikeluarkan,” tegasnya

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment