Sunday, December 25, 2011

Niat


Tersebut sebuah kisah dua orang bersaudara.Seorang daripadanya ialah Abid yang sentiasa berbuat ibadat dan seorang lagi sangat kuat dengan nafsu syahwatnya. Si Abid itu sangat ingin melihat Iblis, lalu pada suatu hari ia pun ternampak Iblis yang berkata kepadanya: "Wahai Abid, menyesallah engkau kerana telah mensia-siakan usiamu selama 40 tahun dengan menegah dirimu dan memenat serta merosakkan tubuh badanmu, sedangkan usia hanya tinggal 40 tahun lagi. Ikutlah keinginan nafsumu itu". Si Abid pun berkata kepada dirinya: "Baiklah aku turuti saudaraku itu makan dan minum yang lazat-lazat selama 20 tahun lagi itu. Kemudian bertaubat dan berbuat ibadat untuk selama 20 tahun yang bakinya itu".

Kemudian ia pun turun untuk mendapatkan saudaranya itu dengan niat tersebut. Sementara saudaranya pula yang berada di bawah tersedar daripada mabuk minum arak dengan mendapati dirinya tidak ketentuan arah, kainnya basah dengan air kencingnya dan badannya terdampar dilantai di tengah-tengah gelap-gelita. Ia pun berkata pada dirinya: "Aku telah mensia-siakan usiaku di dalam maksiat sedangkan saudaraku sentiasa taat kepada Allah dan beribadat. Aku masuk neraka sedangkan ia masuk syurga". Kemudian ia pun berniat mahu bertaubat dan berbuat ibadat menyertai saudaranya.

Akhirnya ia pun bangun naik menuju kepada saudaranya dengan niat untuk berbuat taat dan ibadat. Pada ketika itu juga saudaranya turun dengan niat untuk bermaksiat dan tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh menimpa saudaranya yang sedang naik itu. Kedua-duanya mati dan dihimpunkan di padang Mahsyar kelak dimana Si Abid dengan niatnya turun bermaksiat manakala saudarnya pula naik dengan niatnya untuk taat dan ibadat.

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers