Friday, December 23, 2011

Kenal Pasti Minat Pelajar Sejak Awal

ANTARA isu yang hangat diperbincangkan pada masa kini adalah mengenai cadangan yang diutarakan oleh Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan awam ini diutarakan oleh Kementerian Pelajaran kerana sistem pembelajaran yang dilaksanakan pada masa kini dilihat sebagai terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan holistik kepada para pelajar.

Selain ekonomi, sistem pendidikan merupakan strategi ampuh untuk memajukan sesebuah negara. Tanpa sistem pendidikan yang terbaik, sesebuah negara tidak dapat melahirkan modal insan yang berkualiti.

Justeru, penulis berpendapat terdapat tiga pilihan bagi cadangan yang diutarakan oleh Kementerian Pelajaran sebelum persoalan utama sama ada UPSR dan PMR wajar dimansuhkan dapat dijawab dengan menyeluruh.

Pertama, melaksanakan terus cadangan ini dengan menyediakan persekitaran baru seperti peperiksaan berasaskan sekolah. Cara sebegini dikatakan lebih menjimatkan berbanding mengamalkan satu sistem peperiksaan awam yang dikawal secara berpusat, manakala, satu ujian khas akan diadakan bagi murid darjah enam dan pelajar tingkatan tiga yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Kedua-dua perkara ini diutarakan oleh Kementerian Pelajaran jika UPSR dan PMR dimansuhkan. Persoalannya, adakah sistem penaksiran berasaskan sekolah akan menyebabkan jurang intelektual di antara para pelajar cerdik dan kurang pintar akan dapat dikurangkan terutamanya di kalangan para pelajar bandar dan luar bandar?

Pilihan kedua ialah meneruskan sahaja UPSR dan PMR yang mana dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan. Implikasinya boleh dilihat apabila para pelajar perempuan mengatasi para pelajar lelaki di peringkat menara gading.

Satu lagi perkara, sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan akan menyebabkan kita terlalu memberi perhatian kepada para pelajar yang ‘pintar peperiksaan.’ Mereka cukup bernasib baik kerana diangkat ‘darjatnya’ sedangkan para pelajar yang tidak ‘bijak peperiksaan’ semakin dilupakan.

Maka, tumbuhlah pelbagai pusat tuisyen bagi memastikan para pelajar pintar peperiksaan. Yang kaya, sudah tentu tiada masalah, tetapi yang kurang berkemampuan pastinya berkira-kira untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen.

Sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan juga boleh menyebabkan para pelajar tertekan dan kurang kritis dalam membincangkan sesuatu isu.

Pilihan ketiga ialah mengubah suai sistem peperiksaan agar lebih memberi ruang kepada para pelajar berfikir dengan terbuka. Selain itu, sistem pendidikan jangan sesekali meminggirkan para pelajar yang kurang pintar peperiksaan.

Ini bermakna, sistem pendidikan rendah dan menengah mestilah fleksibel mencakupi semua golongan pelajar. Kalau dilihat ada di kalangan generasi muda pada masa kini yang tidak mampu menulis namanya sendiri kerana tercicir persekolahan.

Ada di antara mereka pula yang terjebak dengan gejala sosial mungkin kerana kurang berminat dengan suasana pembelajaran di kelas. Kebanyakan mereka adalah para pelajar lelaki manakala para pelajar perempuan lebih fokus kepada sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan.

Oleh itu, sistem pendidikan mestilah dapat menapis minat para pelajar. Mengenal pasti minat para pelajar sejak dari awal lagi akan menyebabkan para pelajar tidak cepat bosan dan lebih fokus mengikut kecenderungan dan minat mereka.

Fleksibiliti sebeginilah yang perlu ada dalam sistem pendidikan negara. Tidak terlalu berorientasikan peperiksaan tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan sistem pengukuran dan penilaian pelajar berpandukan kecenderungan mereka.

Oleh: ROHAMI SHAFIE
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

sumber : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment