Thursday, April 26, 2012

Apakah cara terbaik untuk menyimpan susu badan? Berapa lamakah ia akan kekal segar?


Untuk menyimpan susu badan, pilih bekas yang disterilkan dan bertutup dengan rapat. Beg sejuk khas untuk pembekuan susu badan boleh dibeli untuk menyimpan susu anda tetapi selalunya ia mudah bocor, koyak dan berlubang, dan mungkin tidak bertutup rapat. Walau bagaimanapun, Perunding Laktasi dan Pengerusi Pesatuan Ibu-ibu Menyusu UK, berkata: "Pilih beg sejuk beku yang tebal atau bahagian luarnya diperbuat daripada nilon dan semuanya akan OK. Satu lagi cara ialah menggunakan dua lapis beg." Namun begitu, gelas atau plastik keras adalah pilihan yang lebih baik untuk menyimpan susu bagi tempoh yang lama.

Anda mungkin telah menjumpai banyak garis panduan yang berlainan mengenai tempoh dan tempat anda boleh menyimpan susu badan (EBM - expressed breastmilk). Persatuan Simpanan Susu UK menjelaskan bahawa ini ialah disebabkan kumpulan kajian yang berlainan telah memfokuskan ke atas aspek simpanan susu yang tertentu yang mana telah dibentangkan berkaitan kajian tertentu, dan bukanlah bermakna garis panduan itu adalah salah. Beberapa garis panduan disasarkan kepada susu yang disimpan dalam keadaan steril dalam tabung susu; ada yang lain hanyalah relevan jika anda mempunyai bayi pramatang. Secara am, garis panduan yang berikut berasaskan kajian yang diperolehi dari UK’s Association of Breastfeeding Mothers (ABM) dan sesuai bagi ibu yang menyimpan susu di rumah untuk bayi yang sihat dan cukup terma.

Anda boleh menyimpan susu:
  • Pada suhu bilik – tidak melebihi daripada 77 darjah F/25 darjah C – selama empat jam.
  • Dalam peti ais bersuhu 39 darjah F/4 darjah C atau lebih rendah selama tiga hingga lima hari. Walau bagaimanapun, disebabkan kegunaan peti ais di Malaysia adalah lebih berat oleh kerana peti ais banyak digunakan untuk menyimpan item segar, maka, satu nasihat am ialah supaya menyimpan susu badan yang dipam tidak melebihi 24 jam.
  • Dalam peti sejuk beku bersuhu -20°C, yang tidak mempunyai kitar nyahbeku, selama enam hingga 12 bulan. Malah, di Malaysia, pakar-pakar selalunya menyarankan supaya menyimpan susu dalam peti sejuk beku hanya selama tiga hingga enam bulan jika suhu peti sejuk beku anda disetkan tidak melebihi negatif 18 darjah Centigrade. Simpanlah susu di bahagian belakang peti sejuk beku, jauh dari pintu sebab item yang disimpan di hadapan lebih mudah terjejas dengan perubahan suhu semasa anda membuka peti sejuk beku.

Sebagai tambahan kepada garis panduan dari ABM, elok juga bagi anda mengetahui perkara yang berikut:
  • Anda boleh mencampurkan susu yang baru dipam dengan susu beku jika ia didinginkan dahulu sekurang-kurangnya sejam, dan jumlahnya adalah kurang daripada jumlah susu yang telah beku. Susu segar mengekalkan lebih banyak ciri-ciri perlindungannya berbanding dengan susu beku, jadi sejauh mana yang boleh, gunakan susu yang disejukkan (refrigerated) dan bukan susu beku (frozen) untuk menyusukan bayi anda. Tetapi ingatlah bahawa susu badan yang dibekukan masih mempunyai lebih khasiat kesihatan daripada susu formula.
  • Jika anda akan membekukan susu badan, lakukannya dalam masa 24 jam.
  • Susu yang dialihkan dari peti sejuk beku ke peti ais boleh disimpan sehingga 24 jam.
Ingatlah, apabila anda mengepam susu, cuci tangan anda dan pastikan pam buah dada dicuci, dibilas dan disterilkan dengan betul untuk mencegah sebarang bakteria dari membiak dalam susu tersebut.

Sumber: http://www.babycenter.com.my/

No comments:

Post a Comment