Thursday, April 26, 2012

Diabetes sebabkan mati mengejut


BERAT badan berlebihan menjadi punca utama masalah diabetes di Malaysia

KEMATIAN mengejut wartawan penyiaran NBC News, Tim Russert, 58, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada tahun 2008 memeranjatkan ramai orang.

Tidak terkecuali Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom, 50, dan penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, pada tahun 2009.

Kesemua mereka meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.

Biarpun begitu, petanda awal kepada serangan jantung itu sudah diduga kerana masing-masing merupakan penghidap diabetes.

Perkara tersebut diakui oleh Ketua Endikronologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Nor Azmi Kamaruddin.

Jelas Nor Azmi, selain daripada kesan fizikal seperti gangren iaitu anggota tubuh mati atau membusuk akibat diabetes, penyakit itu juga menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit kronik yang lain.

“Ramai orang yang hanya mengaitkan diabetes dengan kesan buruk yang berakhir dengan kaki pesakit terpaksa dipotong. Namun, hakikatnya ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi buah pinggang, katarak mata, sakit jantung dan serangan angin ahmar,” kata Nor Azmi.

Menurut kajian di Amerika Syarikat, sakit jantung yang berpunca daripada diabetes merupakan sebab utama kematian di negara itu iaitu sebanyak 55 peratus. Sebanyak 10 peratus pula kematian disebabkan angin ahmar yang berpunca daripada diabetes.
AMALAN pengambilan makanan seimbang boleh mencegah penyakit diabetes

Obesiti

“Statistik itu hampir sama jika dibandingkan dengan pesakit di Malaysia.

“Justeru anda seharusnya mengambil langkah yang penting bagi mengelakkan kedua-dua penyakit yang boleh meragut nyawa itu,” katanya ketika membentangkan hasil kaji selidik pesakit diabetes PPUKM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam kaji selidik tersebut, pihaknya mendapati majoriti penghidap penyakit itu terdiri daripada mereka yang mengalami obesiti.

Perkara itu dibuktikan apabila 62 peratus responden dalam kajian tersebut adalah terdiri mereka yang mengalami obesiti ketika pertama kali didiagnosis dengan diabetes.

“Pesakit yang mengalami obesiti dan berat badan berlebihan mempunyai risiko yang besar dalam menyebabkan komplikasi penyakit diabetes.

“Justeru perkara utama yang perlu dilakukan bagi mengelakkan penyakit jantung dan angin ahmar serta penyakit bahaya lain yang disebabkan oleh penyakit diabetes adalah dengan mengawal berat badan,” katanya lagi.

Kebimbangan terhadap penularan penyakit tersebut perlu diambil kira kerana kira-kira seorang daripada tujuh rakyat Malaysia merupakan penghidap diabetes.
GANGREN atau kematian sel sering dikaitkan dengan kesan penyakit diabetes

Tambah Nor Amin, kaedah utama untuk menjauhkan diri daripada masalah diabetes adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Bukan sahaja dengan mengawal makanan yang diambil bahkan bersenam sebagai kaedah pencegahan.

“Jika kita mengubah gaya hidup dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat sekarang, ini bermakna statistik obesiti dan penyakit diabetes di negara ini akan menurun dalam tempoh 20 tahun lagi.

“Memang payah untuk mengurangkan berat badan dan mengawal diabetes. Tetapi dengan kaunseling yang betul dan intervensi gaya hidup, hal ini boleh diatasi,” katanya.

Jelas Nor Azman lagi, ibu bapa seharusnya peka terhadap masalah obesiti dalam kalangan anak-anak kerana masalah obesiti di peringkat umur tersebut sukar dikawal kerana faktor perkembangan sel.

Berbeza pula seseorang yang mengalami kegemukan pada usia dewasa kerana ia kurang melibatkan penghasilan sel lemak baharu.

“Kegemukan pada usia kanak-kanak melibatkan penghasilan sel. Justeru adalah begitu sukar untuk mengurangkan berat badan mereka.

“Berbeza pula bagi golongan dewasa kerana kegemukan berlaku akibat pembesaran saiz sel tersebut dan lebih mudah untuk menurunkan berat badan,” tutur Nor Azmi.

Oleh SYALMIZI HAMID
Sumber: http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Post a Comment