Friday, April 6, 2012

Risau Haid Pertama


PERKEMBANGAN badan anak remaja perempuan yang mencapai tahap akil baligh akan melalui pelbagai perubahan fizikal, menyebabkan segelintir daripada mereka mengalami kejutan tertentu sepanjang proses tumbesarannya.

Bayangkan, dalam usia 10 tahun atau lebih awal dari tempoh itu, ada anak perempuan datang haid dan tidak tahu dari mana datangnya ‘darah’ yang buat pertama kali dilaluinya, menjadikan ia pengalaman yang sukar dirungkai.

Dalam keadaan tidak tahu apa-apa, bahkan malu hendak bertanya atau berkongsi perihal itu dengan orang lebih dewasa, terutama ibu, ia menimbulkan masalah pada si kecil yang tidak tahu itulah petanda diri mula menjangkau ke usia remaja.

Sehubungan itu, anak dan ibu disaran tidak mudah panik apabila berdepan masalah berkaitan, sebaliknya harus berkongsi masalah mengenai haid mahupun hal berkaitan seksual menjelang usia remaja mereka.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Premitha Damodharan menyarankan si anak bertanya ibu kerana sudah melalui fasa sedemikian.

Beliau tidak menafikan segelintir ibu segan untuk menjawab soalan anak mengenai haid, sedangkan sebagai orang lebih tua, ibu harus menceritakan perkara sebenar mengenai perubahan dialami, baik daripada segi minda mahupun fizikal, bahkan sebarang persoalan diajukan si anak.

“Apabila mencapai tahap akil baligh, banyak perubahan berlaku kepada remaja perempuan seperti anggota badan mula ditumbuhi bulu, jerawat mulai timbul.
“Gejala datang haid akan menyebabkan simptom tidak selesa seperti ketegangan payu dara, mudah meradang, resah, sensitif dan sebagainya.

“Ibu mungkin dapat memberi panduan mengenai hal seperti tempoh paling subur dan evolusi senggugut, kejang, menangani emosi yang mungkin sukar dikawal kerana dia ada pengalaman. Ia penting sebagai panduan buat anak gadisnya, oleh itu jangan segan berkongsi semua itu,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, seorang lagi penceramah turut memberitahu sejauh mana persoalan mengenai seks yang sihat perlu dijawab si ibu tanpa rasa segan apabila ditanya si anak.

Perunding psikologi, Paul Jambunathan mengingatkan ibu supaya kerap bersama anak, bahkan jangan berselindung untuk menerangkan perihal sebenar mengenai seks kerana itu lebih baik daripada anak bertanya hal itu kepada orang yang salah (mungkin teman lelaki).

Beliau tidak menafikan kebanyakan ibu bapa mahukan yang terbaik buat si anak dan hubungan kekeluargaan akan lebih rapat jika ibu dan anak saling bertanya apa saja berkaitan fizikal, perubahan sikap atau perlakuan, perubahan tubuh badan menjelang dewasa hingga kepada soal lebih peribadi seperti hubungan seks secara lebih berhemah.

“Meluangkan masa bersama anak, berbual setiap hari dan melayani apa saja ceritanya hingga kepada perbualan berbentuk maklumat yang dapat disalurkan kepada mereka, sangat digalakkan.

“Komunikasi berkesan mampu melahirkan sebuah keluarga sihat dan terpelihara daripada pengaruh negatif, sekali gus membentuk minda anak ke arah lebih sempurna.

“Ada ibu segan membincangkan hal berkaitan perkembangan fizikal tubuh badan sehingga membiarkan anak tercari-cari jawapan daripada orang lain.

“Pada saya, tidak salah jika anak tidur sekatil bersama ibu, bahkan si bapa pula menggalakkan hubungan akrab kerana kedua-duanya mampu berkongsi segala-galanya.

“Ini kerana satu hari nanti, anak perempuan akan membesar dan berkeluarga dan pengetahuan diperoleh daripada ibu menjadi panduan terbaik buatnya,” katanya.

Dalam program itu, beberapa ibu yang datang bersama anak perempuan masing-masing seronok berkongsi perbincangan dalam bengkel sehari bertajuk ‘Misteri Bual Bicara Seks Antara Ibu dan Anak’ anjuran Bayer Healthcare di ibu negara, baru-baru ini.

Peserta bengkel, Dona Mohd Hashim mengakui dia dan anak gadisnya, Nur Sakinah Mohd Nazli, 15, ibarat rakan akrab dan sering berkongsi cerita atau masalah. Namun, katanya, sebagai ibu penyayang dan prihatin terhadap anak, dia juga tegas, terutama dalam soal pembelajaran.

“Saya mengutamakan berdisiplin tetapi dalam masa sama anak seronok bersama saya dan bebas bercerita apa saja. Sesuatu yang menarik untuk dikongsi, sebelum anak datang haid, saya terlebih dulu belikan ‘pantyliner’, ajar macam mana hendak tampal atau cara betul memakainya.

“Apabila kita berkongsi segala-galanya dengan anak, ia menjadikan hubungan tambah rapat dan ia penting dalam menggalakkan pertumbuhan sihat.

“Apatah lagi dia anak perempuan sulung, kami melalui pengalaman harian yang menyeronokkan,” katanya sambil melakukan aktiviti membuat manik dan anting-anting bersama.

Beberapa fakta mengenai haid yang harus diketahui:
  • Haid atau datang bulan merujuk kepada satu fisiologi tetap dan teratur yang dialami perempuan akil baligh hinggalah menopaus (putus haid) kecuali ketika mengandung dan penyusuan.
  • Proses haid bermula dari umur 12 atau 13 tahun tetapi kadangkala seawal 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan pemakanan. Putus haid berlaku pada purata umur 47 tahun (julat umur antara 45 hingga 55 tahun)
  • Purata tempoh kitaran haid biasa bagi wanita ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap hari pertama bagi setiap kitaran baru. Setiap kitaran bagi seorang wanita biasa dan sihat ialah antara 20 hingga 45 hari.
  • Ketika datang haid, perempuan kehilangan darah. Tempoh pembiakan seseorang perempuan dicirikan dengan perubahan ritma (kitaran haid) pada rembesan hormon yang diperlukan untuk pembiakan.
  • Fungsi kitaran haid ialah menghasilkan ovum yang matang daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk penempelan embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan, ovum mengalami kemerosotan dan dibuang bersama bahan lain yang keluar daripada tubuh wanita melalui faraj.
  • Jumlah purata darah dan tisu yang hilang sewaktu kedatangan haid ialah 70 mililiter. Wanita berusia kurang dari 35 tahun kehilangan darah lebih banyak berbanding berusia 35 tahun ke atas. Jumlah keseluruhan cecair badan yang hilang ketika haid ialah antara 60 hingga 200 mililiter.
  • Wanita mengalami simptom atau gejala tidak selesa dalam tempoh haid seperti sakit kepala, pengumpulan cecair, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang, kesakitan dan kekejangan pada abdomen serta tekanan perasaan. Keadaan teruk atau sebaliknya apabila gejala datang haid berbeza-beza di kalangan perempuan.
  • Segelintir mengalami ovulasi menyebabkan ‘senggugut mittelschmerz’ (istilah Jerman bererti ‘sakit tengah’) selama beberapa jam. Pertukaran mengejut hormon menyebabkan pendarahan ringan tengah-kitaran bagi sesetengah wanita. Telur yang tidak disenyawakan akhirnya lerai atau larut.
  • Panjang tempoh kitaran haid berbeza antara sesetengah wanita iaitu fasa antara 10 hari, ada 14 hari hingga 16 hari.
  • Tempoh paling subur (masa kemungkinan kehamilan berlaku disebabkan hubungan kelamin) merangkumi tempoh masa lima hari sebelum ovulasi sehingga satu hingga dua hari selepas ovulasi. Dalam kitaran purata 28 hari dengan 14 hari fasa luteal, bersamaan minggu kedua dan permulaan minggu ketiga kitaran haid.
  • Bukan semua pendarahan dianggap haid dan ini boleh mengelirukan ketika pengiraan tempoh subur mereka. Jika wanita ingin hamil, tempoh paling subur berlaku antara 19 dan 10 hari sebelum jangkaan haid. Pengawalan hormon tidak normal mendorong kepada gangguan dalam kitaran haid.
  • Pendarahan yang banyak atau jumlah melebihi 80 militer (hipermenorrhea atau menorrhagia) adalah tidak normal. Pendarahan sangat sedikit (kurang daripada 10 militer) pula dikenali sebagai hipomenorrhea.
  • Pendarahan tidak normal memerlukan perhatian perubatan; ia mungkin menunjukkan ketidakseimbangan hormon, fibroid pada uterus atau masalah lain.
FAKTA

Usia wanita berlainan mengalami masalah sakit puan yang berbeza-beza:
  • Bawah usia 20 tahun — ketidakseimbangan hormon disebabkan ovari yang belum matang dan tekanan psikologi.
  • Usia 20 hingga 30 tahun — ketidakseimbangan hormon disebabkan tekanan psikologi; Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS) iaitu keadaan folikel di dalam ovari tidak menjadi matang, gagal mengeluarkan telur dan menyebabkan masalah kesuburan.
  • Usia 30 hingga 40 tahun — ketidakseimbangan hormon disebabkan tekanan, PCOS, fibroid atau polip pada rahim, endometriosis (tisu selaput rahim tumbuh di luar rahim) dan endometrial hyperplasia iaitu peringkat pra-kanser dinding rahim.
  • Usia 40 hingga 50 tahun — ketidakseimbangan hormon disebabkan perimenopausal (masa transisi sebelum terjadinya menopause) dan endometrial hyperplasia (pra-kanser).
  • Usia 50 ke atas — endometrial hyperplasia (pra-kanser) dan kanser.
  • Setiap wanita harus memiliki keunikan sendiri dalam urusan kitaran haidnya setiap bulan. Adalah berguna dan dinasihatkan untuk merekod segala data sebelum dan selepas datangnya haid.
  • Kitaran haid adalah masa di antara hari pertama sesuatu haid dengan hari pertama kedatangan haid berikutnya, termasuk hari berlakunya pendarahan.
  • Purata kitaran ialah 28 hari. Daripada segi jangka masanya, setiap kitaran haid boleh berbeza-beza dari bulan ke bulan
  • Bagaimana badan mengawal haid — ketepatan kitaran haid adalah kompleks berasaskan paras hormon dihasilkan oleh ovari.
  • FSH (Follicle-Stimulating Hormone) atau Hormon Peransang Folikel — hormon ini merangsang ovari untuk menghasilk hormon estrogen pada separuh masa pertama kitaran haid.
  • ESTROGEN — menebalkan dinding uterus.
  • LH (Luteinizing Hormone) atau Hormon Peluteinan — semasa di pertengahan kitaran, LH akan meningkat secara tiba-tiba menyebabkan berlakunya pengovulan iaitu telur dibebaskan dari ovari.
  •  PROGESTRON — mengubah rupa bentuk pengalas rahim sebagai persediaan untuk menerima telur yang disenyawakan.
Masalah yang mendatangkan kesan pada kitaran haid:
  • Tidak datang haid
  • Sebab utamanya ialah mengandung. Sebab lain mungkin kerana kekurangan lemak badan, tumor pada kelenjar pituari, diabetes, ketagihan dadah atau alkohol, gangguan adrenal. Selalunya disebabkan oleh tekanan dan latihan sukan yang berlebihan.
  • Haid yang terlalu banyak
  • Mungkin disebabkan oleh ketumbuhan fibroid rahim, kanser rahim, Pendarahan Rahim Disfungsi atau Dyfunctional Uterine Bleeding (DUB) dan penyakit Ovari Polisistik.
  • Kesakitan ketika haid (Dysmenorrhoea)
Boleh jadi primer (disebabkan gangguan bahan setempat seperti kesakitan akibat Prostaglandins) atau sekunder (disebabkan endometriosis, ketumbuhan fibroid pada rahim dan penyakit keradangan pelvis)

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my

Sumber: http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers