Thursday, February 11, 2010

Trend kemasukan murid ke sekolah rendah di kalangan ibu bapa Melayu kini mula berubah ke SRJK(C)

Sekolah Jenis Penghantar Bahasa Cina ditubuhkan sebelum peperangan Dunia ke II, kesemua sekolah Cina adalah sekolah persendirian. Guru-guru adalah lulusan sekurang-kurangnya tingkatan III. Ramai di antara guru-guru telah dibawa masuk daripada negara China. Kemudiannya, guru-guru tersebut menjalani latihan perguruan dan kursus intensif secara berperingkat-peringkat.

Menurut Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (2001), trend kemasukan murid ke sekolah rendah menunjukkan ibu bapa murid Melayu dan bukan Melayu mula memilih Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK (C)) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJK (C) bagi anak-anak mereka. Perkara ini berlaku dipercayai berpunca daripada keyakinan ibu bapa terhadap keberkesanan SRJK (C) dan SMJK (C).

Sebagai penyelidik kita tertanya-tanya apakah ciri-ciri serta proses dalaman sesebuah sekolah yang dianggap berkesan dan strategik oleh ibu bapa dan masyarakat. Dalam konteks ini, komitmen dan rasa tanggungjawab guru-guru sebagai pendidik, pengetua sebagai pengurus / pentadbir, pelajar dan PIBG sangat penting ke arah mencapai objektif dan prestasi sesebuah organisasi atau sekolah.

Selain itu, sekolah memerlukan suatu pengurusan strategik kearah menangani perubahan dalam pendidikan dan menjayakan Konsep Sekolah Berkesan. Pengurusan yang strategik amat diperlukan bagi melahirkan “persekolahan berwatak” supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh.

Kita kerap dikemukakan ialah adakah terdapat perbezaan ketara pada ciri-ciri tertentu bagi kedua-dua jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dengan SRJK (Cina) dan SMJK (Cina).Dalam usaha kita mengkaji persamaan dan perbezaan di antara dua jenis sekolah rendah, iaitu SK dan SRJK (Cina), kita harus menggunakan kriteria atau kayu pengukur yang sah dan boleh dipercayai.

Dalam konteks ini, model sekolah berkesan Mortimore (1995) yang mempunyai 11 ciri utama dapat digunakan untuk membandingkan kedua-dua jenis sekolah tersebut.

1. Kepemimpinan profesional

Ciri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang berdaya maju dan tegas dan sekolah harus mempunyai pentadbir proaktif yang menekankan permuafakatan dan persamaan bagi mengekalkan usaha dan proses memajukan sekolah. Selain itu, sekolah mengamalkan pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam membuat keputusan dan menekankan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri ini juga menekankan sama ada pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

2. Perkongsian wawasan dan tujuan

Ciri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan sekolah serta dapat berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang mengamal tindakan pengurusan secara konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan kesetiakawanan dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam proses membuat keputusan.

3. Persekitaran pembelajaran

Ciri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan. Iklim sekolah yang baik sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping wujudnya disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi pembelajaran berkesan.

4. Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran

Ciri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

5. Pengajaran yang bertujuan

Mortimore juga mendapati kualiti pengajaran sebagai agenda utama sekolah berkesan, di samping memiliki guru yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna perlu mempunyai organisasi yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel.

6. Jangkaan kejayaan yang tinggi

Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap murid-murid mereka kerana kajian Mortimore (1995) menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid untuk berjaya.

7. Pengukuhan yang positif

Mortimore (1995) juga mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca daripada iklim sekolah yang teratur dan suasana damai yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Di samping itu, guru juga harus mendapat maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, ganjaran atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.

8. Memantau kemajuan

Berdasarkan penyelidikan oleh Mortimore(1995), sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur. Guru dapat menentukan sejauh mana tujuan sekolah telah dicapai. Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini serta mengambil berat tentang kemajuan pelajaran.

9. Hak dan tanggungjawab pelajar

Melalui kajian Mortimore (1995), didapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.

10. Hubungan rumah-sekolah

Mortimore (1995) juga menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah yang erat bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Melalui penglibatan ibu bapa dalam membantu anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah, lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru, seterusnya pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.

11. Organisasi Pembelajaran

Penyelidikan Mortimore (1995) juga menunjukkan sekolah berkesan mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am sentiasa meningkatkan ilmu profesional. ke arah sekolah berkesan. Di samping itu, pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat sekolah untuk membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.

Kesimpulan

Rumusan pelbagai kajian oleh Model Mortimore menunjukkan bahawa sekolah harus memaksimumkan masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk mata pelajaran yang prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.

Sebahagian besar rangka rujukan dengan sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore(1995) didapati sesuai dan relevan dengan struktur dan organisasi sekolah-sekolah formal di Malaysia. Walau bagaimanapun, Teddlie dan Reynolds (2000) dalam buku mereka, "The International Handbook of School Effectiveness Research" telah memberi peringatan kepada penyelidik bahawa terdapat faktor-faktor penting lain yang perlu diambil kira dalam menafsir keberkesanan sekolah. Antaranya ialah faktor "konteks" yang harus diberi perhatian supaya penafsiran kita tentang keberkesanan sekolah dapat dibuat secara holistik dan adil.

Sepuluh daripada sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore (1995) ialah ciri dalaman sekolah (in-school factors) yang lebih bertumpukan proses daripada konteks. Cuma ciri penyelidikan hubungan sekolah-rumah merupakan ciri luaran sekolah. Jadi, penyelidikan keberkesanan sekolah menunjukkan lebih banyak varian keberkesanan dijelaskan oleh faktor dalaman sekolah. Justeru, bagi tujuan pembaikan sekolah kita harus menumpukan tindakan yang lebih ke atas faktor-faktor dalaman berbanding dengan faktor konteks.

Namun, sebelas ciri sekolah berkesan rumusan Mortimore(1995) yang berasaskan ratusan kajian keberkesanan sekolah dapat diguna sebagai rangka rujukan untuk kita bandingkan kedua-dua jenis sekolah dalam dua tahap persekolahan, iaitu SK / SMK dengan SRJK (C) / SMJK (C). Hasil perbandingan dapat menunjukkan persamaan dan perbezaan ciri utama untuk digunakan sebagai panduan dalam program memajukan sekolah di Malaysia.

Pada pandangan saya pula, kepimpinan dan pengurusan seharusnya diberi perhatian yang berat dalam menggerakkan sesuatu organisasi begitu juga dengan sekolah. Pengetua perlu mengalami perubahan yang pesat selaras dengan keadaan semasa. Ini adalah kerana tanpa kepimpinan dan pengurusan berkesan seseorang pengetua, pendidikan bertaraf dunia tidak akan tercapai. Kepimpinan dan pengurusan harus mempunyai pengurusan yang berkesan untuk mencapai kecemerlangan dalam sesuatu organisasi. Kecemerlangan sesuatu organisasi adalah bergantung kepada stail kepimpinan dan pengurusan menggunakan sumber, untuk mencapai matlamat organisasi dengan mengekalkan dan mewujudkan hubungan yang baik dan waras. Di samping itu pengetua seharusnya berani dan sanggup mengambil risiko terhadap tindakan yang dilakukan. Pengetua mestilah bersedia mendengar, menerima pandangan, berbincang dan mengamalkan pengurusan dengan cara bermuafakat dan musyawarah.

Ciri sekolah yang berkesan mestilah mempunyai ideologi yang jelas dan murni yang mana mampu menghadapi tekanan dari luar yang kuat dan tidak dapat dipastikan. Apa yang penting untuk menjadi sebuah organisasi sekolah yang berkesan, perkongsian dan pakatan antara pengetua, guru ibubapa dan pelajar perlu mempunyai kemesraan dan kepercayaan yang unggul antara satu dengan yang lain. Selain daripada itu, sekolah yang berkesan harus dapat memberi ruang kebebasan kepada guru-guru untuk menyuarakan kehendak dan kebebasan mereka, menyediakan ruang yang luas bagi penyertaan dan tanggungjawab dan melengkapkan mereka supaya tidak dipandang secara stereotaip seperti yang biasa digambarkan terhadap profesion keguruan pada masa kini.

Sekolah yang berkesan mempamerkan struktur authoriti yang padu dan memberi sokongan terhadap tindakan disiplin yang dilakukan oleh guru. Sekolah yang berkesan juga dapat melaksanakan tindakan yang rasional, jelas serta mementingkan aktiviti bercorak akademik, dan kurikulum. Seterusnya, tumpuan terhadap keintelektualan perlu dilakukan bagi melahirkan kesamaan (equity) di kalangan kumpulan-kumpulan pelajar di samping memberi perhatian yang serius untuk kecemerlangan akademik.

No comments:

Post a Comment