Sunday, February 7, 2010

Pelaksanaan Competency-Based-Training and Assessment (CBTA) di Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional di Malaysia



1. Pengenalan

Sistem pendidikan konvensional yang sedang dilaksanakan selama ini adalah berasaskan masa (time-based). Mata pelajaran dirangka mengikut jangkamasa tertentu supaya tamat pada akhir tahun. Guru perlu berada pada sesuatu tajuk dalam sukatan pelajaran pada masa yang telah ditetapkan.

Sistem pembelajaran konvensional memerlukan semua pelajar bergerak pada tahap yang sama dengan guru. Keadaan ini akan menyebabkan sebahagian pelajar tercicir jika mereka tidak berupaya mengejar tahap pengajaran guru yang lebih menyebelahi pelajar cerdas dan berpencapaian tinggi sahaja

Pendekatan konvensional menunjukkan kejayaan pada umumnya, terutama untuk menguji aspek kognitif atau pengetahuan (knowledge), tetapi kurang efektif jika matlamatnya ialah untuk melatih individu dalam aspek kemahiran (skills) terutama kemahiran berkaitan pekerjaan ( job-related skills) atau untuk menguji aspek sikap (values).

2. Pengenalan Kepada CBTA

Kompetensi adalah kebolehan menunjukkan tugas spesifik (boleh buat) mengikut STANDARD yang memenuhi kehendak industri, majikan, organisasi dan individu.

CBTA adalah kaedah pembelajaran dan pentaksiran dimana pelajar boleh menunjukkan tugas secara spesifik sebagaimana dikehendaki oleh industri, majikan, organisasi dan individu. Pelajar yang kompeten ialah pelajar yang boleh menunjukkan pengetahuan dan kemahirannya sendiri dan tidak bergantung kepada bantuan orang lain untuk melakukannya. Kemahiran yang dipunyai oleh pelajar tersebut sangat spesifik sifatnya dan mampu ditunjukkan secara satu persatu bagi setiap proses dan akhirnya dibuktikan dengan bukti-bukti seperti eviden proses dan eviden produk.

Kompetensi mengandungi pengetahuan, kemahiran dan sikap yang konsisten bagi setiap kemahiran, pengetahuan dan sikap yang merujuk kepada prestasi yang standard di bidang pekerjaan. Seseorang pekerja membawa kompetensinya sendiri walaupun dimana mereka bekerja dan biar apa pun yang mereka lakukan, kemahiran itu tetap ada pada dirinya.

Beberapa contoh dibawah boleh membantu menjelaskan bentuk kompetensi yang dimaksudkan.
  1. Tukang masak yang kompeten – restoran tidak kompeten
  2. Doktor yang kompeten – hospital tidak kompeten
  3. Guru yang kompeten – sekolah tidak kompeten
Kompetensi adalah kualiti kerja yang dilakukan setiap hari oleh pekerja yang diperakukan oleh majikan. Komponen kompetensi termasuklah:

  1. Pengetahuan – tentang organisasi, proses pentadbiran, prosedur,pelanggan dan bidang kepakaran
  2. Kemahiran Berfikir – tentang penyelesaian masalah, analisis, menulis laporan, nombor dan kemahiran merancang.
  3. Kemahiran Motor – tentang koordinasi matatangan, kekuatan dan keseimbangan
  4. Sikap - tentang kebolehpercayaan, tanggungjawab, tingkahlaku, inter-personal, kesabaran, fleksibel dan berhati-hati
Kompetensi diterjemahkan seperti perenggan di bawah:

“ People are considered to be competent when they are able to apply their knowledge and skills to successfully complete work activities in a range of situations and environments, in accordance with the standard of performance expected in the workplace"

Pentaksiran kompetensi memerlukan pekerja yang berpengetahuan serta sikap yang baik terhadap pekerjaanya dan juga perlu menunjukkan prestasi kompetensi beserta eviden yang wujud. Pelajar juga akan ditunjukkan kompetensi yang telah dikuasai oleh mereka pada akhir pembelajaran dan disokong oleh Sijil Modular bagi memperakui kemahirannya.

3. Perbandingan Konvensional dengan CBTA

Pendidikan vokasional dan kemahiran secara konvensional banyak bergantung kepada guru. Sebelum ini, sistem pendidikan terlalu membandingkan pencapaian antara pelajar. Sistem ini tidak sihat kerana tidak menghormati keupayaan pelajar. Adalah menjadi kesalahan jika pelajar yang berpencapaian tinggi dan rendah dianggap boleh mendapat pengetahuan yang dipelajari serentak. Pelajar berpencapaian tinggi mempunyai aras pengetahuan yang tinggi tetapi tidak semestinya mempunyai kemahiran yang tinggi. Pelajar yang berpencapaian rendah biasanya mempunyai pengetahuan yang rendah dan selalunya boleh mendapat kemahiran yang tinggi jika diberi peluang, Kedua-dua kumpulan pelajar ini tidak boleh dibandingkan dari aspek pengetahuannya kerana mereka mempunyai peluang mendapat kemahiran yang sama.

Oleh itu, kaedah pembelajaran CBTA merujuk kepada kepada keupayaan pengetahuan dan kemahiran setiap pelajar, bukan antara pelajar. Prinsip CBTA ialah pelajar yang lemah akademik dibimbing sehingga kompeten walaupun mengambil masa yang lama untuk menguasai sesuatu kemahiran manakala pelajar yang pandai akademik tidak akan disekat kemahirannya.

Perbandingan Konvensional dengan CBTA
  • KONVENSIONAL (RUJUKAN NORMA): Dalam sistem pendidikan konvensional, kemajuan pembelajaran bergantung kepada masa (time related) dan bertumpukan guru (teacher centered).
  • CBTA (RUJUKAN KRITERIA): Dalam sistem pendidikan berasaskan kompetensi, kemajuan pembelajaran ialah masteri dalam pengetahuan atau kemahiran yang spesifik dan bertumpukan pelajar (learner centered)
4. Istilah utama CBTA

  • KEMAHIRAN - Tugas (task) atau sekumpulan tugas yang dilaksanakan pada tahap kemahiran yang telah ditetapkan, selalunya dikaitkan dengan aspek psikomotor dimana ianya memerlukan penggunaan tangan dan peralatan, walaubagaimanapun, sesetengah kemahiran mungkin bersifat pengetahuan dan nilai.
  • KOMPETENSI - Kemahiran yang dipamerkan pada standard yang dikenalpasti pada keadaan yang spesifik.
5. Elemen Penting CBTA

CBTA ditunjangi oleh beberapa elemen yang saling lengkap melengkapi diantara satu sama lain. Elemen ini menjadi peraturan utama CBTA yang perlu dipatuhi dan dihormati. Elemen tersebut adalah seperti di bawah:

Kompetensi yang hendak dicapai perlu dikenalpasti dengan teliti, disahkan dan dimaklumkan kepada pelajar lebih awal.

Kriteria yang ada digunakan untuk mengukur pencapaian dan keadaan dimana pencapaian yang akan diukur dimaklumkan kepada pelajar lebih awal.

Program instruksional menyediakan pembangunan individu dan penilaian terhadap setiap kompetensi yang ditentukan.

Pentaksiran kompetensi bukan hanya mengambil kira pengetahuan dan sikap tetapi memerlukan pelaksanaan
sebenar kompetensi sebagai eviden.

Kemajuan pelajar dalam program instruksional adalah mengikut kadar kemampuannya dengan membuktikan pencapaian kompetensi yang ditetapkan

6. Kebaikan Latihan Berasaskan Kompetensi

Istilah latihan vokasional dan pendidikan vokasional adalah berbeza. Latihan vokasional lebih menyediakan pengalaman sebenar alam pekerjaan kepada pelajar. Pendidikan vokasional pula menyediakan pelajar yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas yang memenuhi kehendak industri.

Namun begitu, matlamat memberikan latihan dan pendidikan kepada pelajar mempunyai kebaikan yang setara. Latihan dan pendidikan vokasional berasaskan kompetensi dilihat sebagai sangat sesuai dilaksanakan khasnya bagi latihan dan pendidikan vokasional di sekolah kerana kemahiran perlu diajar dan ditaksir dengan lebih spesifik berbanding mata pelajaran akademik.

Maka, kebaikkan latihan dan pendidikan berteraskan kompetensi di tafsirkan seperti berikut:
  1. Pelatih menguasai kompetensi yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi kerjaya mereka.
  2. Pelatih membina keyakinan apabila mereka mencapai masteri dalam kompetensi spesifik.
  3. Pelatih menerima transkrip atau senarai kompetensi yang telah dikuasai.
  4. Masa latihan digunakan secara berkesan dan efektif kerana jurulatih bertindak sebagai fasilitator bukannya sebagai penyampai maklumat.
7. Kekangan Pelaksanaan CBTA

Sistem pendidikan berbentuk CBTA mempunyai kelemahan tersendiri namun bukanlah sesuatu yang terlalu penting untuk dibincangkan. Walaubagaimanapun, kekangan yang berlaku perlu di atasi bagi memberi peluang kemahiran kepada semua kumpulan pelajar. Berikut adalah beberapa kekangan pelaksanaan CBTA:

Lebih banyak masa digunakan untuk membantu pelatih secara individu atau kumpulan yang kecil jika dibandingkan dengan memberi kuliah.
Lebih banyak masa latihan difokuskan untuk mentaksir keupayaan setiap peserta melaksanakan kemahiran.

8. Kekangan Pendekatan CBTA

Program CBTA hanya akan menjadi efektif sekiranya proses mengenalpasti kompetensi dilakukan dengan
teliti. Jika perhatian tidak diberikan dalam pengenalpastian kemahiran yang diperlukan, program latihan menjadi kurang berkesan.

Sesuatu program mungkin dinamakan berasaskan kompetensi , tetapi jika bahan pembelajaran dan pendekatan latihan (panduan pembelajaran, senarai semak dan kejurulatihan) tidak direka bentuk untuk pendekatan ini, pendekatan CBTA yang diharapkan tidak akan dicapai.

9. Ciri-ciri CBTA

Berikut adalah ciri-ciri pembelajaran CBTA bagi memenuhi standard latihan dan pendidikan vokasional dan kemahiran di Malaysia:
  1. Kompetensi dipilih dengan teliti.
  2. Teori sokongan diintegrasikan dengan kemahiran. Pengetahuan yang relevan dipelajari untuk menyokong pelaksanaan kemahiran.
  3. Bahan latihan yang terperinci disediakan untuk mencapai kompetensi seperti yang dihasratkan dan direka bentuk untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran.
  4. Metodologi instruksional melibatkan pembelajaran masteri seseorang individu boleh menguasai pengetahuan dan kemahiraan terdahulu (achievement of prior learning) diambil kira.
  5. Pembelajaran adalah pada kadar individu (self-paced).
  6. Pendekatan latihan yang fleksibel disediakan sama ada untuk kumpulan besar, aktiviti dalam kumpulan kecil atau pembelajaran secara individu.
  7. Pelbagai bahan sokongan disediakan untuk mencapai kompetensi.
  8. Penamatan latihan yang memuaskan adalah berdasarkan pencapaian semua kompetensi yang ditentukan.
10. Perbezaan Pentaksiran CBTA dengan Konvensional

Komponen penting CBTA ialah pentaksiran. Pentaksiran MPAV dan MPV telah dirangka menggunakan asas-asas CBTA seperti terkandung di dalam dokumen pentaksiran MPAV dan MPV yang diterbitkan oleh LPM. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan oleh LPM juga dilihat selari dengan pentaksiran CBTA yang menuntut supaya pelajar boleh menunjukkan setiap kompetensi dengan bukti dalam bentuk proses dan produk.

Konvensional
  1. Berasaskan Keseluruhan Sukatan Pelajaran: Pentaksiran dijalankan berdasarkan kandungan sukatan pelajaran
  2. Linear: Pentaksiran yang mengukur pencapaian pelajar di akhir sesi pembelajaran sesuatu mata pelajaran.
  3. Merujuk norma: Prestasi dibandingkan dengan prestasi kohort pelajar keseluruhan.
  4. Berpusatkan sistem: Pelajar menduduki peperiksaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  5. Pelaporan berpusat: Dilaporkan melalui Sijil Pelajaran Malaysia.
CBTA
  1. Berasaskan modul dalam sukatan pelajaran: Pentaksiran dijalankan berdasarkan kandungan setiap modul.
  2. Modular: Pentaksiran dijalankan secara berterusan (on-going) sepanjang proses P&P sesuatu modul.
  3. Merujuk Kriteria: Prestasi pelajar dirujuk kepada standard atau kriteria yang ditetapkan.
  4. Berpusatkan pelajar: Pentaksiran dijalankan setelah pelajar bersedia ditaksir.
  5. Pelaporan Berpusat & Modular: Dilaporkan melalui SPM dan Sijil Modular MPAV – satu dokumen komprehensif yang melaporkan modul yang pelajar telah kompeten.
11. Perancangan CBTA

Berikut merupakn maklumat berkaitan kursus CBTA yang telah dilaksanakan
  1. Competency-Base-Training and Assessment For Teachers and Instructors of Vocational Education and Officers of Vocational Education(Group 1) pada 2- 12 /9/2007 di Quality Hotel Shah Alam seramai 90 orang.
  2. An Exposure Course on Competency-Base-Training and Assessment For Technical School Principals pada 29/10 - 1/11 2007 di Legacy Hotel Melaka seramai 90 orang.
  3. Development of Master Trainers Advanced Competency-Base- Training and Assessment Skills For Teachers and Instructors of Vocational Education pada 24/2/- 5/3 2008 di Hotel Gold Course Klang seramai 30 orang.
  4. Competency-Base-Training and Assessment For Teachers and Instructors of Vocational Education and Officers of Vocational Education (Group 2) pada 23/3 - 2/4 /2008 di Hotel Grand Continental Kuala Lumpur seramai 90 orang.
  5. Competency-Base-Training and Assessment For Teachers and Instructors of Vocational Education and Officers of Vocational Education (Group 3) pada 13-23/4/2008 di Hotel Dynasty Kuala Lumpur seramai 90 orang.
  6. 10-Days Intensive Workshop and Tutorial: Writing Competency Based Learning and Assessment Guide For Form 5 Vocational and Technical Subjects pada 23/3 – 2/4/2008 di Hotel Puteri Park Kuala Lumpur seramai 30 orang.
  7. Development of Master Trainers Advanced Competency-Base- Training and Assessment Skills For Teachers and Instructors of Vocational Education pada 20-30/4/2008 di Hotel Dynasty Kuala Lumpur seramai 30 orang.
12. Kursus Mentoring and Coaching kepada Pentadbir Sekolah.

Pengisian kursus ialah pendedahan peserta dengan kaedah mentor CBTA dengan sesi teori, membuat latihan, persembahan, micro-teaching dan laporan. Peserta dibekalkan dengan nota yang lengkap beserta contoh, hand-out, rancangan latihan dan rancangan pentaksiran.

Kursus ini penting kepada KPM yang akhirnya manfaat kursus ini adalah seperti berikut:
  1. Membangunankan modal insan di KPM
  2. Memartabatkan profesion keguruan
  3. Meningkatkan komitmen guru untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan
  4. Meningkatkan produktiviti dan moral guru
13. Pelaksanaan CBTA

Selepas dirancang dengan sebaiknya, sesuatu perubahan kurikulum akan disebarkan kepada agen pelaksana iaitu pendidik. Perubahan kurikulum kepada pelaksanaan CBTA akan mengambil tempat sebagai aliran utama pendidikan vokasional dan kemahiran di Malaysia. Pelaksanaan CBTA di dalam sistem PTV adalah selari dengan pelaksanaan MPAV dan Sijil Kemahiran Malaysia.

Mulai tahun 2009, CBTA dilaksanakan di sekolah menengah teknik. Pada peringkat permulaan ini, guru telah diarahkan supaya menggunakan Rancangan Sesi Latihan (RSL) bagi menggantikan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). RSL merupakan rancangan pengajaran yang ringkas tetapi lebih spesifik dan jelas dalam rangka konsep pembelajaran vokasional dan kemahiran. RSL dapat menunjukkan bentuk perancangan dan menjelaskan kemahiran dan sub-kemahiran yang perlu dipamerkan oleh pelajar. RSL juga mampu membantu guru merancang bentuk eviden proses dan eviden produk yang ingin dihasilkan kerana ianya dirancang dengan jelas dan terbukti.

Manakala Rancangan Pembelajaran (RP) adalah rancangan guru ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bengkel. RP juga merupakan rancangan yang spesifik dengan merujuk kepada hasil pembelajaran (learning outcomes), susunan proses pembelajaran, bahan sumber pembelajaran dan catatan masa. RP akan membantu guru untuk mengendalikan sesi pembelajaran dengan tersusun dan terkawal. Guru tidak perlu menyatakan bentuk eviden di dalam RP kerana telah dnyatakan di dalam RSL. RSL dan RP mempunyai perkaitan dan perbezaan.

Pendekatan secara CBTA di sekolah bermula dengan penyediaan RSL dan pematuhannya semasa proses pengajaran di dalam bengkel.

Perluasan pelaksanaan CBTA akan dilaksanakan di SMK yang menawarkan MPV setelah perancangan dilakukan oleh KPM. Pelaksanaan CBTA di SMK hanya boleh dilaksanakan selepas latihan intensif dibuat pada masa yang akan datang.

Tindakan yang lebih penting di dalam proses penilaian kurikulum ialah pelaksanaan CBTA perlu dipantau bagi memastikan keakuran Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pematuhan standard ini adalah penting supaya pelajar yang dilahirkan nanti mampu bersaing dibidang pekerjaan khusus masing-masing.

13. Lawatan Mengkaji Pelaksanaan CBTA di Sekolah di Australia

Lawatan bagi mengkaji pelaksanaan CBTA di sekolah di Australia telah di buat oleh dua orang pegawai dari KPM bersama-sama seorang guru kanan dari Sekolah Menengah Teknik Teluk Intan. Tujuan lawatan ini ialah untuk menilai keberkesanan CBTA di sekolah menengah, meneliti kaedah pembangunan kurikulum CBTA, mengkaji bentuk latihan dan akreditasi guru, mengkaji perancangan dan perolehan peralatan dan kemungkinan hubungan School-Linkages antara kedua-dua negara.

Hasil lawatan kajian ini, KPM berpendapat bahawa CBTA boleh dilaksanakan di dalam sistem PTV di Malaysia. KPM juga sedang berusaha untuk mengaplikasikan CBTA di sekolah yang menawarkan kursus vokasional dan kemahiran secara berperingkat. Maka penambahbaikkan kurikulum PTV perlu dilakukan dan akan disebarkan ke seluruh sekolah berkaitan di Malaysia.

Berikut adalah cadangan dari lawatan tersebut kepada Kementerian Pelajaran Malaysia:
  1. Mewujudkan Pusat Kajian dan Penyelidikan Pendidikan Teknik dan Vokasional di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan pengurusan, kurikulum dan latihan pendidikan Teknik dan Vokasional di Malaysia.
  2. Menyebarkan risalah dan poster berkaitan laluan kerjaya dan laluan pembelajaran seluas-luasnya kepada pelajar menengah rendah khususnya kepada pelajar Tingkatan 3 termasuk faedah pembelajaran berteraskan kompetensi.
  3. Ibubapa/penjaga dilibatkan secara aktif di dalam memilih aliran di peringkat menengah atas dan seterusnya menunjukkan laluan kerjaya yang lebih tepat kepada pelajar. Buat masa ini, sekolah diberi autonomi menentukan masa depan pelajar lepasan PMR sama ada Aliran Sains, Sastera, Agama, Teknikal dan Vokasional
  4. Diujudkan Badan Penasihat Latihan Vokasional (Training Advisor) di peringkat KPM bagi memberi nasihat kepada pelaksanaan PTV.
14. Harapan dan Komitmen

Tindakan bagi pelaksanaan CBTA di sekolah harus bermula dengan kurikulum. Kurikulum mengikut Akta Pendidikan 1996 ialah suatu set program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

Kurikulum yang dimaksudkan selain kokurikulum itu sendiri boleh termasuk Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran, pedagogi, psikologi, teknologi, buku dan modul, pentaksiran dan lain-lain asalkan ada kaitan dengan pengajaran dan pembelajaran.

15. Komitmen BPK, KPM

KPM melalui BPK berhasrat untuk menghasilkan Buku Panduan Pembelajaran (Learning Guide) yang boleh digunakan oleh guru dan pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional dan kemahiran. Selain daripada itu, penyebaran kurikulum telah mula digerakkan di BPK dengan merancang melaksanakan bengkel dan modul orientasi kurikulum aliran vokasional dan kemahiran sebagai aktiviti utama BPK pada tahun-tahun mendatang.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) juga menggunakan CBTA sepenuhnya di dalam mentaksir pelajar aliran vokasional melalui pentaksiran Mata Pelajaran Vokasional(MPV) dan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV)

Jabatan pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia yang membangunkan National Occupational Skills Standard (NOSS) yang digunakan oleh pelajar aliran kemahiran di sekolah juga menguatkuasakan CBTA. NOSS juga dibangunkan dengan menekankan tiga komponen CBTA iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap.

BPK telah merancang memperluaskan pengetahuan berkaitan CBTA seperti dinyatakan di dalam Sasaran Kerja Tahunan (SKT) agar manfaat itu dapat dikongsi dengan guru-guru di sekolah.

Kurikulum pendidikan teknikal, vokasional dan kemahiran akan diterjemahkan oleh BPK ke bentuk yang lebih fleksibel dan mempunyai perkaitan di antara satu dengan yang lain supaya kurikulum aliran teknikal boleh menyediakan jurutera, kurikulum aliran vokasional boleh menyediakan pekerja separa mahir dan kurikulum aliran kemahiran boleh menyediakan pekerja mahir.

16. Komitmen BPTV

Peranan BPTV juga diperlukan bagi pelaksanaan CBTA di sekolah. BPTV boleh mencorakkan masa depan PTV di Negara ini. Sebagai bahagian terpenting di KPM yang mengurus sistem PTV terutamanya MPV dan MPAV serta kemahiran di Malaysia, BPTV ditegaskan untuk terus berfungsi bagi menyelaraskan sumber kurikulum seperti peralatan yang konsisten, bahan yang bermutu, guru yang kompeten dan pelajar yang bertanggungjawab. Pegawai BPTV bukan sahaja mengurus, tetapi seharusnya memantau dan memastikan kaedah pelaksanaan CBTA dipatuhi dan dibudayakan di sekolah.

CBTA di sekolah seharusnya dirancang pelaksanaannya dengan teliti dan berfokus. BPTV boleh menganalisis pencapaian kompetensi pelajar dengan mengkaji keupayaan pelajar di sekolah dan memberi maklum balas CBTA kepada BPK, KPM bagi penambahbaikkan masa depan.

17. Komitmen Pendidik

Guru adalah agen pelaksana terpenting di peringkat pelaksanaan di sekolah. Maka, guru adalah juga agen kepada perubahan kurikulum. Guru aliran vokasional dan kemahiran yang kompeten semestinya akan mengambil peluang yang diberikan dengan menghadiri mesyuarat, kursus, bengkel, seminar, konvensyen, kolokium dan penulis buku. Guru aliran vokasional dan kemahiran yang tulen akan mengambil bahagian terhadap peluang-peluang peningkatan diri dengan inisiatif sendiri. Guru aliran vokasional dan kemahiran seharusnya tidak akan menolak cabaran.

Guru aliran vokasional dan kemahiran juga seharusnya berani dan sanggup melalui cabaran berubah dari kaedah pengajaran konvensional kepada pengajaran CBTA. Guru aliran vokasional dan kemahiran bukanlah ‘guru biasa’ tetapi guru yang ‘ada hati’ dan ‘ada jiwa’ dan yang paling penting ialah mempunyai penghayatan terhadap vokasional.

Guru yang mendidik pelajar aliran vokasional dan kemahiran sudahpun mempunyai pengalaman yang luas dan lama. Sesuai dengan pengalaman itu dan selari dengan perubahan pendidikan, maka CBTA diharapkan boleh membantu guru memberikan pengalaman baru agar guru vokasional akan terus dipandang tinggi kemahirannya dan disegani oleh industri. Sesuatu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dimiliki oleh guru sebenarnya itulah kekuatan yang ada pada dirinya.

Guru aliran vokasional dan kemahiran yang matang akan sentiasa memikirkan cabaran pelajarnya dan berfikir bagaimana supaya pelajarnya boleh kompeten dan diterima oleh industri. Kegemilangan sistem pendidikan teknik dan vokasional tidak hanya terletak kepada kurikulum sahaja tetapi yang lebih utama ialah penyampaian kurikulum oleh guru-guru.

18. Penutup

Perubahan daripada proses pembelajaran secara konvensional kepada CBTA yang telah dirancang untuk dilaksanakan seharusnya didokong dengan rasa tanggungjawab yang jitu oleh semua pegawai di KPM, pentadbir PTV di sekolah seterusnya pendidik di sekolah. Maka semua pihak harus menerima perubahan ini dengan fikiran yang terbuka. Adalah diharapkan bahawa perubahan kurikulum nantinya akan menjadi sinonim kepada pendidik dan pelajar PTV di sekolah. Ia penting supaya perancangan memperkasakan pendidikan PTV relevan dan dapat diterima oleh semua golongan masyarakat.

CBTA di dalam PTV adalah perubahan kurikulum yang diharapkan boleh membentuk modal insan yang dapat memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Negara dan employable di industri di dalam negara bagi memenuhi keperluan guna tenaga negara.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah merancang untuk melaksanakan CBTA di SMT dan SMK dengan penuh komitmen. Perancangan untuk melaksanakan CBTA telah diselaraskan dengan diterajui oleh Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional sebagai perancang utama serta Bahagian Pembangunan Kurikulum sebagai penyebar dari peringkat KPM sehingga ke peringkat sekolah.

Perancangan CBTA dimulakan dengan memberi kursus-kursus intensif kepada guru-guru aliran teknikal, aliran vokasional dan aliran kemahiran yang mengajar di sekolah –sekolah menengah teknik. Kursus juga diberikan kepada pegawai-pegawai di KPM bagi membentuk pasukan profesional yang mantap supaya proses penyebaran CBTA lebih terancang dan berkesan. Setiap sesi kursus akan dihadiri oleh 90 orang guru dari pelbagai bidang dan kursus selama sepuluh hari.

Kursus-kursus pendek selama selama empat hari juga diberikan kepada pentadbir SMT bagi memberi pendedahan peri pentingnya proses bimbingan dalam bentuk mentor bagi melatih dan menyebarluaskan ilmu dan kaedah pendidikan yang betul. Matlamat kursus ini adalah untuk membina struktur latihan tidak formal kepada pentadbir khususnya pengetua sekolah. Pengetua diharapkan boleh membantu merealisasikan konsep membimbing dan melatih dikalangan guru dan staf di sekolah masing-masing.

Sumber: BPK KPM 2008

3 comments:

  1. Australia telah memperkenalkan CBT se awal tahun 1980-an dan CBTA pada tahun 1996. Di Australia, sistem latihan dan pendidikan diintegrasikan dibawah satu agensi iaitu AQTF. Di Malaysia, pendidikan dan kemahiran adalah dua elemen yang berbeza dan diletakkan dibawah 2 kementerian yang berbeza. Sebagai contoh pendidikan akademik dibawah Kementerian Pelajaran manakan Pendidikan Kemahiran di bawah Kementerian sumber manusia. Bagaimana pula dengan sekolah teknik/vokasional yang menekankan kedua-dua aspek akademik dan vokasional.

    ReplyDelete
  2. terima kasih tentang maklumat yang saudara kirimkan... tentu saudara mempunyai maklumat untuk dikongsi bersama... sekiranya tidak keberatan... saudara boleh kirimkan beberapa makluamt ke email saya... kgpakdollah@yahoo.com.. untuk kita berkongsi bersama... saudara tentu tahu negara sedang memperkenal kompetesi berasaskan sekolah... tq

    ReplyDelete
  3. terima kasih atas maklumat yang sangat berguna.

    ReplyDelete