Monday, December 10, 2012

Baja cacing tanah mampu atasi baja kimia

Satu kajian yang dijalankan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) baru-baru ini mendapati baja yang dihasilkan secara semula jadi oleh cacing tanah adalah jauh lebih berkualiti berbanding baja kimia yang sering digunakan golongan petani ketika ini.

Ia kerana baja yang dihasilkan oleh cacing tersebut dikenal pasti mempunyai campuran nutrien lengkap dengan campuran organisma yang lebih baik serta zat makanan dan mineral yang mampu menyuburkan tumbuhan untuk satu tempoh jangka masa yang panjang.

Malah, baja yang terhasil daripada cacing tanah itu juga terbukti bersifat mesra alam kerana mampu memperbaiki kualiti tanah pada tahap yang memuaskan selain berupaya meningkatkan kestabilan dan pengudaraan pada tanah sekali gus mengurangkan hakisan.

Sekretariat ECER dalam kenyataannya baru-baru ini menyebut kajian itu juga mendapati, selain lebih berkualiti dan bermanfaat, kos baja cacing tanah juga jauh lebih murah berbanding baja kimia yang didapati dipasaran ketika ini.

‘‘Bahan campuran kompos dan bahan buangan cacing adalah lima kali lebih kaya daripada jumlah sedia ada dalam nitrogen, tujuh kali lebih kaya daripada jumlah sedia ada dalam phosphates dan 11 kali lebih kaya berbanding jumlah sedia ada dalam photash yang boleh didapati pada enam inci pertama permukaan tanah,” katanya.

Kata kenyataan itu, kajian itu juga merumuskan bahawa cacing tanah sebenarnya merupakan penyelesaian secara natural terhadap sisa makanan dan makhluk tersebut mampu bertindak seperti sebuah mesin penghadaman yang amat cekap.

Ia kerana cacing berkenaan mampu menghadam makanan separuh daripada berat badannya sendiri pada setiap hari dan menukar makanan yang telah dihadam menjadi bahan organik sekali gus meninggalkan bahan buangan iaitu zat makanan lengkap.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment