Monday, January 21, 2013

Kezuhudan dan Kesederhanaan Umar: Bayaran Bantuan Harian Kepada Umar

Umar menyara hidup dengan berniaga. Apabila beliau dilantik menjadi khalifah selepas Syaidina Abu Bakar, beliau pun mengumpul orang ramai dan berkata kepada mereka: “Aku menyara hidupku dengan berniaga. Disebabkan kamu semua telah melantikku sebagai khalifah, aku tidak dapat lagi pergi berniaga. Jadi bagaimana dengan saraanku sekarang?”.

Berbagai saranan diberikan agar bayaran harian daripada Baitul Mal diberikan kepadanya. Ali r.a tidak berkata apa-apa. Lalu Umar pun meminta pandangannya: “Wahai Ali! Apakah pendapat kamu?”

Beliau menjawab: “Aku cadangkan agar sejumlah wang diambil mencukupi bagi keperluan keluargamu”.

Umar menerima cadangannya dan jumlah bayaran harian yang sederhana ditetapkan untuknya.

Kemudian beberapa orang termasuk Ali, Uthman, Zubair dan Talhah mencadangkan agar bayaran itu ditambah kerana bayaran sebelum itu jauh daripada mencukupi. Tetapi tiada seorang pun yang berani mengesyorkannya kepada Umar r.a.

Mereka pun berjumpa dengan Ummul Mukminin Hafsah, anak perempuannya dan memintanya mendapatkan persetujuan daripada Umar tanpa menyebutkan nama orang-orang yang mengesyorkannya. Apabila perkara ini dibawa oleh Hafsah, Umar menjadi begitu marah dan berkata: “Siapakah yang mengesyorkan perkara ini?”

Hafsah menjawab: “Berikan pendapatmu dahulu”.

Umar: “Jika aku mengetahui mereka, nescaya aku akan ku tampar muka mereka. Hafsah! Ceritakanlah kepadaku pakaian Rasulullah yang terbaik yang ada di rumahmu?”

Hafsah: “Sepasang kain kemerah-merahan yang dipakai oleh Rasulullah pada hari Jumaat atau tatkala menerima perutusan”.

Umar: “Apakah jenis makanan yang terbaik yang pernah dimakan oleh Rasulullah di rumahmu?”

Hafsah: “Kami makan roti barli biasa. Pada suatu hari daku telah menyapu sekeping roti daripada bekas minyak sapi dan baginda makan dengan penuh selera dan menyungguhkannya kepada orang lain”.

Umar: “Apakah jenis hamparan tidur yang terbaik yang digunakan oleh Rasulullah di rumahmu?”

Hafsah: “Sehelai kain tebal. Pada musim panas ia dilipat empat dan pada musim sejuk ia dilipat dua, sebahagian dijadikan selimut untuk menutupinya”.

Umar: “Hafsah! Pergilah beritahu orang-orang ini bahawa Rasulullah telah menunjukkan satu tauladan peribadinya. Aku mesti ikut teladan itu. Perumpamaan bagi kami bertiga yakni aku, Rasulullah dan Abu Bakar adalah seumpama tiga orang yang bermusafir melalui sebatang jalan yang sama”.

Orang yang pertama (Rasulullah) yang memulakannya dengan perbekalan dan telah mencapai matlamatnya. Yang kedua (Abu Bakar) mengikuti jejaknya dan telah bertemu dengannya. Sekarang orang yang ketiga sedang dalam perjalanan. Jikalau dia menuruti jejak mereka nescayalah dia juga akan bertemu dengan mereka. Jika tidak menyimpanglah dia.

No comments:

Post a Comment