Thursday, January 10, 2013

PENDIDIKAN DAN KERJAYA TEKNOLOGI HIJAU

Mempunyai paksi tegak yang besar dilengkapi dengan beberapa bilah segi empat yang berputar mengikut arah tiupan angin membawa kita ke satu kawasan lapang yang cantik dan menenangkan. Dahulu, kincir angin digunakan sebagai mesin untuk menimba air bagi mengairi kawasan pertanian serta menumbuk atau mengisar biji-bijian. Kini, ia telah menjadi sumber tenaga elektrik yang dikenali sebagai turbin angin untuk menggerakkan generator. Evolusi dalam sistem pendidikan telah membawa masyarakat menuju ke arah kemajuan teknologi. Walau bagaimanapun, elemen-elemen penjagaan alam sekitar atau teknologi hijau perlu ditekankan. Menyedari konsep, „Earth for All‟, ia perlu diperlihara agar menjadi warisan berharga buat generasi yang akan datang.

Di dalam Dasar Teknologi Hijau Negara, terdapat tiga peringkat matlamat yang disasarkan. Matlamat jangka pendek dalam RMKe-10 menyatakan institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi perlu mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai Teknologi Hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai. Bagi matlamat jangka sederhana dalam RMKe-11 pula, ia mengharapkan peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi Teknologi Hijau oleh universiti tempatan dan institusi penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional. Manakala, matlamat jangka panjang dalam RMKe-12 pula mengharapkan konsistensi peningkatan kerjasama peringkat antarabangsa antara universiti tempatan dan institusi penyelidikan dengan industri Teknologi

Hijau. Maka, jelaslah di sini bahawa pendidikan dan teknologi hijau sentiasa bergerak seiringan dalam membentuk pertumbuhan ekonomi negara. Bersesuaian dengan objektif kelima di dalam Dasar Teknologi Hijau Negara iaitu untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau, serta menggalakkan penggunaan meluas teknologi hijau. Maka, bidang utama yang berkaitan dengan teknologi hijau perlu dikenalpasti. Selain itu, kaedah dan objektif pendidikan juga haruslah jelas dan sistematik. Merujuk kepada Bloom‟s Taxonomy, terdapat enam peringkat perkembangan pemikiran bagi pelajar. Ia bermula daripada peringkat yang paling mudah kepada peringkat yang paling komplek. Gambar rajah 1 menunjukkan hubungan diantara pendidikan dan teknologi hijau secara menyeluruh.

Gambar rajah 1: Hubungan diantara Pendidikan dan Teknologi Hijau

Baru-baru ini, pihak kementerian menyeru agar integrasi teknologi hijau dalam sistem pendidikan dikemaskini mengikut peringkat pemikiran dan tahap pemahaman pelajar. Di dalam sistem PTV, model „Pendidikan Berasaskan Hasil‟ telah lama digunakan. Melalui model ini, elemen yang perlu dikenalpasti adalah permintaan pasaran, pelajar yang ingin dihasilkan serta perancanagan pembelajaran. Gambar rajah 1 menunjukkan tenaga, bangunan, kimia dan nanoteknologi hijau sebagai permintaan pasaran. Ia diikuti dengan SKAs (Knowledge, skills and attitudes) yang ingin dibentuk dalam diri pelajar dan Bloom‟s Taxonomy yang terdiri daripada enam peringkat pemikiran pelajar bertindak sebagai kayu ukur dalam menentukan tahap perkembangan pemikiran pelajar. Gambar rajah ini boleh dijadikan sebagai panduan bagi perlaksanan integrasi bidang teknologi hijau dalam pendidikan yang lebih sistematik. Umumnya, pendidikan dan kerjaya merupakan gandingan ideal yang tidak boleh dipisahkan. Proses pendidikan bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan ilmu untuk kerjaya di masa hadapan. Justeru itu, isu kerjasama pintar di laman sesawang KeTTHA, (2011) menyatakan bahawa kementerian telah bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk membangunkan Occupational Analysis (OA) dan National Competency Standard (NCS) dalam bidang Teknologi Hijau. Dokumen-dokumen OA dan NCS tersebut telahpun diluluskan oleh KSM pada tahun 2010. Occupational Analysis (OA) merupakan proses sistematik untuk mengumpul maklumat mengenai tugas-tugas yang penting dalam sesuatu pekerjaan. NCS pula dibangunkan bagi menyenaraikan kompentensi generik sesuatu pekerjaan yang perlu dicapai untuk dijadikan pekerjaan hijau. Sektor Teknologi Hijau juga atas inisiatifnya sendiri telah berhubung dengan pihak International Labour Organization (ILO) untuk mendapatkan bantuan dalam menyediakan “roadmap” bagi pekerjaan hijau (Green Jobs) di Malaysia. Tujuan penyediaan “roadmap” ini adalah untuk memberi hala tuju kepada pihak industri dalam pelbagai sektor yang berkaitan Teknologi Hijau mengenai kepentingan pekerjaan hijau dalam menjamin masa depan Negara.

Dokumen-dokumen OA dan NCS pekerjaan hijau akan digunakan sebagai standard amalan di setiap institusi PTV. Dengan adanya kedua-dua dokumen ini, ia dapat membantu pelajar mengetahui dengan lebih lanjut tentang deskripsi pekerjaan, klasifikasi pekerjaan, penilaian pekerjaan, reka bentuk penyusunan semula sesuatu pekerjaan, keperluan personal, penilaian prestasi, latihan pekerja, mobiliti pekerja, kecekapan, keselamatan, perancangan sumber manusia dan undang-undang yang berkaitan dengan sesuatu pekerjaan hijau. Ia turut menyediakan kaedah berkesan untuk membantu pelajar mencapai standard yang lebih tinggi di dalam sesuatu bidang. Pelajar bukan sahaja tahu malah dia mampu untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan sempurna. Sistem pendidikan yang dibentuk haruslah mempunyai matlamat yang difahami dan pencapaian yang boleh diukur agar menjadi institusi yang produktif dalam melahirkan pekerja yang cekap.

Oleh: Siti Nor Syazwani Saibani , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Sukri Saud (Journal of 
          Technical, Vocational & Engineering Education 15)
Sumber: http://eprints.utm.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers