Monday, January 21, 2013

Sejarah Pengangkutan di Port Weld

Port Weld merupakan perhentian terakhir jalan keretapi Larut manakala Matang merupakan perhentian akhir jalan ke Taiping.

Perkhidmatan kapal menghubungi Port Weld dengan Pulau Pinang bejalan setiap hari dimana kapal-kapal ini berlayar mengikuti persisiran pantai, manakala kapal-kapal layar Melayu yang lebih kecil banyak berlabuh di Matang. Perhubungan di antara Port Weld dan Taiping, bandar utama daerah Larut, hanya melalui jalan keretapi dan denai yang boleh dilalui kereta kuda. Oleh sebab itu, untuk mengurangkan kos, barang-barang dagangan dibawa melalui jalan air ke Matang, dan dari situ, pedagang-pedagang boleh mengangkut barangan mereka dengan sendiri ke Taiping, Kuala Kangsar dan daerah Kinta.

Kapal stim di Port Weld, sekitar tahun 1890an. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Walaupun kedudukan Port Weld agak strategik dari segi aktiviti pengagihan barang-barang dagangan dari Pulau Pinang yang hanya 40 batu jauhnya, bilangan penduduknya tidak berkembang pesat. Di sini, kerajaan British telah membina dermaga, menambak tanah, membina jalanraya dan sistem saliran. Bekalan air di Port Weld baik kerana ianya disalirkan dari bukit-bukit di Larut. Semua usaha ini dilakukan dengan harapan Port Weld berkembang sebagai penempatan pedagang-pedagang British. Namun begitu, penduduk Port Weld hanya terdiri daripada kakitangan kerajaan dan sebilangan peniaga runcit yang membekalkan barangan untuk penduduk pekan Port Weld itu sendiri dan kampung-kampung nelayan di persekitaran. Satu pengajaran bagi pihak British di sini adalah supaya tidak membuat keputusan untuk membina pelbagai prasarana dengan melulu.

Keretapi Port Weld-Taiping. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Jika difikirkan, Port Weld hanyalah sebuah tempat di mana orang ramai berjalan dari kapal ke stesen keretapi atau sebaliknya, dan kesemua aktiviti yang berlaku di pekan ini boleh dijalankan tanpa ramai kakitangan, yang kebanyakannya lebih suka tinggal di bandar-bandar yang lebih besar seperti Taiping. Oleh kerana sisten keretapi dari Port Weld baik, seorang peniaga akan sanggup ke pelabuhan untuk menyelia pengagihan barang-barangnya sendiri, tanpa bergantung kepada kakitangan pelabuhan atau keretapi. Oleh sebab si peniaga ini boleh kembali ke pekan asalnya dalam tempoh 20 minit setelah selesai hal perniagaannya, tiada sebab untuk si peniaga ini membuat Port Weld tempat kediamannya. Cita-cita British untuk menjadikan Port Weld seperti bandar-bandar pelabuhan di Singapura atau Hong Kong nampaknya tidak berjaya.

Rujukan: Swettenham FA. V. Ports and Waterways. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p26-28.

Sumber: http://sembangkuala.wordpress.com/

Sejarah Pembukaan Landasan Port Weld

Ianya bermula pada 20 Februari 1880 apabila kerajaan meluluskan rancangan pembinaan jalan keretapi dari Taiping ke Teluk Kertang. Serentak dengan itu, kerja-kerja mengukur tapak landasan juga telah dimulakan. Namun atas faktor kemajuan masa depan, akhirnya landasan yang pertama di negara ini telah dibina menghubungkan Taiping dengan Kuala Sepetang. (Yang kedua jika landasan kayu antara Johor Bahru dengan Gunung Pulai diambil kira).

Oleh kerana ketiadaan Jurutera yang berpengalaman untuk membina jalan keretapi ini, seorang pekerja telah dibawa masuk dari kerajaan Ceylon (Sri Lanka) bagi membantu membina landasan ini.

Beberapa buah stesen dan perhentian telah dibina di sepanjang laluan sejauh 8½ batu itu. Antaranya adalah stesen di kawasan dua setengah batu dari pelabuhan (Matang Road) dan Batu Lima (sekarang Simpang). Seterusnya stesen di Taiping yang terletak di padang Sekolah King Edward VII sekarang ini, manakala bangunan ibu pejabat keretapi pula terletak di kawasan berhampiran Rumah Rehat sekarang.

Port Weld dipilih sebagai pelabuhan kerana keadaan Teluk Kertang tidak sesuai untuk aktiviti perkapalan. Sewaktu air pasang, ombak boleh mencecah sehingga sebelas kaki. Selain daripada itu, pemilihan Port Weld adalah kerana airnya dalam, sesuai untuk kapal bersauh atau berlabuh dan jaraknya agak dekat dengan Pulau Pinang.

Port Weld juga adalah tempat pertemuan empat kuala sungai dengan tebing berlumpur yang lembut setinggi empat kaki sewaktu air surut.

Sewaktu pembinaan landasan, banyak lembu yang mati akibat wabak penyakit lembu dan ini menyebabkan sewa kereta lembu melambung naik. Ini telah membawa orang ramai mula beralih untuk menggunakan perkhidmatan keretapi. Pada masa yang sama, perkhidmatan dari pintu ke pintu menggunakan kereta lembu mengalami kesulitan dan membebankan pengguna.

Pembinaan landasan itu yang mana adalah kemudiannya menjadi sebahagian daripan jajaran Keretapi Negeri Perak, disifatkan sebagai berjaya dengan permintaan yang semakin bertambah walaupun terdapat kekurangan stok guling (rolling stock) sejak dari mula landasan beroperasi.

Pada 12 Februari 1885, Gabenor Negeri Selat telah memeriksa landasan tersebut dalam satu perjalanan yang mengambil masa selama 40 minit.

Pada 1 Jun 1885, landasan Kuala Sepetang ke Taiping dibuka kepada trafik. Sejumlah $ 345,000.00 telah dibelanjakan sehingga tahun 1885. Kos ini termasuk pembinaan landasan, bangunan dan pembelian enjin serta gerabak juga peralatan trafik lainnya.

Perlu diketahui, Larut adalah sebuah daerah yang kaya dengan perlombongan bijih timah dan kawasan yang mempunyai banyak lombong-lombong bijih timah terletak di sepanjang laluan di antara Teluk Kertang dan Kamunting. Sebelum landasan keretapi dibina, kereta lembu telah digunakan untuk mengangkut bijih timah dari lombong bijih ke pelabuhan. Malah selepas perkhidmatan keretapi dimulakan, dalam tahun 1887, sebanyak 150 hingga 200 buah kereta lembu masih digunakan di antara dua tempat tersebut, yang mana kapal-kapal masih berlabuh di Teluk Kertang untuk kerja-kerja pemunggahan barang-barang.

Selain mengangkut bijih timah ke Port Weld, perjalanan balik keretapi akan dipenuhi dengan kayu bakau yang dijadikan kayu api secara meluas di lombong-lombong bijih timah. Sungguhpun begitu, bukan bijih timah atau kayu bakau yang menjadi penyumbang utama pendapatan kepada Keretapi Negeri Perak ketika itu sebaliknya hasil pendapat tinggi diperolehi daripada penjualan tiket untuk tren penumpang, barang-barang dan bungkusan.

Hasil pendapatann keretapi bagi tahun 1886 adalah $55,157 di mana penumpang menyumbang $17,649 dan barang-barang serta bungkusan menghasilkan pendapatan sebanyak $16,885. Hasil dari kayu bakau pula adalah $8,251. Jumlah perbelanjaan keseluruhan untuk kerja-kerja senggaraan dan pembaikan pula adalah sekitar $36,794. Pada tahun iu juga, sebuah lokomotif baru, enam gerabak kelas 3 dan sepuluh gerabak tepian sisi tinggi telah ditambah.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan di landasan itu yang beroperasi untuk berpuluh tahun lamanya terpaksa dihentikan atas sebab masalah ekonomi serta ketidakmampuan pelabuhan Port Weld menerima kapal-kapal besar untuk berlabuh.

Sumber: http://zkeretapi.blogspot.com/

F.M.S.R - Taiping - Port Weld Railway Line

Kuala Sepetang dahulunya dikenali sebagai Port Weld dinamakan sempena nama seorang Governor, Frederick Weld (Kuala Sepetang adalah nama asal sebelum dinamakan semula). Terletak berhampiran kuala sungai dan berada dalam daerah Taiping di Perak , ia bermula sebagai tempat perkampungan nelayan.

Tujuan utama landasan dibina adalah untuk menghubungkan antara kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan terdekat iaitu Port Weld. Landasan keretapi juga telah memudahkan perjalanan keluar masuk buruh dan pelombong ke tempat bekerja.Ia menjadikan Stesen Taiping sebagai stesen keretapi pertama di negara ini.

Info mengenai landasan keretapi Taiping – Port Weld
  • Landasan dibuka pada : 1 Jun 1885
  • Pembukaan rasmi : Sir Hugh Low, Residen British Perak
  • Pembiayaan : £7000 ditanggung oleh Kerajaan Negeri Perak.
  • Status : sudah dibongkah WW II
  • Panjang landasan : 13.1 Km (TAIPING 0.0 Km - SIMPANG 4.0 Km - MATANG ROAD 8.0 Km - PORT WELD 13.1 Km)
* Difahamkan, setiap landasan milik KTM Berhad (KTMB) mesti mempunyai tanah rizab seluas 20 kaki (6.6 meter) di kedua-dua belah rel. Ini bermakna, semua bangunan dan deretan rumah serta kedai di situ dibina di atas tanah milik KTMB.*

Gambar dirakam pada Jun 1885 apabila landasan sepanjang 8 batu dibuka secara rasmi dari Taiping ke Port Weld

Stesen Simpang

Stesen Port Weld

Ini saja yang tinggal (Picture : ktmrailwayfan member)

Papan tanda dikatakan sudah dialih dari kedudukan asal selepas tiangnya patah. Penduduk tempatan mengambil inisiatif membina semula tiang konkrit baru setinggi kira-kira dua meter dan diletakkan di depan Kedai Kopi Guang Ming, kira-kira 20 tahun lalu.Asalnya, kedai itu adalah Stesen Kereta api Port Weld menempatkan bilik pejabat, kaunter tiket tetapi kini dijadikan kedai kopi. Bagaimanapun, struktur asal bangunan itu masih dikekalkan termasuk tiang kayu utama yang dicat semula.Sehingga kini, semua rel landasan sudah dibongkah, saki baki yang ada sudah tenggelam di dalam simen bangunan, gudang dan deretan rumah kedai di pekan kecil Kuala Sepetang.

* FMSR - Federated Malay States Railway sebelum nama KTMB

Sumber: http://www.malayarailway.com/

Kuala Sepetang adalah Port Weld

Merujuk wikipedia; Kuala Sepetang merupakan nama asal bagi Port Weld. Kuala Sepetang adalah nama rasmi yang telah diisytiharkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Kuala Sepetang terletak di kuala sungai yang menghadap Selat Melaka di sebelah barat iaitu di negeri Perak dalam daerah Taiping.

Tempat yang berhampiran dengannya ialah Matang, Au Long, Kamunting dan Taiping. Kawasan ini merupakan kawasan paya bakau yang sangat luas. Hutan paya bakau ini diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Matang.

Sepetang merujuk kepada keindahan sinaran merah matahari di ufuk barat. [perlu rujukan] Sinar merah suria di titik horizon Selat Melaka boleh menimbulkan nostalgia kepada sesiapa sahaja yang pernah menikmatinya.

Kuala Sepetang kemudian ditukar nama kepada Port Weld. Menjadi kelaziman pegawai British untuk menamakan sesuatu tempat, bangunan dan jalan raya mengunakan nama sahabat-sahabat mereka dari British. Nama 'Weld' diambil daripada nama Sir Frederick Weld yang telah tiba di Taiping pada tahun 1881 dan meningkatkan kemudahan infrastruktur Taiping sebagai ibu negeri Perak. Ini termasuklah jalan raya, kegiatan industri, perlombongan, bangunan pentadbiran, sekolah dan sebagainya. Nama beliau turut diabadikan pada Jalan Weld Road (Jalan Raja Chulan) di Kuala Lumpur. Upper Weld Road di Singapura dan Weld Quay di Pulau Pinang. Beliau dilahirkan di Bridport, Dorset, England pada 9 Mei 1823 dan meninggal dunia di Chideock, New Zealand pada 20 Julai, 1891.

Sumber: http://wikipedia

3 comments:

  1. Ya, padang KE Jalan Stesen adalah stesen Taiping yang asal.

    ReplyDelete
  2. Salam ..bagaimana nak dapat nama pekerja daripada Sri Lanka itu? Dan nama syarikat yg diberkan tugas membina landasan itu?

    ReplyDelete
  3. Tuan ada maklumat nama station master Stesen Kereta api Taiping?

    ReplyDelete