Ketika kecenderungan orang ramai sebagai pengguna mula terarah kepada produk semula jadi, mereka kini memilih untuk menjadikan tumbuhan sebagai bahan utama kegunaan harian.
Produk tersebut mungkin ubat-ubatan, makanan atau produk penjagaan kesihatan berasaskan herba yang kini semakin popular.
Justeru, apabila semakin banyak pihak mula menyedari kecenderungan tersebut dan mengambil langkah proaktif menjalankan penyelidikan mengenai tumbuhan herba, ia boleh dianggap satu perkembangan positif.
Menjalankan penyelidikan mengenai khasiat herba tidak sahaja membantu mempromosikan tumbuhan tersebut secara langsung tetapi masyarakat juga kini mula menghargai bukti saintifik dan khasiatnya.
Lebih menarik, beberapa pihak sudah mengambil langkah lebih kehadapan yang akan menyokong industri ini pada masa akan datang menerusi pewujudan taman-taman herba dan seumpamanya.
Sebagai bukti, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menubuhkan Taman Konservatif Pertanian yang menempatkan lebih 500 spesies tumbuhan ubat-ubatan.
Usaha tersebut yang digerakkan oleh Institut Biosains (IBS) UPM telah berjaya menarik para penyelidik tempatan dan luar negara untuk menjalankan kajian perubatan bagi mengatasi pelbagai penyakit.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, konsep taman tersebut sangat bersesuaian dengan UPM yang memberi fokus kepada penanaman tumbuhan untuk menghasilkan produk hiliran.
"Menerusi taman ini, para penyelidik dapat menjadikannya sebagai pusat tumpuan utama bagi sumber tumbuhan herba dalam kajian bioteknologi mereka.
"Malaysia merupakan negara bertuah kerana berada di tangga keempat selepas China, Indonesia dan India daripada 12 negara di dunia yang mempunyai lebih 1,500 spesies tumbuhan berstatus ubat-ubatan,'' katanya ketika ditemui di UPM, Serdang, baru-baru ini.
Sementara itu, koordinator taman berkenaan, Dr. Faridah Qamaruz Zaman memberitahu, taman itu diusahakan di kawasan seluas dua hektar yang dipenuhi dengan tumbuhan asli dan eksotik dari spesies tempatan.
"Keistimewaan yang diketengahkan adalah kesemua pokok diatur dalam susunan landskap yang cukup menarik serta dilengkapi dengan label memaparkan maklumat seperti nama asal, nama saintifik dan kegunaannya,'' jelas beliau.
Dalam memastikan perkembangan industri herba, pihak IBS juga ada menjalankan kerjasama secara komersial dengan pihak industri seperti organisasi bukan kerajaan (NGO).
Sebagai contoh, sejak empat tahun lalu, IBS bersama Majlis Kanser Nasional (Makna) telah bekerjasama menjalankan penyelidikan makmal secara klinikal untuk mencari penawar kepada penyakit kanser.
Selain itu, kesemua tumbuhan herba yang ditanam juga akan di hantar ke beberapa fakulti seperti fakulti perubatan untuk tujuan penyelidikan dan kajian lanjut mengenai khasiatnya.
Ia biasanya melibatkan pelbagai spesies tumbuhan herba tidak kira daripada bahagian bunga, daun, batang atau akarnya. Antara contoh tumbuhan tersebut adalah seperti cekur, daun kaduk, daun kemangi, misai kucing dan sebagainya
Mungkin ramai yang tidak mengenali kumpulan tumbuhan ubatan jenis herba ini kerana penanamannya tidak dilaksanakan secara meluas.
Justeru bagi mendedahkan masyarakat kepada penggunaan, kaedah penanaman dan penjagaan tumbuhan jenis itu, UPM melalui IBS telah menganjurkan Bengkel Pengenalan Tumbuhan Ubatan.
Bengkel yang pertama kali diadakan itu adalah bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan minat di kalangan peserta terhadap tumbuhan ubatan di samping mengenalpasti potensinya dalam industri.
Menurut Pengarah IBS, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff, disebabkan aplikasi perubatan tradisonal menggunakan tumbuhan herba hanya diamalkan oleh masyarakat di sesuatu tempat, maka ia perlu diperluaskan kepada umum.
"Penggunaan tumbuhan herba telah meluas, namun pengetahuan tentang khasiat sebenar dan cara penanaman yang betul tidak diamalkan sepenuhnya.
"Justeru, melalui bengkel seperti ini, para peserta dapat berkongsi maklumat dan seterusnya dapat menambah pengetahuan tentang tanaman ini dengan lebih mendalam,'' jelasnya.
Secara keseluruhannya, bengkel dua hari berkenaan memberi fokus kepada pengenalan sumber tumbuhan baru, mengenalpasti khasiat tumbuhan secara saintifik, pembiakan tumbuhan secara in-vitro, industri herba semasa, pemakanan berasaskan herba serta pelaksanaan kebun dapur.
Untuk memperolehi maklumat tumbuhan dengan lebih jelas, para peserta turut didedahkan dengan jenis dan nama tempatan serta nama saintifik. Mereka juga akan diberi penerangan tentang pembahagian tumbuhan yang boleh dikategorikan kepada tiga fungsi utama iaitu untuk tujuan aromaterapi, refleksi dan kesihatan.
Bagi mengelakkan masalah kepupusan di samping mengatasi masalah kekurangan bekalan sumber bahan mentah, para peserta juga akan diajar dengan teknik penanaman secara tisu kultur. Ini keran teknik berkenaan mempunyai kelebihan untuk menghasilkan anak pokok yang berkualiti serta mengalami pertumbuhan yang cepat.
Bukan setakat itu, pendidikan secara praktikal akan diberikan untuk menggalakkan mereka menanam pokok herba sebagai tumbuhan landskap di rumah seperti pokok ulam-ulaman agar hasilnya dapat dimakan secara terus.
Selain itu, IBS melalui unit bantuannya juga akan menyalurkan pertolongan seperti khidmat nasihat, jualan benih dan juga penerangan secara terperinci.
Kira-kira 50 orang peserta mengambil bahagian dalam bengkel tersebut terdiri daripada orang awam, para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan juga swasta.
Menurut salah seorang peserta, Abdul Razak Roslan, 41, bengkel tersebut memberi banyak manfaat kepadanya dari segi maklumat berkaitan khasiat setiap tumbuhan dan teknik tanaman yang betul.
"Dengan ilmu tersebut, selepas ini saya boleh menanam sendiri tumbuhan herba di rumah dan juga di tempat kerja,'' katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Universiti Darul Iman Malaysia, Nor Haslinda Haron, 25 berpendapat, bengkel tersebut memberi peluang kepadanya mengenali beberapa individu yang mempunyai kepakaran dalam industri tersebut.
"Mereka tentunya dapat dijadikan sebagai sumber rujukan untuk saya mendapatkan maklumat mengenai fungsi herba dalam menyembuhkan penyakit.
"Ini kerana ketika ini saya sedang menjalankan penyelidikan dan kajian mengenai kegunaan herba tradisional,'' jelasnya.
Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
Sumber: utusan.com.my
No comments:
Post a Comment