Wednesday, October 27, 2010

Keteguhan iman Abu Darda'

ABU Darda' ialah seorang sahabat yang akrab dengan Nabi Muhammad. Beliau bersikap rendah diri dan bertakwa kepada Allah. Beliau banyak mendapat hadis daripada Nabi Muhammad.

Antara hadis yang terkenal adalah mengenai manusia dianggap gagah apabila dapat menahan perasaan marah.

Hadis ini dilaporkan oleh Imam Tabrani dan Ibin Abid Dunya. Pada suatu hari, Abu Darda' bertanya kepada Nabi Muhammad: "Wahai nabi, tunjukkanlah kepada saya amalan yang dapat membawa saya ke syurga."

Kemudian Nabi Muhammad menjawab, "Janganlah kamu marah. Mereka yang dapat menahan perasaan marah adalah orang yang mengawal diri sendiri supaya patuh dan taat kepada Allah dan Nabi Muhammad".

Abu Darda' mendengar dengan teliti jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Kemudian Abu Darda' mengangguk-anggukkan kepalanya dan berkata: "Tahulah saya sekarang, orang yang dapat menahan perasaan marah adalah orang yang mulia dan dapat masuk syurga."

Abu Darda' juga ahli fikah yang masyhur antara para sahabat Nabi Muhammad. Beliau digelar 'Hakimul ummah' iaitu orang yang pandai dan bijak dalam hal berkenaan agama Islam.

Pada suatu hari, Abu Darda' mendapat berita mengenai kebakaran yang berlaku di kawasan rumahnya. Pada masa itu, Abu Darda' berada di tempat kerjanya. Perjalanan dari rumah ke tempat kerjanya agak jauh.

Kemudian, datang seseorang memberitahunya. "Ada rumah terbakar! Ada rumah terbakar! Semua rumah di kawasan tempat tinggal di kampung sebelah sana semua sudah terbakar!"

Abu Darda' mahu mendapat kepastian mengenai berita kebakaran itu. Beliau menghampiri lelaki yang menyampaikan berita itu.

"Betulkah apa yang kamu cakap ini?" tanya Abu Darda' kepada orang itu.

"Ya. Saya baru sahaja datang dari kawasan rumah itu. Api semakin marak dan menjilat rumah-rumah yang berada di kawasan itu!" terang orang itu.

Tidak lama kemudian, orang itu perasan Abu Darda' adalah salah seorang penghuni di kawasan itu.

"Bukankah kamu tinggal di kawasan rumah itu? Mungkin rumah kamu juga turut terbakar. Segeralah pulang dan lihat keadaan rumah kamu itu. Mungkin ada apa-apa yang dapat diselamatkan," kata orang itu kepada Abu Darda'.

"Terima kasih kerana memberitahu saya mengenai berita kebakaran ini," kata Abu Darda'.

"Pergilah segera pulang ke rumah kamu. Selamatkan barang-barang kamu," ulang orang itu lagi.

"Saya tidak dapat pulang ke rumah sekarang. LAgi pula, sekarang saya bekerja. Kerja ini sudah diamanahkan kepada saya. Saya perlu menyelesaikan kerja ini terlebih dahulu," bisik Abu Darda' sendiri.

Abu Darda' langsung tidak terkejut dengan berita kebakaran itu. Malah, beliau tidak risau sekiranya rumah beliau sendiri yang terbakar. Lagi pula, rumah beliau berada jauh dari tempat beliau bekerja. Sebaliknya, Abu Darda' segera menyelesaikan tugasnya.

"Saya bertawakal kepada Allah atas apa yang berlaku," bisik Abu Darda' lagi.

Abu Darda' terus menyelesaikan pekerjaannya. Bagi Abu Darda', beliau hanya dapat bertawakal kepada Allah. Sekiranya rumahnya musnah dijilat api, itu adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah. Beliau dapat menerima kenyataan itu dengan tenang.

"Alhamdulillah, kerja saya hari ini sudah selesai. Saya mahu pulang ke rumah segera," katanya sendiri.

Petang itu, selepas selesai bekerja, Abu Darda' pulang ke rumahnya seperti biasa. Perjalanan ke rumahnya agak jauh.

Sampai sahaja di kawasan tempat tinggalnya, beliau melihat rumah-rumah yang ada di sana habis musnah terbakar. Tidak ada satupun rumah yang berdiri teguh dan terselamat daripada kebakaran itu.

"Habis semua rumah di sini terbakar di jilat api," bisik Abu Darda' selepas melihat rumah-rumah yang hangus terbakar itu.

Abu Darda' meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke rumahnya. Tiba-tiba, beliau melihat keadaan rumahnya masih elok.

"Subhanallah. Saya bersyukur kepada Allah. Rumah saya tidak terbakar," kata Abu Darda' gembira. Beliau terkejut dan gembira melihat rumahnya terselamat dan tidak terbakar sedikit pun.

Beginilah sifat orang yang sentiasa bertawakal kepada Allah atas setiap pekerjaan yang dilakukannya. Allah lebih mengetahui mengenai sesuatu perkara. Sekiranya Allah mahu sesuatu perkara itu berlaku, pasti ia berlaku dengan izin Allah juga.

lPetikan buku Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.

http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment