PEPATAH berkorban nyawa sudah biasa didengari. Namun, bagaimana dengan berkongsi organ? Pasti ramai yang memberi reaksi kehairanan berikutan masih ada pihak yang memandang sepi kepentingan berkongsi organ demi menyelamatkan nyawa.
Malah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Julai lalu, turut mengakui tahap kesedaran orang ramai terhadap pendermaan organ di negara ini masih rendah, berbanding jumlah pesakit yang memerlukan pemindahan organ bagi menyambung nyawa. Antara usaha mencetuskan kesedaran termasuk Minggu Derma Organ diadakan mulai semalam hingga Ahad depan. Andai ada masih meragui, kisah yang dipaparkan di bawah boleh menjadi teladan betapa pentingnya pendermaan organ ini.
Penderma organ
ESTHER Lim Joy-Ern, dua tahun sembilan bulan adalah seorang anak yang cukup comel dan manja. Tidak pernah terdetik di fikiran ibunya Claire George, 32, dan ayah, Lim Heng Seng, 56, satu-satunya anak perempuan akan pergi buat selama-lamanya sewaktu sedang menikmati percutian bersempena Krismas di Karambunai, Sabah dua tahun lalu.
Tiada sebarang tanda yang jelas, Esther hanya kerap tidur, mahu dipeluk setiap masa, enggan gambarnya diambil serta masalah kejang yang sering dialami.
“Awal pagi 28 Disember 2008 dia kejang, pengsan dan terus koma. Ujian dan imbasan di Hospital Likas menunjukkan Esther mengalami ketumbuhan otak di tahap kritikal sehingga berlaku pendarahan dalaman. Pada 30 Disember 2008, dia diisytiharkan mengalami mati otak. Doktor memberikan kami dua pilihan membawanya pulang atau mendermakan organnya walaupun kami sekeluarga bukan penderma organ berdaftar ketika itu,” cerita Claire mengimbas kembali detik cemas dan penuh trauma itu.
“Entah bagaimana, saya terus bersetuju, tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu, apa yang mendorong saya dan suami untuk meneruskannya. Apa yang saya tahu, Esther tidak pergi begitu saja, dia meninggalkan kami untuk satu tujuan yang cukup agung dan murni,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Claire mengakui, pada awalnya, ada bantahan keluarga tetapi selepas melihat penderitaan Esther dan diberi penjelasan, mereka akur dengan keputusan Claire dan Lim.
Sebaik bersetuju, pada 30 Disember buah pinggangnya diambil atau ‘dituai’ dalam bahasa perubatan. Keesokannya, ia diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama seorang penerima dari Kota Kinabalu dan seorang lagi penerima dari Melaka. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas sekali.
Sebagai penderma organ pertama dari Hospital Likas, pakar perubatan sendiri tidak menyangka bagaimana tubuh kecil itu mampu untuk hidup lama memandangkan saiz ketumbuhan yang agak besar.
“Perkara begini hanya hati ibu saja yang tahu, dan jauh di sudut hati saya tahu ia adalah perkara yang betul dan terbaik. Secara tidak langsung tindakan ini seolah pengubat luka dan terapi yang memulihkan kami sekeluarga. Kami melalui saat-saat yang sukar terutama untuk menerima kehilangannya hingga pada satu peringkat kami sekeluarga terpaksa menghadiri sesi kaunseling bagi mengendalikan trauma ini.
“Abang dan adiknya Benjamin Lim An-Yi (7 tahun) dan Joshua Lim An-Yue (3), masih bercerita mengenainya setiap hari seolah-olah Esther masih berlegar-legar di rumah,” kata guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati ada menerima dua kad ucapan tanpa nama dari penerima organ Esther.
Sambil mengakui proses pemulihan amat menyakitkan, Claire berkata, jauh di sudut hati, mereka berharap dapat bertemu dua penerima organ Esther.
Sebagai penderma berdaftar, Claire dan Lim mengakui kesedaran terhadap pendermaan organ masih di tahap rendah. Tidak kiralah menderma sewaktu hayat mahupun sebaliknya, ia memberi impak besar kepada kelangsungan dan kesejahteraan masyarakat.
Setakat ini belum ada lagi kawan-kawan yang bersedia menjadi penderma organ walaupun mereka secara tidak langsung menggalakkannya.
Penerima organ
KISAH hidup penerima organ buah pinggang, Jamal Jamlus, 45, sememangnya layak dikongsi ramai. Apa tidaknya, melihatkan riak wajahnya, siapa sangka anak kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan ini pernah melalui episod cukup getir apabila hidup bergantung kepada mesin dialisis selama 10 tahun!
Bertugas sebagai Koordinator Projek Berjaya Roaster Sdn Bhd di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, insan berperwatakan cukup ceria dan cergas ini diberi dua pilihan, sama ada bergantung seumur hidup dengan mesin dialisis atau mencari penderma membabitkan ahli keluarga dan sanak saudara yang sanggup melakukan usaha murni itu.
Sebaik disahkan mengalami kegagalan buah pinggang kronik pada 1996, namanya secara automatik tersenarai sebagai penerima organ dan tisu. Onak duri penuh ranjau dilaluinya termasuk terpaksa berhenti kerja sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat swasta akibat masalah kesihatan serta melupakan hasrat mendirikan rumah tangga bersama kekasih.
“Masuk tahun keempat, saya hampir putus harapan. Mujur sokongan dan dorongan keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya bertambah kuat menempuh dugaan Tuhan ini. Dalam kepayahan dan kos perubatan yang tinggi, saya perlu berdikari mencari alternatif untuk mendapatkan bantuan kebajikan.
“Syukur Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF) menerima permohonan saya dan bebanan kos perubatan dikurangkan selain mendapat bantuan Jabatan Agama Islam,” katanya.
Rahmat Allah ada di mana-mana, akhirnya Jamal bertemu jodoh dengan Salmah Che Ahmad yang kebetulan bertugas di NKF Petaling Jaya waktu itu.
Ibarat pembuka pintu rezeki, dua bulan selepas mendirikan rumah tangga, dia mendapat organ penderma yang punya keserasian jenis darah dan sel. Buah pinggang milik seorang pemuda berbangsa Cina, berusia 25 tahun yang diisytiharkan mengalami mati otak selepas terbabit dalam satu kemalangan.
Pada 14 Februari 2006, dia selamat menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang. Malah proses pemulihan juga dianggap antara paling cepat dan serasi dengan organ penderma.
“Benarlah, hubungan antara penderma dan penerima itu sepanjang hayatnya. Peliknya selama seminggu selepas pembedahan, semua orang di hospital menyangka saya seorang lelaki Cina, malah hingga kini saya terasa lebih selesa bergaul dengan budak muda berbanding yang sebaya,” katanya.
Jamal turut mengalami masalah mata kian rabun, selera makan bertambah, rambut gugur, pelupa, tangan menggigil, mudah hilang fokus terutama waktu membaca.
Bagaimanapun menurut pakar, kesan itu tiada kena mengena dengan ubat mahupun buah pinggang yang diterima.
Apapun, Jamal mengakui kempen kesedaran terhadap pendermaan organ, seharusnya lebih meluas memandangkan senarai penerima organ yang semakin panjang.
“Nyata stigma dan ketakutan di kalangan ahli keluarga masih kuat, biarpun di negara ini semua agama mengizinkan pendermaan organ, termasuk Islam yang mengiktiraf pendermaan organ sebagai perbuatan yang sangat mulia,” katanya.
Info
• Jumlah pendermaan organ setakat 1 September 2010: 300 orang
• Jumlah individu yang berikrar menderma organ : 146,362
• Jumlah pendermaan organ bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu : 29
• Jumlah pengikrar pendermaan organ : 7,941 orang
Sumber: Pusat Sumber Transplan Negara
Anda boleh mendapatkan maklumat bagaimana hendak menjadi penderma organ sempena Minggu Derma Organ di Malaysia pada 16-24 Oktober 2010. Sila hubungi 1800-88-9080 untuk mendaftar atau layari laman web Kementerian Kesihatan (www.moh.gov.my); Pusat Sumber Transplan Nasional (www.agifttolife.gov.my) dan Persatuan Transplan Malaysia ; Persatuan Nefrologi Malaysia.
Sumber: http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment