Wednesday, September 26, 2012

Balasan terhadap jin di akhirat ikut keimanan


Makhluk akan dihisab untuk masuk syurga atau neraka melalui amalan, kebaikan dilakukan

Ulama bersepakat bahawa jin kafir akan diazab pada hari akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah al-An'am ayat 28: “Neraka itulah tempat tinggal kamu sekalian”.
Firman Allah SWT lagi dalam Surah al-Jin ayat 15 (yang bermaksud): “Adapun orang yang menyimpang daripada kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam.”
Mengenai jin mukmin, ada beberapa pendapat yang berkembang dalam kalangan ulama iaitu;

Pertama: Mereka tidak mendapat pahala kecuali keselamatan daripada api neraka, lalu dikatakan kepada mereka, “Jadilah kamu debu seperti debu binatang”. Ini adalah pendapat Abu Hanifah, seperti yang disebutkan Ibnu Hazim daripadanya.

Ibnu Abid-Dunya mentakhrij daripada al-Laits bin Abu Sulaim, beliau berkata: “Pahala bagi jin ialah diselamatkan daripada api neraka, lalu dikatakan kepada mereka, jadilah kamu semua debu.”

Abd bin Humaid, Ibnu al-Munzir dan Ibn Syahin mentakhrij di dalam kitabnya, al-Ajaa'ib wal-Gharaib daripada Abuz Zanad, beliau berkata: “Selepas penghuni syurga masuk ke dalam syurga dan penghuni neraka masuk neraka, maka Allah SWT berfirman kepada jin mukmin dan sebangsanya. “Jadilah kalian debu”. Maka mereka pun menjadi debu. Pada saat itu orang kafir berkata, “Alangkah baik sekiranya aku menjadi debu.”

Kedua: Jin mendapat pahala atas ketaatan dan diseksa kerana kederhakaan. Ini adalah pendapat Ibnu Abi Laila, Malik, al-Auza'iy, as-Syafi'i dan Ahmad serta Abu Hanifah.

Ibnu Hazm mengatakan dalam al-Milal wan-Nihal, “Mereka masuk Syurga.”
Ibnu Abi Hatim mentakhrij dari Ya'kub, beliau berkata: “Menurut pendapat Ibnu Abi Laila, jin mendapat pahala.

Firman Allah SWT dalam Surah al-An'am ayat 132 yang bermaksud: “Dan, masing-masing memperoleh darjat (seimbang) dengan apa yang dikerjakannya”.
Abus-Syeikh mentakhrij dalam al-Uzmah dari Khuzaimah, beliau berkata: “Ibnu Wahb pernah ditanya dan aku mendengarnya. Apakah jin mendapat pahala dan seksa?”

Ibnu Wahb menjawab, “Allah berfirman dalam Surah Fushilat ayat 25: “Dan, tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu sebelum mereka dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang yang rugi”.

Juga firman-Nya dalam Surah al-An'am ayat 132 (yang bermaksud): “Dan masing-masing memperoleh darjat (seimbang) dengan apa yang dikerjakannya”.

Abus-Syeikh mentakhrij dari Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: “Makhluk itu ada empat macam; makhluk di syurga semuanya, makhluk di neraka semuanya dan dua makhluk di syurga dan neraka. Yang di syurga semuanya adalah Malaikat, yang di neraka semuanya adalah syaitan. Adapun yang di syurga dan di neraka adalah jin dan manusia. mereka mendapat pahala dan seksa”. Wallahua'lam.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment