Friday, September 21, 2012

Sikap angkuh, sombong boleh jejaskan prestasi


Sikap bekerjasama dan saling membantu bukan sahaja menaikkan nama organisasi tetapi juga membuang sifat mazmumah seperti sombong. – Gambar hiasan

ISLAM melarang umatnya bersifat bangga diri dan merendahkan orang lain. Sebaliknya hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain. Ini kerana semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13)

Kedudukan seseorang itu berbeza di sisi Allah kerana darjat takwa yang dimilikinya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan membesar diri, lupa diri, bermegah-megah, bongkak sombong dan sebagainya.

Sifat sombong ini sangat bahaya dan sifat tersebut banyak membinasakan makhluk Allah sepanjang sejarah manusia di muka bumi ini.

Iblis sendiri diusir keluar dari syurga lantaran sifat sombongnya yang enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Perdana Menteri Raja Firaun, Qarun, ditelan hidup-hidup ke dalam perut bumi bersama-sama dengan timbunan harta benda juga disebabkan kesombongannya.

Malah Firaun juga menemui ajal dalam keadaan yang hina kerana sifat sombong dan angkuhnya terhadap Allah SWT dan sebagainya.

Rasulullah SAW dalam hadisnya menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan sifat sombong dan bahayanya sifat tersebut.

Ia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong, kemudian seseorang berkata: (Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus. Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain. (riwayat Muslim)

Sombong merupakan salah satu sifat mazmumah (tercela) dan sifat ini sangat dibenci oleh Allah SWT.

Sifat tercela ini merupakan jalan ke neraka yang menyebabkan tertutupnya pintu-pintu ke syurga. Ini kerana akhlak mulia itu merupakan jalan atau pintu untuk ke syurga.

Terlalu banyak keburukan bersifat sombong, antaranya tentu sekali dibenci dan dimurkai Allah SWT dan juga Rasulullah SAW. Orang yang sombong tidak mempunyai perasaan kasih sayang sesama saudaranya yang mukmin sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Selain itu, seseorang yang memiliki sifat sombong ini juga tidak terlepas dari suka berdendam dan perbuatan mahupun percakapannya tidak boleh di percayai atau diguna pakai.

Golongan ini juga bukan pemberi nasihat yang baik dan nasihatnya tidak boleh diyakini. Api kemarahan sentiasa marak dalam dirinya dan amat sukar untuk dikawal.

Sombong boleh berlaku dalam pelbagai situasi di antaranya di dalam sesebuah organisasi atau di tempat kerja. Sifat ini sering menimbulkan masalah dalam urusan kerja seharian di sesebuah syarikat. Jika tidak dibendung daripada awal ia akan menjadi barah dan akan merosakkan organisasi berkenaan.

Ada orang yang sombong kerana menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia daripada orang lain kerana pangkat yang ada pada dirinya.

Ada orang angkuh kerana pengalaman di dalam kerjanya sehingga merasakan bahawa dia adalah di kalangan yang layak dirujuk dan ada juga orang yang membangga diri kerana kepandaian yang melebihi dari orang lain.

Ini semua adalah penyakit hati boleh merosakkan sesebuah organisasi.

Penyakit ini jika tidak dirawat daripada awal akan menjadi punca kepada masalah perpecahan hati, fikiran, pertembungan idea yang tidak sihat dan akhirnya boleh memberi kesan kepada kemerosotan prestasi kerja.

Ini berlaku kerana masing-masing merasa diri dan kerjanya sempurna sehingga tidak mahu menerima cadangan, teguran atau pembaikan.

Sumber: http://www.harian-metro-online.com/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers