Monday, September 3, 2012

HARUN AR-RASYID (61-101 H/ 681-720 M)


Nama penuh Harun ar-Rasyid ialah Harun ar-Rasyid bin Muhammad al-Mahdi. Beliau dilahirkan di Ar-Rayy pada bulan Zulhijjah tahun 145 H bersamaan 756 M. Beliau telah menggantikan saudaranya iaitu al-Hadi sebagai khalifah Baghdad yang kelima dalam pemerintahan Abbasiyah. Beliau merupakan anak yang ketiga dalam keluarga. Sejak dari awal lagi, beliau dikenali sebagai seorang yang pintar dan sukakan ilmu pengetahuan. Tidak hairanlah jika beliau dilihat sebagai seorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi serta banyak pengalaman sama ada dalam bidang politik, ketenteraan mahupun dalam bidang pentadbiran awam. Peranan beliau yang paling besar ialah sebagai penaung kepada semua kegiatan ilmu. Baitul Hikmah merupakan hasil usahanya yang paling besar dalam dunia penyebaran ilmu pengetahuan di Kota Baghdad..

KEBERKESANAN PEMERINTAHAN KHALIFAH HARUN AL-RASYID

Populariti daulah Abbasiyah mencapai kemuncaknya di zaman khalifah Harun al-Rasyid Rahimahullah (786-809 M). Ini kerana keberkesanan sistem pemerintahan yang telah dilakukan oleh khalifah Harun al-Rasyid dalam pentadbirannya.

Antara keberkesanannya dari segi sosial ialah, kekayaan yang banyak dimanfaatkan Harun al-Rasyid Rahimahullah untuk keperluan sosial seperti membina rumah sakit, lembaga pendidikan doktor, dan farmasi pada zaman pemerintahannya. Keadaan tersebut telah menjadikan pembangunan dan teknologi umat Islam pada masa itu semakin maju dan berkembang.

Kemudian, pembinaan Baitulhikmah yang merupakan sebuah institusi keilmuan yang ditubuhkan oleh khalifah Harun al- Rashid turut berkembang secara meluas dan mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Khalifah al- Makmun. Hasilnya, aktiviti penterjemahan dijalankan dengan pesat dan mencapai kemuncaknya dan kerja-kerja penterjemahan menjadi lebih sistematik. Penterjemah juga bekerja secara berkumpulan di bawah kawalan seorang penyelaras. Penterjemahan karya falsafah dan sains, khususnya daripada bahasa Yunani menjadi kegiatan utama.selain itu, ianya juga menjadi pusat pengajian yang menjadi tumpuan para ilmuwan dalam pelbagai bidang.

Keberkesanan pemerintahannya dalam bidang penulisan pula boleh dilihat melalui tiga tahap. Tahap yang pertama ialah mencatat segala percakapan atau idea. Beliau mengumpul idea yang serupa atau mengumpul hadis Nabi Muhammad s.a.w. ke dalam sebuah buku. Tahap yang kedua pula mengarang. Terdapat golongan ulama yang terlibat dalam penulisan pada zaman pemerintahannya. Ramai ulama menyusun hadis dan menghasilkan tulisan dalam bidang fikah, tafsir, sejarah, dan sebagainya seperti Imam Malik menyusun buku al- Muwatta’, Ibn Ishaq menyusun sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w., Abu Hanifah menyusun fikah dan pendapat ijtihad.

Tahap ketiga pula ialah penterjemahan. Penterjemahan pada masa itu mula dibuat daripada bahasa Sanskrit, Suriani, dan Yunani kepada Bahasa Arab. Dua perkara penting berkaitan dengan penterjemahan ialah, di samping menterjemah, orang Islam mencipta dan membuat pembaharuan dalam karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Huraian dan penambahbaikan dibuat terhadap karya dengan memuatkan keterangan dan ulasan. Selain itu,Orang Islam berperanan penting dalam berbakti kepada kebudayaan dunia kerana mereka berjaya memelihara warisan ilmu daripada lenyap semasa masyarakat Eropah dilanda Zaman Gelap.

Penubuhan pusat pengajian tinggi dapat mempertingkatkan kegiatan penyelidikan. Hasil kajian sarjana Islam tersebar ke Eropah dan sejumlah hasil kajian diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Perkembangan ini membawa kepada kebangkitan Eropah. Zaman pemerintahan beliau juga merupakan zaman perkembangan keilmuan Islam. Perkembangan tamadun Islam di Kota Baghdad dan Cordova memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan keilmuan di Eropah dan perkembangan keilmuan di Eropah melahirkan zaman pemulihan budaya atau Renaissance.

Penulisan karya dalam pelbagai bidang oleh para ilmuan Islam telah mempertingkatkan pengetahuan manusia sezaman dan meninggalkan warisan yang amat ternilai kepada generasi kemudian. Kegigihan masyarakat Islam menimba ilmu daripada pelbagai sumber asing banyak memberi faedah kepada orang Islam sendiri. Para ilmuan Islam telah memperbaiki dan meningkatkan mutu karya sehingga berlakunya percambahan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Hasilnya, pada zaman pemerintahannya itu sudah terdapat sekitar 800 orang doktor.

Begitulah keberkesanan sistem pemerintahan yang telah berlaku pada zaman khalifah Harun al-Rasyid yang dikenali sebagai zaman keemasan Islam. Kemajuan pembangunan dan teknologi pada zaman itu seperti kesejahteraan, sosial, kesihatan, pendidikan, ilmu pengetahuan, dan kebudayaan serta kesusasteraan berada pada zaman keemasannya. Pada masa inilah negara Islam menempatkan dirinya sebagai negara terkuat dan tidak dapat ditandingi.

Antara sumbangan Khalifah Harun Ar-Rasyid ialah:

1. Pendidikan.

Khalifah harun ar-Rasyid dikenali sebagai tokoh negarawan terulung kerana usaha beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan. Oleh kerana itulah, beliau membuka Baitul Hikmah iaitu institusi kebudayaan dan pusat kegiatan ilmu pengetahuan. Seseorang khalifah sememangnya seorang yang bijak dan berpengetahuan. Dalam mentadbir sesebuah negara, beliau harus tahu bagaimana caranya untuk mentadbir sebuah negara agar dapat menjadi sebuah negara yang aman dan makmur. Disamping itu juga, seseorang khalifah harus tahu untuk membangunkan dan memajukan negara agar menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, politik mahupun sosial. Ilmu pengetahuan sangat penting yang seharusnya ada dalam diri seorang khalifah. Beliau juga mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam mentadbir Kota Baghdad selama 23 tahun.

2. Pentadbiran

Keberanian seseorang khalifah juga amat penting untuk mentadbir sesebuah negara agar menjadi sebuah negara yang aman. Tanpa ilmu pengetahuan yang cukup, sseorang khalifah tidak akan mampu membawa tentera-tenteranya dalam memerangi musuh untuk mendapatkan keamanan dan kemakmuran. Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri begitu cekap dalam menguruskan pentadbiran negara. Beliau telah dapat membanteras segala kekacauan dan pemberontakan di dalam negaranya dengan pelbagai rintangan dan dugaan. Akhirnya, beliau telah berjaya dalam peperaangan tersebut kerana usaha yang dilakukan berhasil antara usaha beliau ialah dengan menyusun semula pasukan tenteranya agar menjadi sebuah pasukan tentera yang berdisiplin dan teratur. Beliau begitu mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya dan juga memberi perlindungan serta keselamatan untuk kesejahteraan rakyatnya.

3. Kemajuan Intelektual

Kemajuan intelektual yang dicapai oleh Khalifah Harun ar-Rasyid juga adalah salah satu sumbangan yang besar diberikan oleh baginda. Terdapat buku-buku yang berupa terjemahan ilmu dari luar ataupun disusun oleh intelektual Islam tergolong dalam kemajuan intelektual. Beliau dianggap sebagai penaung bagi semua kegiatan ilmu pengetahuan kerana beliau sering kali menganjurkan majlis forum, syarahan dan perbahasan, yang mana akan dihadiri oleh orang ramai dan golongan intelektual di masjid. Pada majlis seperti inilah, beliau dapat mengenali lebih ramai ilmuan yang datang untuk menuntut ilmu daripadanya. Sebagai seorang khalifah, beliau seharusnya mampu melaksanakan kewajipan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada semua masyarakat dalam negaranya.

4. Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi yang pesat juga telah banyak dibuat oleh Khalifah Harun ar-Rasyid. Malah, beliau sendiri telah menjadi simbol kemegahan Islam di Timur dan Barat. Terdapat banyak kota seperti Baghdad, Basrah, Masyul, Damsyik dan Aleppo muncul sebagai kota yang terkenal. Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau dalam membangunkan ekonomi dengan melakukan aktiviti perdagangan, perniagaan dan membawa pedagang-pedagang asing untuk berniaga di Kota Baghdad. Disebabkan usaha inilah, ramai pedagang-pedagang asing yang datang membawa barangan mereka untuk diniagakan di Kota Baghdad. Bahkan, bukan sahaja pedagang-pedagang asing yang datang berniaga, penduduk di Kota Bahgdad sendiri melakukan aktiviti perniagaan sesama mereka.

5. Hubungan diplomatik

Beliau juga mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing, antaranya kerajaan Byzantium, Peranchis dan keluarga al-Barmaki. Perhubungan ini bertujuan untuk pendamaian antara kedua-dua belah pihak melalui pembayaran ufti antara Kota Bahgdad dengan kerajaan Byzantium. Hubungan yang baik dengan Kristian-Peranchis adalah kerana mereka sama-sama mempunyai musuh yang sama iaitu kerajaan Bani Umayyah. Kedua-dua buah kerajaan ini sentiasa bertukar duta dan kemudiannya diikuti oleh pemimpin mereka iaitu Khalifah Harun ar-Rasyid sendiri dan Charlemange. Malah, kerajaan Peranchis begitu menghormati dan meniru dasar pentadbiran kerajaan Abbasiyah bertujuan untuk kebaikan negara mereka sendiri. Manakala keluarga al-Barmaki pula sangat terpengaruh dalam pentadbiran mereka. Mereka memegang banyak jawatan yang penting seperti wazir hinggalah kepada gabenor daerah. Disebabkan itu, hubungan antara kerajaan Abbasiyah tidak begitu baik dengan keluarga al-Barmaki.

6. Baitul hikmah

Satu lagi sumbangan Khalifah ar-Rasyid yang sangat besar kepada kerajaan Abbasiyah ialah dengan tertubuhnya Baitul Hikmah. Sikap prihatin beliau dalam bidang ilmu pengetahuan mendorong beliau untuk menubuhkan institusi itu sebagai satu tempat penyebaran ilmu pengetahuan. Semua kegiatan keilmuan ini merupakan satu usaha yang cemerlang dilakukan oleh beliau ketika mentadbir kerajaan Abbasiyah. Baitul Hikmah ini juga menggabungkan pelbagai fungsi antaranya ialah sebagai tempat penyimpanan buku-buku, pengumpulan buku, perpustakaan, pusat akademik dan balai penterjemahan. Ia juga merupakan lambang pendidikan yang terpenting dan telah dapat menandingi kemasyhuran Perpustakaan Iskandariah. Kerana tanggungjawab beliau sebagai seorang khalifah, beliau begitu gigih dalam memperkembangkan ilmu pengetahuan.

Sumber: http://ustazhikmah.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers