Monday, September 24, 2012

rotavirus lebih mudah menyerang bayi berusia antara dua bulan hingga 10 bulan


Apa itu ROTAVIRUS

Rotavirus adalah sejenis virus yang mula ditemui di Melbourne, Australia kira-kira 26 tahun lalu dan ia disahkan antara virus yang sangat mudah berjangkit. Virus itu boleh kekal selama beberapa jam di atas kulit dan mampu bertahan beberapa hari pada permukaan keras. Ia juga boleh hidup selama seminggu dalam najis individu yang dijangkiti. Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Rotavirus adalah penyebab utama cirit-birit teruk atau (gastroentiritis akut) di kalangan kanak-kanak di negara maju dan negara membangun.

Dianggarkan 40 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami cirit-birit teruk dan ia pembunuh kedua tertinggi di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun selepas pneumonia.

Mengikut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 2 juta pesakit dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana rotavirus manakala seramai 440,000 pesakit menemui maut akibat cirit-birit teruk dan dehidrasi atau kehilangan banyak air.

Bagaimana mengenali jangkitan rotavirus?

Cirit-birit biasanya berlaku selama tiga hingga sembilan hari dan ia boleh berlanjutan sehingga tiga minggu. Dalam tempoh ini pesakit kanak-kanak boleh mengalami gejala demam, cirit-birit, sakit perut dan muntah pada bila-bila masa. Lee berkata, ramai ibu bapa menganggap masalah cirit-birit akibat jangkitan rotavirus sebagai sesuatu yang normal di kalangan kanak-kanak tanpa mengetahui ia sebenarnya boleh membawa maut.

Di Malaysia, seramai 15,000 pesakit berusia kurang lima tahun yang datang mendapatkan rawatan dikesan dijangkiti rotavirus. Daripada jumlah itu, 9,000 dimasukkan ke hospital manakala 34 kanak-kanak maut hanya selepas disahkan positif rotavirus.

Penyebab utama berlakunya rotavirus adalah tahap kebersihan yang kurang baik. Namun, jangan silap kerana negara maju seperti Amerika Syarikat juga mempunyai jumlah jangkitan rotavirus yang tinggi. Bagaimanapun, jumlah jangkitan akan menjadi lebih tinggi di negara membangun terutama jika tiada kemudahan perubatan yang baik serta tahap kesihatan yang kurang memuaskan. Rotavirus tersebar dengan mudah terutama melalui najis yang mengandungi rotavirus ke mulut, air tercemar atau alatan permainan disentuh pesakit.

Virus itu juga mampu hidup di permukaan keras seperti tombol pintu, lantai dan udara. Simptom atau gejala biasa yang dialami kanak-kanak terutama bayi apabila dijangkiti rotavirus adalah demam disusuli muntah dan cirit-cirit menyebabkan kehilangan air dalam badan yang terlalu banyak sehingga boleh membawa maut.

Jarang kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus mengalami hanya satu daripada simptom jelas iaitu demam, muntah dan ciri-birit. Selalunya mereka akan mengalami ketiga-tiga simptom berkenaan atau paling kurang, hanya dua kesan jelas sebagai petunjuk dijangkiti rotavirus.

Cara untuk melihat sama ada anak anda kehilangan banyak air di dalam badan adalah dengan mencubit sedikit kulit di bahagian abdomen dan jika dilepaskan cubitan, bahagian kulit tidak kelihatan lembik atau jatuh.

Jika cirit-birit dan muntah berlarutan tanpa rawatan di antara tiga hingga tujuh hari, pesakit boleh mengalami kekurangan nutrisi, kejutan serta degupan jantung yang tidak normal, tekanan darah rendah, penurunan kadar darah sehingga menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian. Rawatan Setakat ini, tiada rawatan khusus yang boleh merawat rotavirus kerana ia adalah sejenis virus.

Walaupun ia tersebar akibat persekitaran yang tercemar, membasuh tangan mampu mencegah tapi ia tidak boleh dihapuskan sepenuhnya kerana rotavirus sangat kebal serta mudah berjangkit. Kesedaran perlu ada di kalangan ibu bapa sebelum rotavirus menyerang dan menyebabkan tubuh kecil bayi anda merasai derita.

Rotavirus boleh dikawal melalui pengambilan vaksin seawal bayi berusia enam minggu dan berakhir sebelum bulan ketujuh. WHO mengakui pembangunan vaksin rotavirus banyak membantu mengurangkan jangkitan dan kadar kemasukan ke hospital akibat virus itu. Vaksin yang mampu melindungi sehingga tempoh tiga tahun berfungsi merangsang badan untuk meniru tindak balas imunisasi secara semula jadi terhadap jangkitan rotavirus.


Sumber: http://www.nescafeais.com/

No comments:

Post a Comment