Thursday, September 20, 2012

Beban Kad Kredit Jejas Kesejahteraan


Hutang dorong manusia melakukan rasuah, jenayah, salah guna kuasa

KERAJAAN mahu institusi kewangan menghentikan tindakan mempromosi kad kredit secara agresif memandangkan pengeluarannya secara melampau tanpa kawalan boleh ‘menjahanamkan satu generasi.’ Institusi kewangan berlumba-lumba menawarkan kad kredit kepada orang ramai kerana memberi pulangan baik kepada syarikat.

Pemilik kad kredit di kalangan golongan berpendapatan menengah menggunakan kad kredit sebagai sumber hutang mudah atau dipanggil ceti moden.

Pengguna hanya perlu membuat permohonan atau hakikat sebenarnya ditawarkan, dan boleh berbelanja sesuka hati selagi tidak melepasi had ditetapkan.

Sememangnya, Islam tidak menghalang umatnya berhutang. Malah hutang diharuskan untuk membiayai perkara penting ketika kesempitan wang. Islam mengharuskan hutang kerana dapat membantu golongan miskin menyelesaikan masalah yang dihadapi berkaitan wang.

Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang.

Ini memberi peluang pemilik kad kredit berbelanja lebih walaupun wang tunai dimiliki sedikit ketika itu.

Kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, 40 peratus pemilik kad kredit gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion (statistik Oktober 2006).

Kegagalan membayar hutang kad kredit menjadi punca banyak eksekutif muda diisytiharkan muflis. Mereka baru bekerja dan mempunyai pendapatan sekadar cukup lepas memenuhi syarat memiliki kad kredit.

Jiwa muda sukar mengawal diri daripada keinginan untuk bergaya. Jika boleh semua hendak kelihatan hebat dan lebih berbanding orang lain. Sedangkan hakikatnya, wang tunai tidak cukup untuk memenuhi kehendak itu.

Justeru, sebagai jalan mudah, mereka menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar. Hidup nampak bergaya dan menarik pada pandangan orang lain. Malangnya, diri sebenarnya diliputi hutang yang jika tidak diuruskan dengan baik akan mencemarkan maruah diri.

Jumlah yang gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan kepada institusi kewangan pengeluar kad kredit akan dikenakan faedah.

Kadar faedah dikenakan agak tinggi mengikut kadar harian. Sebab itu banyak pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang yang semakin bertambah dari bulan ke bulan.

Sekarang ada kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam menyelesaikan masalah hutang kad kredit.

Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan hadiah tertentu.

Tindakan ini bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara saja. Jika sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemilik kad kredit berdepan dengan suasana hidup yang semakin celaru dan krisis moral yang memerangkap diri.

Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan ke Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan. Sesiapa yang dikenakan status bankrap atau muflis dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal tertentu.

Namun tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada kebanyakan individu yang masih galak menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar.

Tertekan dengan kegagalan melunaskan hutang kad kredit mendedahkan seseorang melakukan perbuatan menyalahi agama dan undang-undang.

Ini termasuklah menerima rasuah, menipu, pecah amanah dan melakukan urus niaga haram. Setiap hutang perlu diniatkan untuk membayarnya.

Cara memastikan keupayaan membayar hutang ialah mengambil hutang mengikut keperluan saja dan diniatkan untuk membayarnya.

Sabda Rasulullah bermaksud: ‘Barang siapa berhutang daripada orang lain dan berniat membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya. Akan tetapi barang siapa yang mengambil hutang dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayarnya), maka Allah akan merosakkannya.’ (Hadis riwayat Bukhari).

Sesiapa berhutang dengan niat membayarnya akan dilindungi daripada sifat salah guna hutang. Hutang yang dipohon sekadar keperluan semasa terdesak. Allah melindungi hamba-Nya berniat ikhlas dalam segala tindakan.

Tidak dinafikan penggunaan kad kredit patut digalakkan kepada mereka yang layak.

Pemegang kad kredit perlu menggunakannya dengan bijaksana. Kecenderungan berurus niaga secara hutang tanpa batasan mencetuskan fenomena kegagalan mengurus kewangan dengan bijak.

Kad kredit tidak sepatutnya dijadikan sebagai cara mudah untuk membuat pinjaman. Kebanyakan pemohon kad kredit awal-awal lagi merancang untuk mendapat kemudahan kredit dan pengeluaran wang pendahuluan di tahap maksimum.

Penggunaan kad kredit untuk mendapat wang pendahuluan adalah sebab utama banyak pemegang kad kredit terpaksa menanggung banyak hutang. Kadar faedahnya lebih tinggi berbanding penggunaan melalui pembelian.

Peraturan tidak memaksa pemegang kad kredit membayar semua hutang semasa juga menyebabkan hutang semakin bertambah setiap bulan.

Sepatutnya, hutang dijelaskan sepenuhnya secepat mungkin apabila berkemampuan biarpun dibenarkan membayar sebahagian saja. Ini dapat mengelak wang itu digunakan tujuan lain.

Sikap bertangguh-tangguh melakukan kebaikan atau perkara perlu dilakukan ditegah dalam Islam. Dosa tidak membayar hutang dengan sengaja amat besar. Allah tidak mengampunkan dosa kesalahan berkaitan hutang, selagi hutang itu tidak dijelaskan atau pemberi hutang merelakannya.

Sabda Rasulullah bermaksud: ‘Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni melainkan hutangnya.’ (Hadis riwayat Muslim). Justeru, harta pusaka si mati yang masih berhutang perlu digunakan untuk menjelaskan hutang. Haram bagi waris mendapatkan harta itu selagi hutangnya tidak dijelaskan. Selepas hutang dijelaskan, baki harta terbabit boleh diagihkan kepada waris yang layak mengikut hukum syarak.

Ada waris yang tidak melaksanakan keperluan itu kerana yakin tindakan tidak boleh lagi dilakukan ke atas si mati oleh institusi kewangan. Tindakan ini menyebabkan roh penghutang yang sengaja tidak mahu membayar hutang akan tergantung di antara langit dan bumi selagi hutangnya tidak dijelaskan. Waris yang menerima harta pusaka, sedangkan mengetahui si mati masih mempunyai hutang, sebenarnya menggunakan harta haram.

Sesiapa tumbuh daging dalam badannya daripada sumber yang haram, maka lebih layak baginya dibakar di dalam neraka.

Sesungguhnya sesiapa yang berbelanja tanpa memikirkan kemampuan membayar akan terjebak dengan masalah hutang.

Biarpun pendapatan tinggi, tetapi jika tidak bijak berbelanja tetap akan berdepan dengan masalah muflis.

INTI PATI

Beban hutang kad kredit
  • Islam tidak menghalang umatnya berhutang. Malah hutang diharuskan untuk membiayai perkara penting ketika kesempitan wang.
  • Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang.
  • Kegagalan membayar hutang kad kredit menjadi punca banyak eksekutif muda diisytiharkan muflis. Mereka baru bekerja dan mempunyai pendapatan sekadar cukup lepas memenuhi syarat memiliki kad kredit.
  • Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu sebenarnya perangkap kepada pemilik kad kredit untuk terus berhutang.
  • Pengguna berbelanja tanpa kemampuan membayar akan terjebak dengan pelbagai masalah, akhirnya mendorong perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah
Oleh Lokman Ismail
Sumber: http://www.compserv.sabah.gov.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers