Tuesday, September 25, 2012

Demam campak boleh bawa maut!


DEMAM campak – istilah yang lebih sinonim membunuh kanak-kanak ini bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan orang. Hampir kesemua orang dewasa pernah mendengar tentang demam virus beruam paling biasa ini, yang turut dikenali sebagai morbili, rubeola atau measles.

Malah, sekitar tahun 1960-an, iaitu ketika vaksin campak masih belum ditemui, ia menjadi ancaman utama kepada ibu bapa kerana komplikasinya yang boleh mengakibatkan kematian. Sejak itu juga, berlaku penurunan kes-kes campak yang dilaporkan di negara ini berikutan kempen imunisasi campak yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Namun begitu, jumlah kematian akibat campak masih tinggi di dunia iaitu sejuta kematian setiap tahun terutamanya di negara-negara sedang membangun. Terbaru, belum pun reda kes-kes denggi luar biasa yang dicatatkan sempena tahun baru ini, negara dikejutkan pula dengan berita kematian 14 orang Penan di Sungai Urun, Belaga, Sarawak. Rata-ratanya mengalami pneumonia (radang paru-paru), antara komplikasi utama campak, yang dipercayai disebarkan oleh seorang lelaki kaum itu yang berkahwin dengan wanita Iban.

Pensyarah Pediatrik Klinikal, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azam Mohd. Nor berkata, campak merupakan sejenis penyakit berjangkit yang ditularkan oleh virus campak morbillivirus, dari keluarga paramyxoviridae. `Penyakit campak boleh merebak dengan begitu senang sekali iaitu melalui titisan air liur pesakit, baik semasa batuk, bersin ataupun hanya bercakap.

`Walaupun tidaklah seketara kes-kes penyakit rubella (campak Jerman), virus campak juga boleh dipindahkan terus daripada ibu yang mengandung kepada janinnya, menyebabkan kelahiran pramatang,” katanya.

Menurutnya, campak mempunyai peluang jangkitan yang sangat tinggi sehingga mencapai lebih 90 peratus sekiranya seseorang belum pernah mendapat imunisasi campak mahupun terkena penyakit itu sendiri. Ditanya sama ada orang dewasa boleh mendapat campak, Dr. Azam menjelaskan, kemungkinannya ada tetapi sangat jarang khususnya mereka yang berusia 30 tahun ke atas.

Dalam kes campak orang Penan yang turut meragut nyawa orang dewasa itu, ia berlaku kerana mereka belum pernah terdedah kepada penyakit sedemikian, menyebabkan badan tidak mempunyai daya tahan melawan campak.

Gejala-gejala yang boleh timbul dari penyakit ini terbahagi kepada empat tahap iaitu:
  • Tahap pengeraman sekitar 10 hingga 14 hari selepas dijangkiti di mana pesakit tidak mengalami sebarang gejala
  • Tahap prodromal berlangsung selama lebih kurang lima hari. Pada saat ini, kanak-kanak mula menunjukkan gejala seperti demam selesema, hidung berair, batuk ringan, mata merah berair (konjunktivitis), photofobia (mata mudah silau kepada cahaya) dan kesukaran menelan. Tompokan kecil berwarna putih di dalam mulut (koplik’s spot) berupa garam yang ditaburkan di atas permaidani merah, lazimnya dikesan selepas dua hingga tiga hari pesakit mendapat batuk selesema. Koplik’s spot dinamakan sempena seorang pakar pediatrik di Amerika Syarikat, Henry Koplik yang pertama kali mengesan tompokan ini. Apabila tahap pembentukan ruam yang berasa sedikit miang bermula, demam menjadi bertambah tinggi sehingga mencapai lebih 40o C. Batuk pula semakin parah. Sebahagian ruam muncul dalam bentuk perubahan warna (makula) manakala sebahagian lagi timbul pada permukaan kulit (papula).Tabiat ruam campak bermula dari belakang telinga, leher, muka, dada, merebak ke seluruh badan, tangan, punggung, perut dan lengan sebelum menjalar ke bahagian kaki. Keseluruhan proses ini mengambil masa antara dua hingga tiga hari, kemudiannya beransur-ansur hilang manakala suhu badan mulai menurun, demam kebah dan koplik’s spot turut lenyap. Sebab itulah, kita biasa mendengar orang tua-tua selalu berkata, sekiranya ruam sampai ke kaki, tandanya campak semakin sembuh.
  • Tahap penyembuhan; ruam hilang, lapisan kulit mengelupas manakala konjunktivitis juga semakin pulih. Gejala batuk bagaimanapun mengambil masa sedikit untuk pulih.
Gejala campak, kata Dr. Azam, sekalipun nampak ringan tetapi ia boleh menyebabkan komplikasi jangkitan yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Masalahnya, virus campak boleh ditularkan daripada seseorang kepada yang lain semasa pesakit masih berada pada tahap pengeraman yang tidak menunjukkan sebarang tanda.

“Komplikasi yang paling biasa mengiringi campak ialah pneumonia, keratitis (inflamasi selaput mata) yang jika tidak dirawat boleh menjejaskan daya penglihatan, otitis media (jangkitan telinga) menyebabkan pekak dan ensefalitis (radang otak) menyebabkan sawan.

“Kekurangan zat makanan yang berkait rapat dengan daya tahan badan yang lemah serta masalah immunoefficiency disebabkan oleh rawatan kanser atau HIV, boleh memburukkan lagi komplikasi campak,” katanya.

Sejenis komplikasi lain yang boleh mengundang maut sekalipun jarang berlaku iaitu subacute sclerosing pan-encephalitis, boleh menyebabkan perubahan personaliti, serangan mengejut, kerosakan otak kekal dan pesakit koma selepas beberapa tahun dijangkiti. Memandangkan sehingga ke hari ini, tiada rawatan untuk penyakit-penyakit bawaan virus termasuklah campak, imunisasi sangat penting sebagai pencegahan, kata Dr. Azam.

Rawatan biasa yang diberikan ialah banyakkan minum air bagi mengelakkan dehidrasi akibat panas badan, pemberian paracetamol bagi melegakan demam, antibiotik sekiranya terdapat kuman di dalam paru-paru dan vitamin A bagi mengurangkan komplikasi.

“Campak tergolong dalam kategori penyakit yang dapat dicegah dan pencegahan paling berkesan adalah melalui suntikan vaksin.

“Vaksin campak terdiri daripada virus campak hidup yang dilemahkan dan dikulturkan di dalam embrio anak ayam untuk merangsang tubuh menghasilkan antibodi sendiri,” katanya.

Vaksinasi campak didatangkan dalam bentuk gabungan dengan vaksin beguk (mumps) dan rubella yang secara ringkasnya dinamakan sebagai MMR.
Sebanyak dua dos imunisasi MMR diberikan iaitu dos pertama ketika kanak-kanak berusia setahun manakala dos tambahan semasa mereka berada di tahun satu persekolahan rendah.

“Usia 12 bulan dipilih kerana jika diberikan terlalu awal, vaksin mungkin tidak dapat bertindak balas dengan berkesan kerana bayi masih membawa kekebalan si ibu semasa hamil.

“Kerana itu, penyusuan ibu sangat digalakkan bagi memanjangkan lagi tahap dan tempoh daya tahan kanak-kanak,” katanya.

Ibu bapa yang tidak menyuntik MMR semasa bayi berusia 12 bulan hanya mendedahkan kanak-kanak itu kepada ancaman campak yang lebih besar pada masa akan datang,
Suntikan imunisasi MMR diberikan sama ada pada bahagian paha atau lengan. Ia akan meninggalkan kesan sampingan yang ringan seperti sakit dan bengkak pada bahagian yang dicucuk, mengantuk, demam, ruam dan bengkak kelenjar air liur di leher.

Menjawab soalan sama ada individu yang mendapat suntikan MMR masih boleh dijangkiti, beliau menjelaskan, dianggarkan dua hingga empat peratus vaksin tidak berkesan.

“Ada banyak sebab kenapa ia berlaku seperti cara penyimpanannya yang tidak sesuai, pemberian vaksin yang terlalu awal kepada bayi berusia kurang 9 bulan di mana vaksin tidak bertindak secara baik dan kekebalan tidak sempurna.

“Kalau terdapat kes campak yang banyak di satu-satu tempat, umur 12 bulan dah dapat campak, kita boleh berikan suntikan lebih awal, sembilan bulan misalnya,” kata beliau.
Mengenai salah tanggapan segelintir masyarakat yang mengaitkan vaksin campak sebagai punca penyakit lain seperti autisme, berikut adalah mesej Dr. Azam:

“Penyelidikan terperinci telah menyangkal autisme sebagai kesan sampingan vaksinasi. Kesahihannya boleh dipertikaikan.

“Kita cenderung percaya benda kecil yang diperbesarkan hinggakan kita lupa kebaikannya yang jauh lebih besar,” katanya sambil menambah, kes campak di Penan adalah terpencil, sedangkan di Kuala Lumpur masih ada orang yang tidak mengambil suntikan MMR.

Antara keraguan yang biasa dibangkitkan ialah mengenai alahan pesakit kepada telur memandangkan pembuatan vaksin campak yang dihasilkan di dalam embrio anak ayam.
Cara penghasilan tersebut sebenarnya bertujuan menyukarkan pembiakan virus di dalam tubuh manusia.

Jika wujud keraguan, tambahnya, pihak hospital akan melakukan suntikan di bawah penyeliaan doktor. Vaksinasi MMR boleh diperoleh secara percuma di semua hospital dan klinik kesihatan kerajaan, di seluruh negara.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

Sumber: http://abimuslih.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers