Thursday, May 5, 2011

Ejakulasi Tanpa Orgasma?


MUNGKIN ramai berpendapat tiada rasa nikmat ketika ejakulasi ibarat makanan yang tiada garam. Kebiasaan ketika lelaki mengalami kemuncak rangsangan seksual, dia akan mencapai orgasma atau klimaks serta ejakulasi atau pancutan air mani.

Ini kerana lazimnya orgasma dan ejakulasi berlaku serentak atau bersama, iaitu seawal zaman remaja lagi.

Sebenarnya fenomena orgasma dan ejakulasi adalah dua perkara berasingan. Oleh itu ejakulasi tanpa orgasma atau sebaliknya memang wujud.

Perlu difahami, penghayatan orgasma berlaku seawal peringkat kanak-kanak lagi. Anggota kelamin kanak-kanak yang terangsang membolehkannya mencapai orgasma tetapi tidak membabitkan pancutan air mani.

Namun, apabila tiada rasa nikmat atau klimaks ketika ejakulasi, seseorang lelaki akan mula bimbang kerana menganggap ia tidak normal.

Malah, lelaki sukar menerima fenomena itu berlaku pada diri sendiri kerana mereka sukar memahami dan pada masa sama sukar menceritakan perkara itu kepada orang lain (akibat rasa malu).

Uniknya masyarakat kita, apabila sesuatu perkara yang tidak masuk akal berlaku seperti ejakulasi tanpa orgasma, biasanya akan menganggap ia buatan orang (terkena sihir atau ilmu hitam).

Mengikut statistik, kurang satu peratus fenomena ejakulasi tanpa orgasma. Ini bermakna ia memang wujud tetapi jarang berlaku.

Fenomena ini juga dikenali sebagai ‘Anaesthetic Ejaculation’ dan ‘Ejaculatory Anhedonia’ yang bermakna pancutan air mani tanpa apa-apa rasa yang biasa dialami ketika kemuncak seksual.

Ia masih lagi dalam kajian. Namun, jika dilihat kembali fenomena ini, kita faham, semua kawalan sistem fungsi tubuh badan dikawal oleh otak.

Mesej dari badan ke otak dan penghantaran maklum balas dari otak ke badan memerlukan sistem otak dan sistem fungsi urat saraf yang kukuh.

Apabila dua sistem ini terganggu, keadaan ejakulasi tanpa orgasma boleh berlaku.

Satu punca ialah amalan onani yang kerap. Ini kerana ia boleh menyebabkan orgasma dan ejakulasi hanya dihayati dengan cara melakukannya sendiri tetapi tidak ketika bersama isteri.

Apabila individu itu berusaha, dia boleh mencapai sedikit ejakulasi secara paksaan, tetapi tidak dapat merasa orgasma.

Ada juga kes di mana orgasma dan ejakulasi berkurangan apabila lelaki itu memasuki usia emas atau mengalami penyakit yang menggugat fungsi saraf seperti kencing manis dan tekanan urat saraf.

Selain itu, penurunan tahap hormon testosteron dan pengambilan ubat mengawal fungsi mental boleh menyebabkan fenomena ini berlaku, sekali gus menyebabkan hubungan seksual lelaki menjadi hambar.

Lelaki yang mengalami masalah ini perlu merujuk kepada doktor pakar untuk membantu anda.

Oleh: Dr. Ismail Thamb
Sumber: http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers