Thursday, May 26, 2011

Ubat Gigi Berfluorida Untuk Kanak-Kanak


Pengenalan

Memberus gigi adalah antara amalan penjagaan mulut yang sebaiknya dilakukan untuk kebersihan diri. Memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida setiap hari boleh mencegah kerosakan gigi. Penggunaan ubat gigi berfluorida merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar kerosakan gigi di serata dunia.

Fluorida ialah mineral semula jadi yang boleh menguatkan lapisan luar gigi dan membantu mencegah kerosakan gigi. Walau bagaimanapun, penggunaan fluorida yang berlebihan boleh menyebabkan fluorosis enamel iaitu kecacatan lapisan luar gigi.

Kesan Pengambilan Fluorida Berlebihan

Pengambilan fluorida berlebihan oleh kanak-kanak sering kali terjadi bila mereka menelan ubat gigi berfluorida semasa memberus gigi. Sesetengah kanak-kanak suka dengan rasa ubat gigi yang berperisa. Ini menyebabkan mereka menelan ubat gigi tersebut.

Dalam keadaan lain, sesetengah kanak-kanak diberi fluorida tambahan secara berlebihan. Terdapat juga yang diberi fluorida tambahan sedangkan bekalan air paip sudah pun mengandungi fluorida yang mencukupi.

Pengambilan fluorida yang berlebihan semasa proses pembentukan gigi boleh menyebabkan kecacatan gigi. Kesannya, lapisan luar gigi (enamel) yang putih dan licin menjadi lubang-lubang kecil berwarna coklat. Warna ini kelihatan jelas pada permukaan gigi hadapan.

Gigi hadapan sangat penting untuk penampilan dan senyuman menarik. Sudah tentu kecacatan gigi tersebut boleh menjejaskan keterampilan diri .

Rawatan Kecacatan Pada Enamel


Fluorosis enamel boleh dirawat. Dengan rawatan kosmetik pergigian, penampilan gigi yang terlibat boleh dibaiki. Pakar Pergigian Pediatrik akan memberitahu anda tentang rawatan yang boleh dilakukan jika anak anda mengalami fluorosis enamel yang teruk.

Penggunaan Ubat Gigi Berfluorida Yang Betul

Penggunaan ubat gigi berfluorida penting untuk memastikan kesihatan pergigian anak anda baik

PERHATIAN
  • Pastikan ubat gigi yang digunakan tidak berlebihan. Untuk kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah, pemberusan gigi harus dibantu oleh ibu bapa dan ubat gigi yang digunakan hanyalah sebesar kacang pea.
  • Ajar anak anda untuk tidak menelan ubat gigi sebaliknya meludah sebaik sahaja selepas memberus gigi.
  • Manakala bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, ubat gigi mungkin tidak perlu digunakan.
Sumber: http://www.infosihat.gov.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers