Thursday, May 26, 2011

Kaedah Mengenal Pasti, Mengkaji Dan Memilih Peluang Perniagaan


Proses Mengenalpasti, Mengkaji Dan Memilih Peluang Perniagaan . Terdapat empat langkah utama yang perlu dilakukan oleh seseorang usahawan atau bakal usahawan dalam mengenalpasti, mengkaji dan memilih peluang-peluang perniagaan. Langkah-langkah tersebut ialah :

LANGKAH 1: Mengenalpasti Keperluan dan Kehendak Pelanggan

Setiap perniagaan bermula dari wujudnya keperluan dan kehendak pelanggan terhadap sesuatu barangan. Keperluan merupakan sesuatu yang asas yang mesti diperolehi, dimiliki dan digunakan dalam kehidupan seseorang. Ini termasuklah makanan, pakaian, perlindungan, pendidikan dan keselamatan.

Namun demikian, manusia juga mempunyai kehendak yang merupakan keinginan atau kemahuan peribadi untuk sesuatu yang lebih sempurna daripada yang asas. Kehendak seseorang itu lebih dipengaruhi oleh budaya, tahap pendidikan, tahap kemampuan dan keperibadiannya.

Keperluan dan kehendak manusia adalah terhad dan pelbagai. Ini membuka banyak peluang perniagaan untuk penawaran produk dan perkhidmatan.

Produk adalah sesuatu yang mempunyai rupabentuk fizikal bagi memenuhi samada secara langsung atau tidak langsung keperluan dan kehendak pelanggan.

Perkhidmatan pula adalah sesuatu yang tidak mempunyai rupabentuk fizikal tetapi mampu memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan.

Maka, seseorang usahawan mesti sentiasa peka tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam keperluan dan kehendak untuk mengenalpasti peluang-peluang perniagaan yang wujud.

LANGKAH 2: Menganalisis Persekitaran, Penilaian Diri dan Nilai Masyarakat.

Dalam usaha meninjau peluang-peluang perniagaan terdapat 3 perkara penting yang perlu diambilkira iaitu persekitaran, penilaian diri dan nilai masyarakat. Dalam meninjau faktor-faktor tersebut boleh juga diambilkira:
  • Struktur penduduk, pendapatan dan citarasa.
  • Kajian Ke Atas Data Import dan Eksport.
  • Rantaian Industri.
  • Rancangan Pembangunan Kerajaan dan Swasta.
  • Meneliti Peluang perniagaan melalui akhbar, majalah tempatan dan luar negeri.
  • Mengkaji Masalah Sosial Setempat.
  • Undang-undang dan peraturan.
  • Penilaian Diri.
  • Pengalaman
  • Pengetahuan dan Kemahiran
  • Kedudukan Kewangan
  • Jaringan Perhubungan (networking)
  • Nilai Masyarakat
LANGKAH 3: Menilai Peluang Perniagaan

Diperingkat ini usahawan mungkin ada dua atau lebih peluang perniagaan yang menarik dan ingin dimajukan. Walau bagaimanapun, pilihan perlu dilakukan sebab adalah sukar untuk seseorang memulakan berbagai perniagaan secara serentak. Proses menilai peluang-peluang perniagaan membantu usahawan memilih satu peluang perniagaan yang akan diberi sepenuhnya. Proses ini merangkumi empat faktor iaitu :
  1. Sah Dari Segi Undang-undang
  2. Kuasa Monopoli Dan Tahap Persaingan
  3. Keperluan Modal
  4. Risiko
LANGKAH 4: Memilih Peluang Perniagaan dan Merangka Rancangan Perniagaan

Setelah beberapa peluang perniagaan menjalani proses penilaian, usahawan boleh memilih satu peluang perniagaan sahaja yang akan dimajukan seterusnya. Sama ada peluang perniagaan tersebut boleh dilaksanakan atau tidak bergantung kepada kajian-kajian yang dibuat dalam aspek Rancangan Pentadbiran, Rancangan Pemasaran, Rancangan Operasi dan Rancangan Kewangan. Perbincangan lanjut mengenai aspek-aspek ini akan dibincangkan dalam bab-bab berikut.

RUMUSAN

Proses mengenal pasti, mengkaji dan memilih peluang perniagaan adalah langkah awal yang harus diambil oleh setiap usahawan atau bakal usahawan dalam menentukan perniagaan atau projek yang bakal diceburi.

Langkah yang diutarakan di atas dapat membantu mereka memikirkan tentang peluang-peluang perniagaan yang sesuai untuk dimajukan. Langkah-langkah ini adalah penting bagi mengurangkan kesilapan usahawan dalam memajukan peluang perniagaan mereka.

No comments:

Post a Comment