Monday, February 14, 2011

12 Kunci Kekuatan Minda



Kekuatan minda adalah merupakan idaman setiap manusia. Inilah kemampuan yang membawa kepada penemuan teknologi baru, kemajuan negara, kekuatan ekonomi dan keharmonian masyarakat. Apabila kekuatan intelektual sesuatu masyarakat itu tinggi, masyarakat itu akan menjadi maju.

Demikian juga untuk mana-mana individu, sesiapa yang akalnya cerdas dan kuat, dengan izin Allah dia akan sentiasa maju ke depan dalam segala aspek kehidupannya.

Saya yakin anda pun mahukan minda yang tajam dan kuat. Di sini saya ingin sertakan beberapa tips untuk mencapai objektif ini.
  1. Jaga iman dan amal. Iman yang kuat serta amal soleh yang bertimbun-timbun akan mendatangkan keredhaan Allah dan ketenangan hati. Sudah tentu ini resepi tepat untuk pembentukan minda yang kuat. Tengoklah para ilmuan hebat kita terdahulu, dan lihatlah amal soleh yang mereka perbuat, bukankah di situ ada hubungkait yang kuat antara ketajaman akal dengan iman serta kekerapan amal soleh?
  2. Luaskan pembacaan. Apabila anda lebih banyak membaca, pengetahuan anda akan makin luas. Pengetahuan adalah modal untuk berfikir. Batasan pemikiran bergantung kepada ilmu yang ada. Maknanya, lagi banyak yang anda tahu, lagi luaslah pemikiran anda.
  3. Semangat inkuiri yang tinggi. Apabila fikiran anda banyak ingin tahu tentang itu dan ini, secara tidak langsung ini bermakna minda anda sedang berfikir, menyusun dan mencari informasi. Apabila anda jumpa jawapan bagi persoalan-persoalan itu, maka proses ini menjadi lengkap. Faedahnya di sini ialah, maklumat yang dicari melalui proses sebegini akan lebih lama disimpan. Dalam erti kata lain, maklumat yang dicari secara aktif lebih mudah untuk diingat berbanding maklumat yang diterima secara pasif. Sebab itulah kita wajar menjadi orang yang ada semangat ingin tahu dan rajin bertanya. Sebab itulah juga kita patut galakkan dan suka jika anak-anak rajin bertanya dan kita perlu cuba jawab soalan-soalan mereka itu, bukannya naik melenting atau malas melayan.
  4. Carilah pengalaman sebanyak-banyaknya. Dikatakan oleh seorang a'lim, pengalaman adalah guru terbaik. Ini sangat benar. Apabila anda melalui sendiri sesuatu pengalaman, anda dapat belajar begitu banyak perkara dan mematangkan cara anda berfikir. Orang-orang senior yang lebih luas pengalamannya selalunya lebih cerdik dalam membuat keputusan, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan bidang mereka.
  5. Rajin berfikir. Apabila minda digunakan selalu, ia menjadi kuat. Apabila malas menggunakannya, ia menjadi lemah. Konsepnya memang ringkas: berfikir adalah senaman untuk otak.
  6. Berfikiran optimis. Banyak kajian psikologi yang menunjukkan faedah besar orang-orang yang berfikiran optimis. Sebab itu kita tidak hairan dalam Islam sendiri kita diperintahkan untuk berfikiran optimis, seperti perintah Allah supaya jangan putus asa dengan rahmat Allah, bahawa dosa-dosa akan diampunkan jika kita bertaubat bersungguh-sungguh, bahawa mereka yang bertaqwa akan diberikan jalan keluar daripada masalah dan lain-lain. Apa jua jenis pemikiran optimis akan menggalakkan pembentukan minda yang positif.
  7. Bina bakat atau hobi. Adakah anda mempunyai bakat atau hobi? Jika tidak, binalah sekurang-kurangnya satu. Bakat atau hobi, selagimana dalam hal-hal yang halal, akan membantu membentuk minda. Apabila anda berbakat dalam hal-hal seni dan kreativiti seperti bertukang, rekacipta, berpuisi dan sebagainya, otak kanan anda akan makin berkembang. Sedangkan bakat yang memerlukan pemikiran tajam seperti programming, rekabentuk web, penciptaan robotik dan sebagainya akan menguatkan otak kiri pula. Bakat dalam sukan-sukan, terutamanya yang teknikal, contohnya seperti sukan badminton dan pingpong, boleh menguatkan kedua-dua otak kanan dan kiri. Prinsipnya, lebih banyak otot badan yang digunakan untuk sesuatu sukan, lebih banyaklah bahagian otak yang akan dirangsang.
  8. Senaman dan bersukan. Tidak terkira betapa banyak sekali faedah senaman. Selain membantu membakar lemak, menurunkan paras glukosa dalam darah serta tekanan darah, senaman merangsang rembesan hormon endorphin yang mendatangkan kesan anti-stress, justeru mendatangkan perasaan gembiraan. Bersukan, terutamanya bagi yang teknikal dan susah untuk dikuasai, akan membantu merangsang aktiviti otak.
  9. Bersosial. Kajian terkenal perubatan Framingham mendapati, individu yang bergaul dengan kawan-kawan adalah lebih gembira berbanding mereka yang kurang bergaul. Lagi banyak kawan yang kita ada, lagi positif mood kita, dan ini akan membantu perkembangan minda. Orang yang kesedihan, atau kebosanan, lebih susah hendak berfikir dengan tajam berbanding mereka yang mempunyai minda positif. Sudah tentu, galakan bersosial di sini ada batasnya. Jauhi pergaulan bebas lelaki-wanita dan rapatilah kawan-kawan yang soleh.
  10. Jangan merokok. Merokok adalah haram di sisi agama. Dari segi kesihatan, ia melumpuhkan daya ingatan dan tumpuan, merosakkan jantung, hati dan paru-paru serta banyak lagi keburukannya yang Penting untuk kita fahami, rokok menurut sifatnya memang tepat diklasifikasikan sebagai dadah.
  11. Tidur yang betul dan cukup. Otak pun perlukan rehat yang cukup untuk mencapai tahap optimum. Apabila tidur anda tidak berkualiti, contohnya seperti tidur berdengkur, tidak cukup tidur, tidur dengan postur yang salah dan sebagainya; fungsi otak pun akan terjejas selain mendatangkan keletihan di siang hari.
  12. Bijak tangani stress. Stress akan mendatangkan beban kepada otak, menyebabkan anda akan menjadi pesimis dan rasa tertekan sekaligus membantutkan pemikiran dan kualiti kerja anda. Cara terbaik untuk menangani stress ialah untuk mengelaknya daripada berlaku. Anda dapat mengelak daripada stress jika anda pandai menguruskan masa dan kerja kerana stress biasanya berpunca daripada kerja yang terlalu banyak, kegagalan menguruskan tugas dan kesibukan melampau. Jika anda mendapat stress, kenalpasti punca masalah yang menyebabkan stress itu dan tanganilah ia dengan sistematik, dan jangan lupa doa dan tawakal kepada Allah ta'ala.

Saya kira walaupun tip-tip di atas ini agak umum, tapi ada juga yang kita terlepas pandang. Kita tahu, tapi tetap tidak mahu melakukannya. Jika anda menghadapi masalah minda yang tumpul, mungkin ada di antara perkara-perkara di atas ini yang menjadi penyebabnya.

Semoga jika kita cuba mengamalkan tip-tip ini, kita bakal memperoleh minda yang kuat, baik dari segi spiritual, intelektual mahupun psikologikal.

No comments:

Post a Comment