Monday, February 14, 2011

Perlukah Hari Kekasih?


BAGI pasangan sedang ghairah dan mabuk bercinta, 14 Februari adalah Hari Kekasih atau Valentine’s Day saat bahagia yang ditunggu-tunggu setiap tahun.

Ini kerana pada hari berkenaan, teruna dan dara akan menyambutnya dengan sepenuh jiwa dan raga sebagai tanda hangatnya kasih sayang mereka dalam melayari bahtera percintaan. Biarpun begitu, perlu difahami sejauh manakah kewajaran hari tersebut disambut dan diraikan umat Islam.

Dalam konteks ini, secara umumnya dalam budaya masyarakat kita tidak ada sedikit pun kebaikan atau keperluan untuk menyambut hari tersebut bahkan didapati lebih banyak keburukan dan kemudaratan berlaku setiap kali tibanya tarikh keramat 14 Februari berkenaan terutamanya kepada golongan remaja dan dewasa seperti kewujudan pergaulan bebas sehingga berlaku perzinaan, majlis tari-menari yang melekakan dan hidangan arak, hiburan melampau dan pelbagai masalah keruntuhan akhlak lain. Lebih malang lagi, ada yang sanggup menggadai maruah dan harga diri sebagai simbol cinta dan kesetiaan kepada sang kekasih sehingga sanggup melakukan zina yang amat ditegah agama. Oleh yang demikian, akibat negatif daripada sambutan hari tersebut, masyarakat Islam di negara ini dinasihatkan tidak menyambut dan meraikan Hari Kekasih itu dalam apa cara sekalipun. Ini kerana sambutan hari berkenaan amat bercanggah dengan akidah Islam dan mempunyai unsur ajaran Kristian yang dibawa masyarakat Barat bagi merosakkan akidah umat Islam.

Larangan menyambut hari tersebut juga selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 pada 2005 yang memutuskan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan Islam dan dalam konteks lebih luas, ia secara tidak langsung bertujuan melekakan serta merosakkan akidah dan akhlak masyarakat Islam terutama generasi muda Muslim di negara kita.

Roh perayaan Hari Kekasih tersebut juga jelas mempunyai unsur agama lain dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam. Dalam erti kata lain umat Islam dilarang sama sekali mencampuradukkan soal akidah dan ibadah dengan kepercayaan dan amalan agama lain. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w mengingatkan, “Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud) Sehubungan itu, jika seseorang Muslim masih berhasrat memberi hadiah atau sesuatu yang istimewa kepada seseorang pada hari berkenaan dengan niat menyambut Hari Kekasih seperti kelaziman diamalkan, perbuatan itu tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep Hari Kekasih. Lebih-lebih lagi amat tidak wajar untuk kita boros berbelanja untuk perkara tidak bermanfaat dan dilarang walaupun sekadar menghantar kad, bunga atau sistem pesanan ringkas (SMS), kiriman e-mel atau twitter dan facebook mengingati hari khurafat berkenaan.

Sementara itu, sebagai perbandingan, pihak berkuasa Thailand walaupun bukan sebuah negara Islam, bertindak tegas menyerbu hotel, taman awam dan tempat yang menjadi tumpuan remaja sempena Hari Kekasih.

Tindakan itu bagi mengelak mereka terbabit dalam hubungan seks terlarang. Tindakan itu menjadi kempen tahunan negara berkenaan bagi mengawal tingkah laku remaja yang biasanya meraikan hari tersebut dengan mengadakan hubungan seks. Langkah berkenaan diambil setelah satu tinjauan pendapat yang dijalankan sebuah universiti mendapati 27 peratus daripada 2,400 pelajar yang ditemui mengatakan akan mengadakan hubungan seks dengan pasangan mereka pada malam berkenaan.

Walaupun Thailand bukan negara Islam dan sememangnya diketahui sebagai syurga pelacuran dunia, namun kebanyakan penduduknya masih berpegang kuat kepada ajaran Buddha serta masih berfahaman konservatif.

Di India pula pengikut dan penganut agama Hindu bertindak membantah sambutan Hari Kekasih setiap tahun kerana menganggap perayaan itu sebagai budaya luar yang boleh mengikis nilai kebudayaan dan tradisi masyarakat India terutamanya anak muda. Bagi mereka Hari Kekasih lebih dianggap sebagai budaya Barat yang bertentangan dengan tradisi serta cara hidup masyarakat tempatan dan perlu ditentang agar tidak diikuti masyarakat di sana.

Melihat kepada apa yang dilaksanakan oleh negara bukan Islam membuktikan sambutan Hari Kekasih turut ditolak oleh agama dan budaya masyarakat lain. Sehubungan itu, Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh amat tidak manis sekiranya segelintir masyarakatnya masih terus menyambut budaya asing, songsang lagi jelek dan tidak bermoral berkenaan dengan pelbagai program dan aktiviti yang rancak diiklankan di media massa, pusat hiburan, kompleks beli-belah dan sebagainya.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan memantau aktiviti dan hubungan sosial anak-anak dalam memastikan mereka tidak menghadiri sebarang penganjuran Hari Kekasih.

Mungkin juga sudah tiba masanya semua majlis perbandaran dan agensi agama tegas membanteras aktiviti tidak sihat ini di samping berganding bahu dengan institusi pengajian tinggi (IPT) mencontohi Thailand mengadakan tinjauan dan kajian akademik berkenaan kesan negatif terhadap sambutan hari itu kepada masyarakat Islam dan bukan Islam agar semua akur dan menerimanya. Seterusnya, semua pihak dalam perkara ini mesti menghormati sensitiviti masyarakat Islam di negara ini lebih-lebih lagi sehari selepas itu iaitu pada 15 Februari umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul 1432. Oleh itu, amat wajar menghentikan segala rancangan atau sambutan komersil Hari Kekasih yang tidak berfaedah bagi mengelak perkara tidak diingini dan mengelak amalan budaya songsang itu terus berakar umbi di negara kita serta merosakkan akal budi serta akhlak umat Islam dan moral bukan Islam.

Penulis seorang peguam
Sumber: http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment