Monday, February 21, 2011

PERANAN WANITA YANG UNGGUL DALAM BUKU ‘ SEJARAH MELAYU’ TUN SRI LANANG


( Tulisan teks ini, mengambil contoh-contoh daripada buku histiografi sejarah terkemuka alam Melayu,Nusantara, iaitu ‘ Sejarah Melayu’)

Peranan golongan wanita dalam politik tradisional Melayu mencakupi pelbagai bidang untuk dikaji secara mendalam. Kajian akan menumpukan peranan wanita dalam beberapa naskah histiografi tradisional Melayu.

Walaupun pelbagai tanggapan yang melemahkan peranan wanita tradisional Melayu di utarakan, namun beberapa bukti dapat dilihat hasil dari kajian yang dilakukan ke atas teks-teks atau naskhah-naskhah berbentuk sejarah silam.

Sejarah Melayu ( Versi W. G Shellabear) telah dikaji untuk melihat peranan golongan wanita tradisional dalam memainkan peranan mereka dalam struktur politik tradisional Melayu . Tanggapan yang menetapkan wanita sebagai tidak berperanan dalam mengubah atau mempengaruhi sistem politik dan geopolitik di kalangan masyarakat di zaman lampau ratusan tahun lalu, adalah bersalahan sama sekali. Peranan wanita didapati amat besar dan berpengaruh dalam menentukan hala tuju sesebuah kerajaan tradisional, contohnya kesultanan Melayu Melaka.

Sejarah Melayu telah mengisahkan perkahwinan di antara Putri Syahrul Bariyah dengan Raja Iskandar Zulkarnain[ 5]. Putri Syahrul Bariyah merupakan puteri kepada Raja Kida Hindi yang di Islamkan oleh Raja Iskandar Zulkarnain. Perkahwinan tersebut telah menghasilkan keturunan yang terbaik di kalangan raja-raja di benua India dan kepulauan Melayu di Nusantara, khususnya di dalam kesultanan Melayu Melaka. Anak lelaki Putri Syahrul Bariyah dan Raja Iskandar Zulkarnain, bernama Raja Aristun Syah berkahwin pula dengan puteri Raja Turkistan dan mendapat seorang putera dinamakan sebagai Raja Aftus. Keturunan dari Putri Syahrul Bariyah ini, akhirnya sampai kepada Raja Suran yang menyerang rantau Asia Tenggara ( Gangga Negara) dan menurunkan keturunan Raja-Raja Melayu. Perkahwinan Raja Suran dengan Putri Mahtabul Bahri di dalam alam ghaib di bawah laut telah menghasilkan tiga orang putera lelaki bernama Raja Aftabul Ard Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama.

Peranan wanita yang dapat dikesan dalam perenggan ini adalah, wanita sebagai penerus warisan atau zuriat yang terbaik sehingga mengwujudkan sistem politik beraja yang terbaik dan disegani.

Peranan Wan Empuk dan Wan Malini yang mengusahakan bidang pertanian di Bukit Seguntang memainkan peranan penting mereka dalam meluaskan jajahan takluk kerajaan Melayu di rantau Melayu dan Nusantara. Wan Empuk berkahwin dengan Nila Pahlawan dan Wan Malini dengan Kerisyna Pandita setelah bertemu dengan putera-putera Raja Suran yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain dan Putri Syahrul Bariyah sehingga mendapat keturunan yang bergelar Sang Sapurba. [19]

Perkahwinan Sang Sapurba dengan Wan Sendari puteri Demang Lebar Daun telah menghasilkan pula dua orang putera iaitu Sang Maniaka dan Sang Nila Utama ,serta dua orang puteri iaitu Putri Seri Dewi dan Putri Cendera Dewi.

Tuan Putri Cendera Dewi puteri Majapahit dikahwinkan dengan Sang Sapurba dan hasil dari zuriat mereka, keturunan raja-raja Majapahit berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain.

Permaisuri Iskandar Syah yang memerintah Bentan mengahwinkan pula puterinya Wan Seri Beni dengan putera Sang Sapurba bernama Sang Nila Utama.

Perenggan ini menyentuh mengenai peranan wanita dalam menurunkan zuriat yang menguasai pusat-pusat pemerintahan yang bakal menempuh kegemilangan empayar jajahan takluk.

Pada Bab yang Ke Sepuluh menceritakan mengenai pembunuhan anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang menjadi gundik kesayangan Raja Iskandar Syah, raja di Singapura. Pembunuhan anak perempuan Sang Rajuna tapa menyebabkan ayahnya membelot pada Betara Majapahit. Serangan tentera Majapahit dibantu oleh Sang Rajuna Tapa dengan membuka pintu kota pada waktu malam dan menyembunyikan bekalan beras sebagai makanan. [52] Implikasinya, Raja Iskandar Syah terpaksa melarikan diri ke Muar apabila tenteranya mengalami kekalahan.

Perenggan ini membuktikan peranan wanita, walaupun hanya menjadi gundik seorang raja, namun kematiannya menyebabkan kehancuran sebuah negeri yang ditakluk oleh sebuah kuasa ketenteraan dari Majapahit.

Peranan sepupu perempuan Raja Rekan dalam menaikkan Raja Ibrahim yang bergelar sebagai Sultan Abu Syahid dalam pemerintahan kesultanan Melaka menunjukkan permainan penting aspek politik di kalangan wanita tradisional [63]. Akhirnya saudara sepupu Raja Rekan terbunuh dalam gerakan merampas kuasa untuk menaikkan Raja Kassim yang bergelar Sultan Muzaffir Shah.

Perenggan ini membuktikan peranan wanita yang berselindung di sebalik tabir untuk memerintah Melaka di sebalik tabir. Sultan terpaksa mengikut arahan saudara perempuan Raja Rekan untuk melantik Raja Ibrahim sebagai pengganti baginda serta peranan saudara perempuan Raja Rekan yang merupakan seorang wanita, mampu memerintah Melaka di sebalik tabir di dalam zaman yang dikuasai golongan lelaki.

Perenggan ini membuktikan kepintaran seorang wanita dalam merebut jawatan dan menguasai sistem politik di Melaka.

Anak gundik Seri Nara Di Raja bernama Tun Nina Madi telah dilantik oleh Sultan Muzaffir Syah dengan gelaran Tun Bijaya Maha Menteri. Perenggan ini menunjukkan, walaupun Tun Nina Madi adalah seorang anak lelaki dari seorang gundik, dia berjaya mendapat kepercayaan dari seorang Sultan yang melantiknya memegang jawatan bergelar. Walaupun, ibunya seorang gundik kepada ayahnya,, namun anak seorang gundik berjaya menaiki taraf sosial atau struktur sosial di dalam masyarakat feudal.

Perenggan ini menunjukkan golongan wanita bertaraf rendah mampu menyediakan zuriat yang bakal memainkan peranan aktif dalam bidang politik.

Pertelingkahan yang berlaku di antara Seri Nara Di Raja dan Paduka Raja Tun Perak telah berjaya diselesaikan oleh Sultan Muzaffir Syah dengan menggunakan peranan seorang wanita bagi menyatukan perpaduan di kalangan masyarakat Melaka.

Bendahara Seri Wak Raja telah membunuh diri dengan meminum racun dan penggantinya sebagai Bendahara adalah Seri Nara Di Raja Tun Ali. Anak-anak Seri Wak Raja adalah Tun Kudu yang sangat cantik dan diperisterikan oleh Sultan Muzaffir Syah, adiknya lelakinya bernama Tun Perak dan Tun Perpatih Putih.

Muslihat Sultan Muzaffir Syah dengan mengahwinkan kakak Tun Perak dengan Seri Nara Di Raja yang sudah tua, berfungsi untuk mengelakkan persengketaan dan perpecahan di kalangan penduduk di Melaka. Melaka memerlukan peranan Seri Nara Di Raja dari golongan India dan Paduka Raja Tun Perak yang mewakili golongan Melayu Melaka. Tun Perak akhirnya dilantik oleh Sultan Muzaffir Syah sebagai Bendahara Melaka untuk menggantikan Seri Nara Di Raja yang dilantik sebagai Penghulu Bendahari [71], lantas mengelakkan sebarang pertumpahan darah atau perang saudara di Melaka. Perkahwinan Tun Kudu dan Seri Nara Di Raja menghasilkan zuriat [77] seramai tiga orang, iaitu Tun Tahir, Tun Senaja dan yang bungsu dan bakal menjadi Bendahara Melaka yang penuh kontroversi bernama Tun Mutahir.

Perenggan ini memperlihatkan peranan Tun Kudu yang berperanan sebagai seorang yang berjaya mendamaikan persengketaan di antara dua belah pihak yang bertelagah dan menyatukan komponen politik di Melaka.

Pada bab Keempatbelas, Puteri Raden Galoh Wi Kesuma [83] melakukan pemilihan sendiri untuk mencari bakal suami. Putri Wi Kesuma memilih Kimas Jiwa yang merupakan putera Tanjung Pura yang berasal dari keturunan Bukit Seguntang. Perkahwinan ini mendapat seorang puteri bernama Raden Galuh Cendera Kirana yang [91] yang berkahwin dengan Sultan Mansor Syah yang mengeratkan hubungan diplomatik dan mengelakkan serangan Majapahit ke atas Melaka.

Perenggan ini membuktikan kebijaksanaan seorang puteri raja memilih bakal suami yang bakal menguasai sistem politik di Jawa dan wanita berperanan besar dalam mempereratkan perhubungan di antara dua buah negara yang bersengketaan.

Maharaja China telah menghantar puterinya bernama Putri Hang Li Po [95] untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansor Syah. Perkahwinan ini telah berjaya memberikan faedah perlindungan Dinasti Ming ke atas kerajaan kesultanan Melaka serta mengelakkan serangan tentera Siam ke atas Melaka berlaku.

Perenggan ini menunjukkan perkahwinan diraja diantara seorang raja dari negera kecil dengan seorang puteri raja dari sebuah kerajaan yang masyhur akan memberikan kestabilan jangkapanjang kepada negara kecil tersebut, perkahwinan seumpama ini disebut sebagai perkahwinan politik diraja.

Peranan Raja Tua iaitu nenda Sultan Alauddin Syah untuk membunuh Sultan Mahmud Syah yang masih kecil dan gering sewaktu dijaga oleh Bendahara Tun Perak dan Laksamana Tun Perak menunjukkan peranan wanita dalam [139] merancang pengganti Sultan Melaka.

Perenggan ini sekali lagi menggambarkan peranan wanita yang boleh menyebabkan berlakunya peralihan kuasa atau perancangan teliti, agar calon tertentu menjadi pemerintah menggantikan seseorang raja.

Tun Biajid adalah anak lelaki Laksamana Hang Tuah adalah seorang yang berkhidmat untuk Sultan Mahmud Syah. Walaupun begitu, isterinya telah melakukan perlakuan tidak bermoral dengan Sultan Mahmud Syah menyebabkan Tun Biajid enggan lagi mencampuri urusan pentadbiran Melaka atau membantu Melaka dari segi menyumbangkan tenaganya sebagai pahlawan Melaka.

Perenggan ini menggambarkan implikasi dari perlakuan tidak bermoral seorang isteri telah mengakibatkan suaminya yang berkebolehan dalam mempertahankan Melaka enggan untuk berkhidmat dengan rajanya.

Putri Onang Kening [152], putri raja Kelantan yang tertawan oleh serangan Melaka telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud Syah. Perkahwinan ini menghasilkan Sultan Muzaffir Syah yang akhirnya menjadi Sultan Perak yang pertama.

Perenggan ini menunjukkan bagaimana seorang wanita telah menurunkan seorang zuriat yang keturunannya memerintah negeri Perak sehingga sekarang.

Peranan bonda Sultan Mahmud Syah yang membisikkan di sebalik pintu kepada Sultan Mahmud Syah agar memilih adiknya Tun Mutahir menjadi Bendahara Melaka bergelar Seri Maharaja [154].

Perenggan ini menunjukkan peranan dan campurtangan yang terlalu tinggi oleh seorang wanita dalam mempengaruhi keputusan Sultan dalam melantik Bendahara.

Tun Teja Ratna Benggala [155] anak perempuan Bendahara Pahang Seri Amar Bangsa Diraja menjadi titik perebutan di antara Sultan Mahmud Syah dengan Sultan Abdul Jamil di Pahang. Hang Nadim berjaya melarikan Tun Teja dari Pahang dan dibawa ke Melaka dan diperisterikan oleh Sultan Mahmud Syah dan mendpat seorang puteri bernama Tuan Putri Amra Dewi.

Perenggan ini memperlihatkan peranan seorang wanita yang menjadi rebutan sehingga hampir-hampir menyebabkan berlakunya peperangan di antara Pahang dan Melaka.

Anak perempuan Bendahara Seri Maharaja TunMutahir, bernama Tun Fatimah adalah seorang yang amat cantik dan jelita [188]. Tun Mutahir mengahwinkan Tun Fatimah dengan saudara terdekat bernama Tun Ali dan Sultan Mahmud Syah yang pertama kali menatap wajah Tun Fatimah di majlis perkahwinan telah jatuh hati dengan Tun Fatimah. Fitnah Raja Medeliar dan Si Kitul kepada Laksamana Khoja Hasan mengenai hasrat Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir untuk menjadi Raja Melaka memberi kesempatan untuk Sultan Mahmud Syah untuk memperisterikan Tun Fatimah. Sultan Mahmud Syah mengarahkan Tun Mutahir, Seri Nara Di Raja, anak Tun Mutahir bernama Tun Hasan Temenggung dan suami Tun Fatimah iaitu Tun Ali dibunuh atas tuduhan berkomplot merampas kuasa. Sultan Mahmud Syah memperisterikan Tun Fatimah yang menyebabkan kehancuran kesultanan Melaka. Perkahwinan ini juga menyebabkan Tun Fatimah bertindak untuk membalas dendam dan menaikkan anak lelakinya sebagai pengganti kesultanan Melayu Melaka setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah. Apabila Sultan Ahmad Syah anakanda Sultan Mahmud Syah dengan Unang Kening mangkat, tempat baginda sebagai diganti oleh Raja Muzaffir Syah merupakan adinda Sultan Ahmad dari bondanya Unang Kening. Sultan Mahmud Syah yang terlampau menyayangi Tun Fatimah akhirnya melantik Raja Alauddin sebagai bakal raja, sebagaimana kehendak Tun Fatimah yang inginkan zuriatnya menjadi pengganti Sultan Melaka. Raja Alauddin mengambil alih tampuk pemerintahan setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah.

Perenggan ini menunjukkan bagaimana seorang wanita yang teraniaya bangun untuk meneruskan kehidupannya dan akhirnya meneruskan kesinambungan zuriat Sultan-Sultan Melaka.

Penutup

Kesimpulannya, wanita juga berperanan penting dalam membawa pada perubahan sistem politik di alam Melayu. Peranan mereka walaupun tidak segagah kaum lelaki, mampu jua menimbulkan beberapa kesan ke atas perjalanan politik bagi sesebuah kerajaan, sebagaimana yang telah tercatat dalam Sejarah Melayu.

Sekian terima kasih Muhammad Zakir. Universiti Malaya.
Sumber: http://muhammadzakir.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment