Thursday, February 24, 2011

PANDUAN DAN ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM



PANDUAN DAN ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM : PEMASARAN, KAEDAH PENGAWALAN DAN PENYUSUNANNYA DALAM ISLAM

بسم ألله ألرحمن ألرحيم ألحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين

Untuk menjamin aliran pasaran dan pemasaran berjalan lancar, dan bagi mengelak daripada berlaku penipuan oleh sesetengah peniaga, dan tidak berlaku penganiayaan terutama terhadap pengguna, maka Islam telah menetapkan beberapa peraturan dan kaedah yang boleh menjamin perkara yang tidak diingini itu berlaku di antara peniaga serta untuk mendapat keyakinan orang ramai dan masyarakat. Islam mementingkan supaya tidak wujud sebarang bentuk penipuan dan 'permainan' harga yang tidak sihat di dalam pasaran, dan sekali gus ia menggalakkan persaingan yang konstruktif di kalangan peniaga. Untuk itu, Islam telah memperkenalkan dua bentuk kawalan iaitu: i. Kawalan Dalaman ii. Kawalan Luaran. Kawalan dalaman berteraskan kepada iman dan akhlak peribadi peniaga itu sendiri. Manakala kawalan luaran lebih berbentuk kepada kawalan penyeliaan dan undang- undang (التشريعية) Di antara kaedah dan asas-asas utama ialah: 1- Pasaran Terbuka dan Bebas Daripada Pengaruh Orang Tengah Bagi menjamin kepentingan umum dan mengelakkan berlakunya penipuan dan kemudharatan maka harga barangan hendaklah diketahui oleh semua pengguna termasuk peniaga yang berjual-beli di pasaran terbuka. Di sini Islam menyarankan supaya semua barangan hendaklah dipamerkan secara terbuka dan jelas dan hendaklah sampai ke pasar dan diketahui harganya. Yang demikian dapat mengurangkan peranan orang tengah dan banyak bertukar tangan yang pastinya akan bertambah tinggi harga barangan terutama bahan keperluan asas, seperti makanan harian. Beberapa hadis yang melarang penjual-belian di tengah-tengah perjalanan ke pasar dan peranan orang tengah. Ibn Abbas R.A berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: لا تلقوا الركبان, ولا يبع حاضر لباد, قيل لابن عباس ما قوله لا يبع حاضر لباد, قال لا يكون له سمسارا "Jangan bertemu pedagang di tengah jalan dan jangan orang bandar menjual kepada orang luar bandar. Ibn Abbas ditanya: Apakah maksudmu 'yang bandar tidak menjual kepada yang luar bandar'? Dia menjawab: Tidak ada orang tengah (middle man)." Hadis ini menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W melarang sebarang bentuk jual-beli barangan sebelum diketahui harga pasaran sebenarnya. Harga pasaran yang sebenar ialah di pasar terbuka, tempat berkumpul peniaga dan dipamerkan segala jenis barang dagangan. Abdullah Ibn Umar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : " لا يبع بعضكم على بيع بعض, ولا تلقوا السلع حتى يهبط الى السوق"Jangan sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain, dan jangan mendatangi barangan hingga ia sampai ke pasaran." Rasulullah S.A.W tidak membenarkan berlaku jual-beli di tengah-tengah perjalanan sehingga kedua pihak yakin harga pasaran yang sebenar di mana semua barang dagangan dan peniaga berkumpul dan berlaku tawar-menawar harga. 2- Larangan "Permainan dan Penipuan Harga" Sebarang bentuk monopoli dalam harga atau barang adalah dilarang keras oleh Islam kerana ia akan memudharatkan orang ramai dan pengguna terutama yang melibatkan barangan keperluan dan pengguna. Monopoli ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya: a- Penjual bersepakat dengan seseorang di atas sesuatu harga yang lebih tinggi semata-mata untuk mengaburi pembeli yang lain, sedangkan dia sendiri tidak mahu membelinya. Di dalam istilah feqah dikenali sebagai النجش" " bermaksud: Menaikkan harga barangan untuk merangsangkan pembeli lain, sedangkan ia sendiri tidak berhajat untuk membeli. Imam Al-Ghazali berkata: " " النجش : ialah seseorang yang menawarkan sesuatu harga yang lebih tinggi di hadapan pembeli yang lain semata-mata untuk merangsang supaya pembeli itu membelinya. Padahal ia sendiri tidak berhajat untuk membelinya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A katanya: Nabi S.A.W melarang perbuatan "النجش" melalui sahih yang disepakati ulama' hadis. Hukumnya adalah haram kerana mengandungi unsur penipuan. Sabda Rasulullah S.A.W : " الخديعة فى النار ومن عمل عملا ليس عليه امرنا فهو رد" "Orang yang membuat penipuan tempatnya adalah neraka, dan sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak mengikut ajaran kami, maka ia ditolak." Saad Ibn Ubadah berkata: Sekiranya aku tidak mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: " المكر والخديعة فى النار لكنت من أمكر الناس" "Helah dan penipuan tempatnya adalah neraka, kalau tidak akulah yang paling banyak menipu." - فتح الباري - b- Mempamerkan barangan yang tidak sama dengan hakikat barangan sebenar dengan bertujuan memikat pembeli dan menaikkan harga. Ternyata Rasulullah S.A.W melarang perbuatan sedemikian kerana ianya mengandungi unsur (sorokan) dan penipuan. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa suatu hari Rasulullah S.A.W melewati bakul menjual makananan, maka Baginda memasukkan tangannya dalam bakul itu, dan didapatinya tangannya basah, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini wahai yang empunya makanan ini?" Orang itu menjawab: "Ia terkena hujan wahai Rasulullah". Maka Rasulullah S.A.W bersabda: "Kenapa kamu tidak meletakkannya di sebelah atas supaya dapat dilihat oleh pelanggan? Barangsiapa menipu kami maka ia bukanlah dari kalangan kami." (Riwayat Imam Muslim Ibnu Majah) Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A., bahawa Rasulullah S.A.W melihat penjualan makanan yang diperakui baik oleh penjualnya, kemudian Rasulullah S.A.W masukkan tangannya dalam bekas makanan itu, maka didapati tidak sebaik sebagaimana yang dikatakan. Maka sabda Baginda: "Jual makanan ini berasingan dengan yang itu (yang baik). Sesiapa yang menipu kami maka ia bukanlah dari kalangan kami" (Riwayat Imam Ahmad Al-Bazar dan At-Tabrani) Penjual kadangkala mencampurkan sesuatu barangan bukan dari jenis yang sama, atau menambahkan (memperbanyakkan) barangan dengan jenis yang lain bertujuan untuk memperbanyakkan dan mendapat keuntungan yang lebih, seperti mencampurkan minyak tanah dan minyak petrol atau air dengan susu. Islam jelas tidak membenarkan amalan sedemikian, berdasarkan riwayat Safwan Bin Sulaim, bahawa Abu Hurairah R.A pergi ke pasar dan mendapati seorang penjual susu, dan memerhatikannya, didapati ia bercampur dengan air. Maka berkata Abu Hurairah: "Bagaimana kamu apabila pada hari Kiamat nanti diarah supaya membersihkan (mengasingkan) air itu daripada susu?" Riwayat Al-Baihaqi dan Al-Asbahani c- Mempromosi barangan berlebih-lebihan Sesetengah peniaga terlalu ghairah mempromosikan barangan secara berlebih-lebihan, tidak benar dan jauh daripada realiti barang itu, sehinga bersumpah-sumpah bertujuan bagi mengelirukan demi memperoleh keuntungan yang berlipat ganda. Abdullah Ibn Abi Aufa R.A berkata: "Seseorang penjual di pasar bersumpah dengan nama Allah perkara yang tidak benar ketika memperkenalkan barangannya, dengan tujuan untuk mengelirukan orang Islam." Maka Allah S.W.T turunkan ayat: Surah Ali-Imran 77: ان الذين يشترون بعهد ألله وأيمنهم ثمنا قليلا أولئك لا خلق لهم فى الأخرة ولا يكلمهم ألله ولا ينظر اليهم يوم القيامة ولا يزكيهم ولهم عذاب أليم (77 "Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan sumpah mereka itu tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari Akhirat, dan Allah tidak akan bercakap dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka akan memperoleh azab seksa yang sangat pedih." Islam menutup segala pintu yang boleh mengelirukan pembeli samada dengan memuji barang secara berlebihan, atau pengiklanan yang tidak benar atau dengan dakwaan penjual yang ia telah membelinya dengan harga yang tinggi atau dengan memberitahu ada pembeli yang menawarkan harga yang lebih tinggi sedangkan ianya belum terlaksana. Dengan demikian Islam menjamin harga pasaran yang sebenar dan berlaku jual-beli mengikut harga hakiki tanpa kekeliruan dan penipuan. 3- Memberitahu Keaiban dan Kelemahan Barangan Islam mewajibkan penjual beramanah ketika mempamerkan barangan dengan menampakkan bahagian yang rosak. Jika terdapat kelemahan-kelemahan tertentu maka pembeli boleh mengetahui kondisi sebenar barangan yang akan dibeli. Ini sesungguhnya boleh mendatangkan faedah yang besar dan keberkatan daripada Allah S.W.T kepada kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli. Hakim Bin Hazam R.A meriwayatkan, katanya, Sabda Rasulullah S.A.W.: البيعان بالخيار ما لم يتفرقا, فان صدقا وبينا بوركا لهما فى بيعهما وان كتما وكذبا محقت بركة بيعهما "Kedua pihak penjual dan pembeli boleh membatalkan jualan selagi keduanya belum berpisah (dari majlis jual-beli) dan sekiranya keduanya, adalah benar (tidak bohong) akan diberkati penjual-belian mereka, dan sekiranya mereka sembunyi dan berbohong nescaya akan dilenyapkan keberkatannya." Imam Al-Ghazali berkata: Penjual wajib memberitahu segala bentuk keaiban dan kelemahan barang jualan dengan tidak menyembunyikannya walaupun sedikit. Sekiranya berlaku penyembunyian (sorok) maka ia adalah zalim, penipu dan perbuatan sedemikian adalan haram, dan tidak mengikut peraturan dan nasihat yang wajib dalam bermuamalah. 4- Cermat Dalam Sukatan dan Timbangan. Islam amat menitikberatkan soal kesempurnaan sukatan dan timbangan serta peralatan yang berkaitan dengannya. Terlalu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W serta penekanan pelaksanaan yang telah dilakukan oleh para khalifah muslimin dan petugas-petugas mereka yang soleh. Di antaranya: Surah Al-Isra' ayat 35 : وأوفوا الكيل اذا كلتم وزنوا بالقسطاس المستقيم ذلك خير وأحسن تأويلا (35 "Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Dengan itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan ( pahala di akhirat)." (Surah Hud ayat 85) ويقوم أوفوا المكيال والميزان بالقسط ولا تبخسوا الناس اشياءهم ولا تعثوا فى الأرض مفسدين ( 58 "(Nasihat Syuib kepada kaumnya) wahai kaumku sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil, dan jangan kamu kurangkam manusia akan benda-benda yang menjadi haknya. Dan janganlah kamu menimbulkan bencana kerosakan di muka bumi ini." Menurut sejarah Khalifah Mukminin Saidina Umar Ibn Al-Khattab R.A mengambil alih dan melaksanakan sendiri tugas penyeliaan ke atas pasaran, mengamati amalan sukatan dan timbangan, sebagaimana ia melantik petugas-petugas khas memerhatikan perkara itu. Qatadah pernah berkata: "Wahai anak Adam sempurnakanlah sukatan seperti kamu ingin disempurnakan kepada kamu, berlaku adillah sebagaimana kamu ingin dilakukan keadilan kepadamu." Ibn Umar R.A berkata: Bahawa Rasulullah S.A.W telah datang kepada kami dan bersabda: Wahai para muhajirin, lima perkara apabila diturun bala ke atas kamu dan aku memohon agar kamu tidak akan mendapatinya : 1- Tidak merebak amalan keji- zina- sehingga menjadi perkara biasa kecuali dikenakan taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada pada orang yang sebelum kamu. 2- Tidak ada yang mengurangkan sukatan dan timbangan kecuali berlaku kekurangaan makanan kesengsaraan hidup dan kezaliman pemerintah ke atas mereka. 3- Tidak ada yang mengeluarkan zakat harta mereka kecuali hujan tidak akan turun dan jikalau tidak kerana adanya binatang tetap hujan tidak akan turun. 4- Tidak mungkir janji dengan Allah dan RasulNya kecuali Allah wujudkan musuh-musuh yang menguasai dan merampas apa yang di tangan mereka. 5- Pemerintah-pemerintah mereka tidak menghukum dengan kitab Allah dan dengan apa yang diturunkan oleh Allah kepada mereka kecuali Allah wujudkan permusuhan di kalangan mereka sendiri. (Riwayat Ibn Majah, Al-Bazar dan Al-Baihaqi) Jelas bahawa sebarang unsur penipuan dan gharar dalam Islam adalah dilarang sama sekali. Segala tindakan yang bertentangan dengan panduan dan etika Islam akan membawa dosa kepada kehidupan masyarakat. Menurut Al-Quran, negeri Saba' adalah sebuah pengajaran. Negeri yang makmur berubah menjadi miskin kerana dosa-dosa penduduknya. Al-Quran juga menyebut dosa sebagai "berbuat zalim terhadap diri sendiri." Apabila manusia melakukan dosa, maka dia sesungguhnya menganiayai dirinya sendiri. Apabila masyarakat membiarkan perlakuan dosa, maka masyakarat itu menghancurkan dirinya sendiri. Allah menghukum bukan sahaja dosa individu tetapi juga dosa kolektif. Usaha menyembuhkan masyarakat daripada dosa, upaya memperbaiki muamalat masyarakat, menghilangkan faktor-faktor yang mempertajamkan hubungan sosial, seterusnya menghantar masyarakat kepada kehidupan ideal yang diredhai Allah S.W.T sebagai "Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur" merupakan peranan dan tanggungjawab semua golongan; daripada rakyat biasa sehingga kepada pengusaha dan penguasa. من كتاب : الحرية القتصادية فى الاسلام واثرها فى التنمية للدكتور سعيد ابو الفتوه محمد بسيونى

Oleh: Dr. Said Abu Al-Futuh Muhammad Basyuni Terjemahan: Sahibus Samahah Syeikh Haji Abdul Halim Abdul Kadir Mufti Kerajaan Negeri Terengganu
Sumber: http://salimiazhary.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers