Thursday, February 3, 2011

Penyakit suatu ujian, nikmat untuk tingkat kesabaran



APABILA seseorang itu ditimpa penyakit, kesakitan yang menghinggapi tubuh badannya pasti menyebabkan dia berasa tidak selesa, lemah dan hilang selera makan. Kebebasan seseorang untuk melakukan aktiviti harian turut terbatas disebabkan sesetengah jenis penyakit. Tidak hairan sekiranya kebanyakan manusia memiliki tanggapan negatif mengenai sakit dan ramai yang mengeluh mengenai nasibnya apabila kesihatan terganggu. Tidak ramai yang memandang penyakit yang ditanggung seseorang itu satu nikmat serta anugerah Allah kepada hamba-Nya.

Ditimpa penyakit antara bentuk ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya agar dapat dikenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang sabar ketika ditimpa musibah. Sebagai mukmin yang sejati, seseorang itu tidak hanya merasa gembira dan bersyukur kepada Allah ketika dikurniakan kesenangan dalam kehidupannya tetapi dia juga perlu reda dan bersabar saat ditimpa apa jua musibah, termasuk ketika ditimpa penyakit.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh aneh bagi seseorang mukmin itu, seluruh keadaan yang menimpa dirinya dianggap sebagai suatu kebaikan bagi dirinya. Keadaan seperti ini tidak akan ditemui pada sesiapapun kecuali seorang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan lalu dia bersyukur, maka perkara itu akan mendatangkan kebaikan bagi dirinya. Jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka perkara itu akan mendatangkan sebuah kebaikan bagi dirinya.” Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya.

Justeru, sifat sabar ketika ditimpa apa jua jenis penyakit antara ciri golongan beriman dan kesabaran itu akan mendatangkan kebaikan berupa ganjaran yang baik daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat dalam apa jua keadaan hidupnya.
Antara ganjaran yang besar kepada mereka ditimpa penyakit adalah penghapusan yang dilakukannya dahulu. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa sakit melainkan dengannya Allah akan menggugurkan kesalahannya seperti daun pohon yang berguguran.” Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya.


Bagi mereka yang bersabar ketika kesihatan terganggu nescaya akan dicatat sebagai satu amalan mulia yang berhak mendapat pahala besar dan darjatnya di sisi Allah SWT akan ditingkatkan. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang mukmin yang terkena sesuatu penyakit meskipun hanya pada uratnya saja, melainkan Allah akan menghapuskan dosanya dengan penyakit itu, akan dicatatkan baginya satu kebaikan dan diangkat darjatnya. Hadis riwayat Imam Thabarani
Dengan penghapusan dosa serta ganjaran pahala bagi mereka yang reda dengan ujian Allah, maka tentu sekali sifat sabar ketika ditimpa penyakit ini antara faktor yang dapat memudahkan seseorang itu memasuki syurga di akhirat kelak dan menjauhkan seseorang itu daripada tercampak ke neraka jahanam. Abu Hurairah pernah bersama Rasulullah SAW menziarahi seorang yang sedang menderita penyakit demam. Rasulullah lalu bersabda kepada pesakit berkenaan: “Beritakanlah khabar gembira, sesungguhnya Allah pernah berfirman yang bermaksud: “Penyakit itu adalah api-Ku yang Aku timpakan kepada hamba-Ku yang mukmin di dunia ini agar dia dapat selamat daripada api neraka pada hari akhirat nanti.” Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya.

Kebanyakan manusia lalai daripada mengingati Allah SWT ketika berada dalam keadaan sihat dan senang. Namun apabila ditimpa ujian ia sering menyedarkan manusia akan nikmat yang sudah Allah berikan kepadanya sebelum ini ketika sihat. Ia juga dapat menyedarkan seseorang mengenai betapa lemah dirinya yang tidak mampu menahan musibah itu berbanding keagungan Allah SWT yang berkuasa sepenuhnya ke atas hamba-Nya.


Apabila seseorang jatuh sakit ia turut dapat menyedarkan seseorang itu segala perbuatan maksiat yang dilakukan sebelum ini kerana seperti yang kita sedia maklum setiap ujian atau musibah itu terbit daripada kesilapan yang telah kita lakukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apa musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahanmu)”. Surah Asy-Syura, ayat 30.

Menerusi firman-Nya yang lain ALLAH SWT menyatakan musibah yang ditimpakan kepada hamba-Nya dapat berfungsi untuk menimbulkan keinsafan dalam jiwa setiap insan dan ini dapat membantunya untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami berikan ujian kepada mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” Al-A’raf : 168

Ibnu Jarir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Kami akan menguji mereka berupa kelapangan dalam hidup, kemewahan di dunia, keluasan dan kelapangan rezeki. Semua itu adalah kenikmatan yang baik seperti disebutkan dalam firman Allah di atas, sedangkan maksud hal yang buruk adalah kesempitan dan kesengsaraan dalam hidup, musibah dan kekurangan harta. Yang dimaksudkan dengan firman Allah agar mereka kembali (kepada kebenaran) adalah supaya mereka kembali kepada ketaatan kepada Rabb mereka, bertaubat kepada-Nya dan bertaubat daripada segala perilaku kemaksiatan yang dilakukan terhadap-Nya.”

Oleh: Mohd Yaakub Mohd Yunus
Sumber: http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers