Thursday, February 10, 2011

Kurang Akidah, Jahil Punca Umat Islam Mudah Terpesong


FIRMAN Allah bermaksud: “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Ahzab, ayat 40)

Rasulullah SAW diutuskan untuk menyambung perjuangan nabi dan rasul terdahulu menegakkan kalimah Allah seterusnya mengakhiri salasilah kerasulan dengan memikul amanah menyampaikan risalah Islam yang lengkap dan menyeluruh kepada sekalian alam.

Di samping itu, Rasulullah SAW juga dikurniakan kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat umat manusia menelusuri titian hidup penuh cabaran.

Sehubungan itu, Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah yang diutuskan untuk menyampaikan Islam kepada umat manusia. Baginda adalah penutup segala nabi dan rasul.

Dengan kedatangan Rasulullah SAW, sempurnalah syariat Islam menjadi pegangan dan cara hidup menyeluruh dalam segenap lapangan hidup manusia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perumpamaanku dengan nabi dan rasul umpama lelaki yang membina rumah, lalu disempurnakan dan dihiaskan binaannya dengan indah kecuali kekosongan sebiji bata pada dinding binaan itu. Maka sesiapa yang memasuki ke dalam binaan dan melihat kelompangan sebiji bata pada dindingnya, akan berkata: Alangkah bagusnya binaan ini, tapi sayang sekali terdapat kelompangan sebiji bata pada dindingnya. (Lalu Rasulullah SAW berkata: Akulah sebiji bata yang memenuhi kekosongan pada dinding binaan itu dan akulah juga penutup pada sekalian nabi dan rasul.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan nas al-Quran dan hadis, jelas tidak akan ada lagi nabi dan rasul sesudah Rasulullah SAW kerana usul akidah sudah lengkap, syiar ibadat sudah tersusun kemas dan syariat Islam sempurna.
Justeru, jika sesiapa mengaku atau mendakwa dirinya nabi, maka orang itu pendusta dan sesat. Sejarah kehidupan manusia menyaksikan beberapa orang mendakwa dirinya nabi seperti Musailamah al-Kazzab, Aswad al-Unsi, Mirza Ghulam Ahmad dan Abdul Kahar.

Walaupun begitu, masih ada sebahagian umat Islam terperangkap dengan gerakan ajaran sesat dan begitu mudah menerima ajaran sesat yang jelas bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Antaranya, mempercayai wahyu masih turun, ada nabi dan rasul lain selepas Nabi Muhammad SAW, memansuhkan kewajipan dalam syariat Islam seperti solat, puasa, zakat, haji atau nabi, menghalalkan sesuatu diharamkan Allah.

Kepercayaan yang menyeleweng ini jelas bertentangan Rukun Iman dan Islam yang wajib diketahui, dipelajari serta diyakini kecuali mereka yang tersesat atau terpengaruh ajaran sesat.

Kejahilan menyebabkan berlakunya krisis akidah dalam kalangan umat Islam. Orang jahil menerima perkara sepenuhnya tanpa berfikir atau membuat pertimbangan terlebih dulu sama ada benar atau bertentangan ajaran Islam.

Malah, kejahilan akan mendatangkan mudarat lebih besar jika membabitkan kepercayaan. Ilmu akidah penting dipelajari dan dihayati sebagai perisai utama dalam menyanggah ajaran sesat.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment