Saturday, February 12, 2011

Nabi SAW Berguru Dengan Jibril


OLEH sebab itu, Nabi Muhammad SAW amat berhati-hati dalam menjaga kesahihan setiap bacaannya. Walaupun dijamin terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi baginda sering kali bertadarus dengan malaikat Jibril a.s iaitu sebagai guru bagi memperdengarkan bacaannya pada bulan Ramadan setahun sekali.

Sebagaimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: “Adalah Malaikat Jibril a.s mengemukakan kepada Nabi Muhammad SAW bacaan al-Quran sekali pada setiap tahun yakni pada bulan Ramadan. Maka pada tahun baginda wafat dikemukakan kepadanya dua kali. Adalah Nabi Muhammad SAW beriktikaf 10 hari setiap tahun yakni pada setiap bulan Ramadan.”

Ia juga bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: dan Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) telah diberikan menyambut dan menerima al-Quran dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mengetahui. (an-Naml: 6)

Ilmu tajwid adalah ilmu yang berhubung terus dengan al-Quran. Oleh itu tidak dapat dinafikan terdapat banyak faedah jika mempelajarinya.

Antaranya:

Memelihara daripada kesalahan-kesalahan dalam membaca al-Quran.

Dengan mempelajari ilmu tajwid seseorang itu akan terpelihara daripada melakukan kesalahan kesalahan yang boleh merosakkan bacaan dan mencacatkannya.

Oleh kerana membacanya adalah kewajipan yang mesti dijaga maka melakukan kesalahan bacaan adalah haram hukumnya manakala mencacatkannya adalah suatu dosa.

Tidak kira sama ada kesalahan tersebut kesalahan yang nyata (lahn jaliy) atau tersembunyi (lahn khafiy).

Bagi sesiapa yang tidak mempelajari ilmu tajwid maka wajiblah baginya untuk belajar supaya dapat menggelakkan dirinya secara terus melakukan kesalahan tersebut.

Sering kali bermain di fikiran dan mungkin ada yang berpendapat bahawa adalah lebih baik menjadi jahil daripada berilmu kerana jika jahil tidak payah beramal dengan sesuatu ajaran.

Pandangan ini adalah salah kerana berada dalam keadaan jahil secara berterusan adalah satu dosa yang tidak akan dilepaskan oleh Allah SWT bahkan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Begitu juga dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam pembacaan al-Quran. Jika ia sudah menjadi kebiasaan dan tiada usaha untuk memperbaikinya maka ia juga dikira sebagai satu dosa.

Tambahan pula ia adalah kitab yang menjadi rujukan dan sering kali dibaca setiap muslim tanpa mengira umur, pangkat dan kedudukan.

Islam bukanlah agama yang terus menghukum tanpa ada sebab yang munasabah. Seseorang itu dimaafkan sekiranya ia masih baru dalam pembelajaran al-Quran dan masih dalam usaha untuk mempelajarinya.

Namun, bagi sesiapa yang merasakan bahawa ia adalah orang yang beragama Islam dan telah lama berada dalam Islam adakah wajar ia membiarkan dirinya berada terus dalam kejahilan untuk tidak mempelajari al-Quran. Jika tidak tahu membaca kenapa tidak belajar.

Jangan jadi orang yang sombong lagi bodoh kerana al-Quran adalah salah satu penyelamat kita di akhirat kelak.

Mencapai keyakinan dalam pembacaan.

Dengan mempelajari ilmu tajwid seseorang itu akan dapat merasa yakin dan seronok untuk terus membaca al-Quran tanpa ada perasaan ragu-ragu tentang apa jua bentuk dan ayat dalam al-Quran.

Jika kita tidak tahu kita tidak akan dapat mencapai tahap yang sebegini. Itulah kerugian kepada orang-orang yang tidak tahu membaca al-Quran dan mempelajari ilmu tajwid.

Meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah serta akan dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Seseorang yang mahir dan tahu akan ilmu al-Quran akan mendapat banyak kelebihannya. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menerangkan kelebihan membaca al-Quran secara bertajwid. Antaranya firman Allah SWT dalam ayat 29 dan 30 surah al-Fathir.

Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan dan hujah serta dalil-dalil yang dikemukakan, jelas bahawa ilmu tajwid adalah suatu ilmu yang pelu kita pelajari oleh setiap insan yang muslim lelaki dan perempuan.

Ini kerana ia sangat berkait secara terus dengan al-Quran. Janganlah ia hanya sekadar untuk dikomersialkan dengan niat keuntungan duniawi semata-mata.

Matlamat itu tidak boleh menghalalkan cara yang mana haram tetap haram dan halal tetap halal.

Pengabaian dalam kita mengetahui ilmu ini membawa kepada kesalahan yang berterusan dalam pembacaan al-Quran.

Bacaan al-Quran secara bertajwid adalah suatu yang wajib dan fardu bagi seluruh umat Islam.

Wallahu ‘alam.
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers