Tuesday, February 15, 2011

Memperingati Rasulullah melalui seni Islam


TANGGAL 12 Rabiulawal bersamaan 15 Februari bersamaan Selasa hadapan adalah tarikh lahir Nabi Muhammad SAW. Pada minggu hadapan juga genaplah 1,200 tahun baginda SAW meninggalkan umat Islam yang dicintainya.

Rasulullah SAW wafat pada tarikh lahir baginda iaitu 12 Rabiulawal 632 Masihi di Madinah ketika berusia 63 tahun. Baginda dimakamkan di dalam rumah baginda yang terletak di dalam Masjid Nabawi pada hari ini.

Makam Rasulullah SAW ditempatkan di dalam sebuah kawasan yang mempunyai kubah berwarna hijau. Kawasan ini dikenali sebagai Raudhah.

Di sisi makam Nabi SAW terdapat makam dua sahabat karib baginda iaitu Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a and Khalifah Umar al-Khattab r.a. Mereka adalah antara sahabat karib Rasulullah SAW dan juga khalifah umat Islam selepas kewafatan baginda.

Mereka berdua adalah orang yang sentiasa menemani Rasulullah SAW ketika senang dan susah dan sentiasa mempercayai setiap kata-kata Nabi SAW di dalam apa juga keadaan.

Rasa sayang dan cinta mereka kepada Rasulullah SAW sentiasa subur di hati mereka walaupun selepas kewafatan baginda. Setelah kedua sahabat Rasulullah SAW ini meninggal dunia, mereka dimakamkan bersebelahan makam baginda.

Rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW bukan sahaja dirasai oleh dua khalifah Islam yang agung ini, malah ia turut dirasai oleh umat Islam lain sama ada yang hidup sezaman dengan baginda ataupun umat Islam yang ada pada hari ini.

Bagi umat Islam yang datang selepas kewafatan Nabi SAW, rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW kian subur dengan hanya mengenali baginda melalui sejarah. Walaupun umat Islam pada hari ini tidak pernah melihat Rasulullah SAW tetapi kasih sayang terhadap baginda diibaratkan seperti cahaya matahari yang menerangi bumi seperti yang terdapat di dalam nasyid Rasulullah Junjungan yang didendangkan oleh kumpulan Raihan:

“Kau bagaikan matahari
Cahaya menerangi bumi
Engkaulah permata hati
Bertakhta di sanubari”

Puji-pujian dan selawat ke atas Rasulullah SAW yang didendangkan di seluruh dunia sering membangkitkan rasa rindu yang mendalam kepada baginda SAW.

Seperti di dunia Melayu, selawat dan marhaban sering didendangkan dalam majlis-majlis keraian agama seperti sambutan awal Muharam, sambutan Maulidur Rasul, majlis perkahwinan, majlis khatam al-Quran, majlis cukur jambul bagi bayi yang baru lahir dan sebagainya.

Baris-baris selawat ditulis dan disebarkan ke seluruh dunia oleh penulis Islam. Manuskrip-manuskrip Islam yang mengandungi selawat dan sejarah ringkas mengenai Rasulullah SAW seperti Dalail al-Kayrat disalin dan diedarkan diseluruh dunia. Manuskrip ini dihasilkan di Maghribi oleh seorang ahli sufi yang dikenali sebagi al-Jazuli pada abad ke 15 Masihi.

Selain selawat, manuskrip ini juga mempunyai doa-doa pilihan, nama-nama panggilan Nabi Muhammad SAW, sedikit penjelasan mengenai makam Rasulullah SAW dan sejarah ringkas mengenai Khalifah Abu Bakar r.a dan Khalifah Umar al-Khattab.

Setiap manuskrip Dalail al-Kayrat ini sering mempunyai dua buah lukisan. Satu memperlihatkan lukisan Kaabah di Mekah dan satu lagi memperlihatkan lukisan makam Rasulullah SAW di Madinah.

Selain manuskrip selawat terdapat juga manuskrip sejarah yang mengandungi salasilah baginda SAW yang bersambung dengan para nabi dan rasul sebelum baginda. Manuskrip ini ditulis dengan penuh teliti, jelas dan menarik dengan penggunaan dakwat yang berwarna-warni.

Selain seni penulisan, nama Nabi Muhammad SAW turut diabadikan di atas barangan kesenian yang lain seperti dalam bentuk sulaman, ukiran dan tenunan.

Nama baginda SAW selalunya digandingkan dengan nama Allah SWT atau nama para sahabat baginda seperti Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a, Saidina Uthman r.a dan Saidina Ali r.a.

Terdapat juga nama ahli keluarga Rasulullah SAW yang digunakan seperti puteri baginda Saidatina Fatimah r.a dan cucu baginda Saidina Hassan dan Hussein r.a.

Barangan yang mempunyai nama Rasulullah SAW sering digunakan sebagai hiasan dan diletakkan di tempat yang tinggi sebagai tanda kasih dan sayang umat Islam di seluruh dunia kepada nabi junjungan mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers