Thursday, September 23, 2010

JIHAD EKONOMI

Kaum Muslimin yang komited di Turki suka membina kekuatan melalui jalan ekonomi. Mereka memilih perniagaan sebagai wasilah menampung keperluan hidup. Fatih sendiri pun berniaga tudung. Bermula daripada 1000 helai tudung yang Resit Amca (Pakcik Rasyid) bekalkan kepada Fatih sebagai modal perniagaan, kini pasaran Fatih sudah mencecah hingga ke Itali. Saya sudah berkali-kali diajak oleh Fatih supaya berniaga bersamanya tetapi saya bimbang tudung yang diberikan kepada saya, akan berakhir sebagai hadiah dan cenderamata, dan bukannya dijual. Saya tahu perniagaan adalah salah satu kelemahan utama saya.

Akan tetapi, bukan sahaja rakan-rakan di Turki suka berniaga, malah masyarakat juga memberikan sokongan yang padu kepada perniagaan muslimin. Ini membolehkan umat Islam di Turki membentuk kekuatan mereka sendiri ketika berdepan dengan tekanan penguasa sekularis yang amat memusuhi Islam.

Pelbagai syarikat bertaraf nasional dan internasional di Turki, dimiliki oleh golongan Muslim yang komited. Pihak tentera Turki sering memberikan tekanan kepada kerajaan agar menyekat, membendung, malah menutup sahaja syarikat yang dikenal pasti oleh golongan Islam. Kemuncaknya, pada akhir 90′an, tentera telah menyenaraikan 100 buah syarikat Turki yang dikenalpasti milik Muslim yang digelar ‘pelampau’, dan disyaki membiayai aktiviti keganasan. Mereka mengisytiharkannya di televisyen dan akhbar. Antara syarikat yang terbabit ialah syarikat Kompasan, Yimpas, Ulker dan sebagainya.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Syarikat-syarikat tersebut telah secara tidak langsung dibuktikan oleh pihak tentera bahawa ia milik golongan Muslim yang multazim (komited). Ia disambut baik oleh umat Islam di Turki kerana pengisytiharan ini bertepatan dengan suatu tradisi yang ada di kalangan mereka. Umat Islam yang komited di Turki, sangat menjaga perbelajaan mereka agar tidak jatuh ke tangan musuh Islam, walaupun musuh Islam itu adalah dari kalangan orang Turki sendiri. Orang Turki yang sekular.

Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, masyarakat Turki tidak seperti kita di Malaysia. Di negara kita, adalah menjadi suatu kebiasaan di dalam satu keluarga, ada ayah yang sekular, ibu yang kebingungan, anak sulung yang Islamik, anak kedua yang macam ayah dan sebagainya. Bercampur aduk. Hal ini tidak begitu kelihatan di Turki. Oleh kerana perlaksaan penguatkuasaan sekularisma berlaku secara keras dan ekstrim di Turki, rakyatnya terbelah dua. Sama ada seorang itu, keluarga dan saudara maranya Islamik, atau sekular. Yang Islamik semuanya Islamik, yang sekular, kelihatan langsung tiada kena mengena dengan Islam.

Oleh yang demikian, golongan yang Islamik tidak membeli di kedai yang pemiliknya dikenalpasti tidak mengamalkan Islam. Mereka sanggup menambah 100 langkah ke kedai yang jauh sedikit dan membayar harga lebih sedikit, asalkan duit hasil titik peluh mereka, tidak jatuh ke tangan manusia yang tidak memberi manfaat kepada Islam.

Ia melibatkan roti, gula dan garam, ayam dan daging, malah televisyen dan kereta.

SEJENAK BERSAMA PROTON

“Hasrizal, bagus tak kereta Proton ini?” Abdul Mutalib bertanya kepada saya.

“Kenapa? Bagus tak bagus, ia kereta nasional kami dan ia kereta paling popular di Malaysia,” saya menjawab.

“Bukan apa. Cuba kamu lihat ini,” Abdul Mutalib menunjukkan kepada saya iklan kereta Proton di dalam sebuah majalah yang diterbitkan di Kuwait.

Kereta Pertama Buatan Negara Islam!!!
Wah, bukan main lagi hebatnya iklan tersebut. Saya memang agak terkejut dengan promosi besar-besaran kemasukan kereta Proton ke Turki. Projek membina kilang memasang kereta Proton versi pemanduan kiri di Diyarbakir sudah pun diluluskan dan CEOnya sendiri menjadi pelakon iklan di televisyen Turki.

“Pensyarah-pensyarah kami suruh saya tanyakan kepada awak, adakah kereta Proton ni bagus dan benarkah ia kereta negara Islam?” Abdul Mutalib bertanya dengan begitu ghairah.

“Saya rasa jika dibandingkan dengan kereta Sahin di Turki, kereta Proton setanding malah mungkin lebih baik. Tetapi kalau soalan tentang benarkah ini kereta buatan Negara Islam, jawapannya saya kena rujuk ke Jabatan Siasah Syariyyah, benarkah Malaysia Negara Islam. Haha.!!” saya ketawa bersama Abdul Mutalib.

Abdul Mutalib amat kenal dengan Malaysia. Semasa beliau belajar di Jordan, beliau pernah tinggal lebih dua tahun bersama pelajar Malaysia. Bermula dari belacan dan budu, sampailah kepada isu-isu nasional di Malaysia, beliau mendapat pendedahan yang baik dari rakan-rakannya.

“Tetapi Proton ni adalah projek kerajaan Malaysia. Pekerjanya majoriti Muslim. Jadi kereta Proton ini dibina oleh tangan-tangan orang yang bersembahyanglah agaknya,” saya cuba mencerahkan perbincangan asal kami.

“Kualiti bagus atau tidak sebenarnya?” tanya Abdul Mutalib, semacam tidak berpuas hati dengan keterangan saya.

“Saya harap kualitinya setinggi nama ISLAM yang dibawa. Mudah-mudahan dengan sokongan yang diberi, kualitinya juga meningkat kepada yang lebih baik lagi,” saya mengulas dengan gaya seorang amatur.

Semenjak Proton memasuki pasaran Turki pada pertengahan tahun 90′an, ia mendapat sambutan yang hangat, terutamanya di era kepimpinan Necmettin Erbakan sebagai Perdana Menteri. Liputan yang meluas membolehkan masyarakat di Turki mengenal Malaysia dan Proton secara yang lebih dekat. Akan tetapi, apa yang mengagumkan saya adalah ramai penduduk Turki mengambil keputusan untuk menukar kereta mereka kepada Proton hanya semata-mata didorong oleh rasa mahu menyokong kereta Negara Islam pertama di dunia!

Ya, jika umat Islam di Malaysia ada sikap yang seperti ini, maka strategi memboikot barangan Yahudi boleh berjaya.

Pembentukan sikap yang seperti ini, menjadi cabaran kepada pendakwah dan pendidik masyarakat kerana musuh utama kepada perilaku yang mulia ini adalah sikap negatif mementingkan diri sendiri, atau yang tidak kurang bahayanya, tidak peduli!

Membeli sekilo ikan dengan harga RM4:50 dari seorang peniaga bukan Muslim, adalah sah dari segi syarak. Maka mengapa mesti seseorang itu pergi ke meja peniaga Muslim yang menjual ikan yang sama dengan harga RM4:70? Sifir ini tidak logik bagi pembeli yang mementingkan dirinya sendiri, atau yang hanya memikirkan hukum fiqah cara selapis. Peniaga bukan Muslim itu menjual, saya bersetuju dengan harganya, berlaku pertukaran wang dan ikan, dan sahlah jual beli itu.

Sesungguhnya kami duduk bersama dengan Nabi s.a.w. kemudian datanglah seorang lelaki Musyrik yang rambutnya kusut masai dan panjang dengan seekor kambing yang dia gembala. Maka Nabi bertanya: “(Adakah kambing ini) Dijual atau diberikan?” (atau perawi syak; adakah ia hadiah?) Dia menjawab, “Tidak, bahkan dijual.” Maka, Nabi pun membeli daripadanya seekor kambing. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, jil. 8, hlm. 196, No. Hadith: 2216)

Imam al-Nawawi ketika menghuraikan persoalan tentang bolehkah bertransaksi dengan orang-orang yang memerangi Islam, telah menyatakan: “Telah sepakat orang-orang Islam ke atas keharusan untuk berurus niaga dengan Ahli Zimmah (orang-orang yang mengikat janji dengan Kerajaan Islam), dan selain daripada mereka yang terdiri daripada orang-orang Kafir, selagi mana ia tidak melibatkan barangan yang haram.

Tetapi tidak harus untuk seorang Islam untuk menjual senjata atau peralatan perang kepada orang-orang kafir yang memerangi Islam, dan tidak boleh bertransaksi dengan apa-apa yang membantu dalam menegakkan agama mereka.” (al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ala Muslim, jil. 5, hlm. 478) [Kredit petikan al-adib.net]

Namun, perbezaan 20 sen itu mempunyai erti yang tinggi jika pembeli ada kesedaran untuk berjuang. Anggaplah 20 sen itu sebagai pelaburan kita berupa perjuangan membangunkan ekonomi umat Islam. Apatah lagi, jika peniaga ikan di pasar, ada yang mampu menjual murah 20 sen kerana ada sebahagiannya yang sudah pun membuat pengubahsuaian kepada mesin timbangnya.

Pembeli Malaysia selalu tidak cermat semasa membeli. Termasuklah diri saya.

TELITI

Berbalik kepada isu jihad ekonomi itu tadi, kita semua sedia maklum bahawa kita sudah boleh membeli kereta, malah rumah dari mana-mana bank tanpa dikenakan faedah atau riba. Biasanya bayaran balik di bank-bank yang Islamik jauh lebih tinggi berbanding bank biasa. Seandainya kita berfikir secara self-centered, pastinya orang yang tidak siuman sahaja yang akan pergi ke bank Islam sedangkan dia boleh membuat jual beli yang sah di bank-bank konvensional.

Namun, jika perbezaan harga itu masih berada di dalam keupayaan kita, maka anggaplah perbezaan harga itu sebagai sumbangan kita kepada kejayaan pembangunan sistem ekonomi Islam.

Kesediaan ini hanya ada jika kita berjiwa Ummah, ada kemahuan yang tinggi untuk menjadikan sikap MEMBERI sebagai prinsip hidup, dan seterusnya prihatin kepada ukhuwwah dan persaudaraan.

“Tidaklah kamu itu dianggap sebagai seorang yang beriman dengan sempurna, sehingga kamu suka untuk saudaramu, apa yang kamu suka untuk dirimu sendiri” [Riwayat Muslim]

Coca Cola jatuh merudum pada tahun 2003 di Turki selepas Mecca Cola masuk ke pasaran Turki. Dan hari ini saya membasahkan tekak dengan Mecca Cola di beberapa kedai sekitar Kuala Lumpur dengan penuh rasa bangga dan puas.

Jika tidak Muslim membantu Muslim, siapa lagi?

Biar pun mungkin digelar anti pasaran terbuka!

Oleh: ABU SAIF @ www.saifulislam.com
http://saifulislam.com/

No comments:

Post a Comment