Saturday, September 11, 2010

Nabi disambut penduduk Yathrib

SETELAH menempuh pelbagai halangan dan rintangan terutamanya mengelak dari di tawan oleh kafir Quraisy, Nabi Muhammad akhirnya selamat sampai di Quba, iaitu kira-kira dua batu sebelum sampai ke bandar Yathrib.

Sejak meninggalkan kaki Bukit Tsur, dipercayai masa perjalanan yang diambil oleh baginda untuk sampai ke Quba itu hampir tujuh hari lamanya.

Berita mengenai penghijrahan baginda ke Yathrib telah tersebar luas di kalangan seluruh penduduk bandar itu. Tanpa mengira bangsa sama ada Arab mahupun Yahudi masing-masing tidak sabar menantikan kehadiran baginda.

Hampir setiap hari mereka menunggu-nunggu di pintu kota bagi buat kali menatap wajah dan menyambut kehadiran seorang nabi yang namanya pernah disebut dalam kitab-kitab terdahulu, iaitu Taurat dan Injil.

Oleh kerana baginda berada di Gua Tsur selama tiga hari dan tidak melalui jalan biasa, jadi mereka tidak tahu masa yang tepat rombongan baginda akan sampai ke Yahtrib.

Maka hampir setiap harilah mereka menunggu dengan penuh sabar namun terpaksa balik dengan kekecewaan apabila orang yang mereka tunggu-tunggu masih tidak kunjung tiba.

Yang ditunggu-tunggu itu tidak jua sampai-sampai disebabkan selama empat hari sebelum baginda sampai ke Yathrib, baginda sempat bermalam di Quba.

Di situ baginda melaksanakan satu misi yang sangat penting dan tentunya sangat bersejarah buat kita semua.

Ini kerana sebagaimana yang diketahui umum, buat pertama kalinya dalam sejarah, masjid pertama dalam Islam dibina di Quba, iaitu hampir 13 tahun selepas Nabi Muhammad secara rasmi diutus Allah menyebarkan Islam.

Institusi seperti ini tentu sahaja mustahil dapat didirikan di Mekah ekoran ancaman dari kafir Quraisy.

Kalaupun baginda hendak solat berjemaah bersama-sama dengan pengikutnya, terpaksalah dilakukan secara bersembunyi atau sorok-sorok.

Tentu sahaja Masjid Quba kini adalah masjid yang tertua di dunia. Namun dikatakan masjid itu menduduki tempat keempat masjid paling suci di dunia selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi Madinah dan Masjid al Aqsa Baitul Maqdis.

Masjid Quba yangterletak kira-kira tiga kilometer dari Masjid Nabawi mempunyai dewan solat berbentuk segi empat, dengan sebahagian dewan solat ditempat di tingkat dua.

Semasa dibina ketika itu tentu sahaja Masjid Quba tidak sehebat seni binanya seperti yang ada pada hari ini. Tetapi signifikan di sebalik pembinaan masjid ini dibina atas dasar takwa.

Ia sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di yang bermaksud: Jangan engkau bersolat di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba yang engkau bina wahai Muhammad) yang telah didirikan atas dasar taqwa dari mula (wujudnya) lebih patut tahu engkau bersolat di situ. Di dalam masjid itu ada golongan lelaki yang ingin membersihkan (menyucikan) dirinya. Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikan atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu binaannya itu runtuh bersama-samanya ke dalam api Neraka Jahannam? (Ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang yang zalim. (at-Taubah: 108-109)

Walaupun umum mengetahui bahawa Nabi Muhammad lebih dekat dengan Masjid Nabawi sebagai pusat pentadbiran, namun Masjid Quba tetap mendapat tempat di hati baginda.

Ini kerana semasa hayatnya, baginda kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat fardu dan solat sunat di masjid itu.

Pernah baginda bersabda: "Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian dia pergi ke Masjid Quba lalu mendirikan solat di dalam masjid itu, ganjarannya samalah dengan pahala ibadah umrah". (riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment