Tuesday, September 7, 2010

Menyempurnakan zakat fitrah

SEIRING dengan kedatangan Ramadan Al-Mubarak, salah satu lagi kewajipan umat Islam adalah mengeluarkan zakat. Pensyariatannya telah ditetapkan oleh Islam sejak diutuskan baginda SAW.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sedekah yang diambil ia (zakat) daripada orang kaya di kalangan mereak dan dikembalikan kepada orang fakir di kalangan mereka (riwayat Bukhari).

Seseorang muslim yang melaksanakan kewajipan berzakat sebenarnya akan merasa lebih tenang dan damai hatinya kerana telah berjaya melalui proses penyucian dengan mengeluarkan sebahagian hak Allah yang diamanahkan kepada si pemiliknya kepada sebahagian individu lain yang memerlukan.

Zakat bermaksud memberi sebahagian harta tertentu kepada orang yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat tertentu.

Tujuannya, menyeimbangkan jurang pendapatan di kalangan ummah bagi mencapai suatu tingkat hidup yang lebih baik para paras nisbah yang wajar.

Harta sebenarnya adalah suatu alat untuk mencari kebahagiaan hakiki di akhirat dan bukannya matlamat untuk menjadi hamba kepada nafsu sendiri tanpa batasan.

Justeru sebagai tanda menggambarkan rasa kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan nikmat harta benda kepada seseorang individu.

Maka amat wajarlah ia turut sama dikongsi bersama dengan orang sekeliling yang barangkali tidak mampu merasai kemewahan hidup seperti yang dirasakan oleh mereka yang berada ini.

Zakat fitrah hukumnya fardu ain ke atas setiap umat Islam yang cukup syarat-syaratnya.

Bagi kanak-kanak, adalah menjadi tanggungjawab bapa membayar zakat fitrah anaknya sampailah mereka cukup umur.

Pada zaman ini, biasanya bapa menanggung zakat fitrah anak-anak selagi mereka masih belum bekerja.

Bagi anak-anak yang kematian bapa, maka adalah menjadi kewajipan datuknya membayar zakat fitrah kepada cucu-cucunya. Anak yang sudah dewasa pula wajib membayarkan zakat fitrah ibu bapa mereka yang miskin.

Jumlah zakat adalah bersamaan sekilogram daripada makanan yang mengenyangkan bagi sesebuah negara.

Bagi kita di Malaysia sudah tentulah beras kerana ia menjadi makanan ruji semua penduduknya.

Zakat fitrah juga adalah pelengkap kepada puasa. Sebabnya kemungkinan puasa tersebut kurang disebabkan kelalaian dan sebagainya, maka zakat fitrah datang untuk menampung kekurangan tersebut.

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment