Thursday, September 2, 2010

Kecemerlangan profesionalisme keguruan


STANDARD Guru Malaysia (SGM), (2007) digubal sebagai garis panduan kepada institut pendidikan keguruan dan juga kepada semua pihak yang berkepentingan terhadap sistem pendidikan negara.

SGM juga memberi manfaat besar bukan sahaja kepada bakal guru tetapi juga kepada guru-guru dalam perkhidmatan yang boleh dijadikan sebagai rujukan, semakan, dan penilaian kualiti guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Terdapat tiga standard yang digariskan dan ianya berkaitan antara satu sama lain ke arah melahirkan guru yang seimbang dari segi sahsiah, ilmu, rohani dan kemahiran mereka.

Standard satu menggariskan tentang Amalan Nilai Profesionalisme keguruan iaitu satu usaha ke arah melahirkan guru yang mempunyai the towering personality, capable specialist with copable generalist yang mampu membina world view untuk lebih bertanggungjawab dan berkesan.

Seorang guru yang unggul berpegang kepada tiga paksi utama dalam rangka konsep Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan di mana segala pemikiran dan pandangan hidupnya hendaklah bersumberkan kepada Tuhan dan berasaskan kepada kemasyarakatan dan kenegaraan.

Sehubungan itu, seseorang guru harus mempunyai kualiti mengikut tiga domain iaitu domain diri, profesion dan sosial. Domain diri di antaranya meliputi nilai iman dan takwa, amanah, ikhlas, berilmu, kasih sayang, kesabaran, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, daya tahan, daya saing dan tahan lasak, cergas, aktif, sihat, kemahiran inter dan intrapersonal, semangat sukarela, dan efisyen.

Seseorang guru harus sentiasa mengamalkan ciri-ciri di atas dalam bilik darjah ataupun di luar bilik darjah. Ciri-ciri di atas melatih seorang guru yang mampu mengawal diri, memahami kehendak murid, serta mampu menghadapi cabaran dengan penuh kesabaran.

Domain Profesion pula ialah berkaitan dengan ketrampilan diri, integriti, teladan, mengamal kerja sepasukan, proaktif, dan kreatif. Domain ini memerlukan seseorang guru itu bekerja dengan ikhlas, jujur, dan bertanggugjawab.

Guru juga harus proaktif menjalankan tugas tanpa bergantung pada arahan. Mereka juga harus kreatif dalam penyampaian, pemilihan media dan penyusunan strategi pengajaran untuk menjadikan persekitaran interaksi guru-murid lebih menarik, menyeronok dan berkesan.

Domaian sosial pula menumpukan pada gabungan nilai yang melibatkan keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar. Dalam hal ini guru harus mewujudkan persekitaran belajar dan perhubungan yang harmoni serta mampu memupuk semangat cintakan kepada tanah air dalam semangat Gagasan 1Malaysia.


Oleh Dr. Ismail Zain
(Didasarkan pada Buku Panduan Standard Guru Malaysia 2007,
Bahagian Pendidikan Guru,
Kementerian Pelajaran Malaysia)
Sumber: http://www.tutor.com.my/

No comments:

Post a Comment