Saturday, September 4, 2010
Kepemimpinan ikut al-Quran, hadis berkesan
Pendekatan guna syariat Islam jamin keadilan, beri kebaikan kepada masyarakat
PENGERTIAN kemerdekaan negara dari sudut politik boleh difahami dengan erti negara memperoleh kebebasan untuk rakyat tempatan memerintah dan menentu bentuk penyusunan serta agenda pembangunannya sendiri.
Negara kita pernah ditakluk beberapa kuasa besar sejak 1511 bermula dengan Portugis, disusuli Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali kepada Inggeris sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari Inggeris pada 1957, seterusnya kewujudan Malaysia pada 1963.
Negara ditakluki dan dijajah kerana waktu itu tiada kekuatan untuk mempertahankan negara daripada pencerobohan penjajah selain lemah aspek ketenteraan dan ekonomi. Justeru, pengajaran untuk umat Islam hari ini supaya membina kekuatan bagi mempertahankan kemerdekaan.
Dari sudut Islam, kemerdekaan negara dicapai apabila kepemimpinan kerajaan mampu menerajui pemerintahan berasaskan pendekatan Islam. Bukan saja bebas daripada penaklukan fizikal penjajah, juga bebas daripada penjajahan ideologi ciptaan manusia.
Pengabdian kepada arahan Allah SWT bermaksud kerajaan mampu menyusun dan membangun negara bagi mewujudkan peradaban masyarakat berasaskan prinsip agama. Oleh itu, negara memerlukan barisan kepimpinan kerajaan yang berwibawa dan berketrampilan.
Kejayaan kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rasyidun disebabkan mutu kepimpinan yang luar biasa. Di samping memiliki ikatan keimanan yang jitu, mereka juga berkemampuan membina permuafakatan rakyat melalui penggubalan Perlembagaan Madinah serta menaikkan taraf hidup rakyat sehingga zaman Khalifah Umar Al-Khattab, kerajaan Islam berkembang dengan besarnya.
Kejayaan pemerintahan mereka diasaskan kepada kemampuan menghayati prinsip pengendalian negara berpandukan prinsip al-Quran iaitu prinsip memupuk keadilan dan kasih sayang dalam kalangan umat manusia.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu supaya kamu dapat mengambil pelajaran." (Surah An Nahl, ayat 90)
Prinsip al-Quran sangat sesuai dalam penyusunan masyarakat bernegara semasa dan ia patut diterjemahkan dalam kesemua aspek kehidupan. Keberkesanan kepemimpinan negara semasa memerlukan kepada kemampuan berperanan secara berkesan.
Keadaan semasa yang penuh persaingan memerlukan kepada kepemimpinan negara yang memahami perkembangan dalam negara, serantau dan dunia serta mampu mengendali negara untuk berperanan secara berkesan.
Dalam senario semasa, ajaran Islam kembali diberi perhatian oleh umat Islam. Arus kebangkitan minat masyarakat kepada Islam, golongan ilmuwan Islam perlu menguasai ilmu al-Quran dan hadis supaya pandangan hidup Islam dapat difahami secara sempurna.
Begitu juga dengan prinsip panduan al-Quran dan hadis dalam menyusun serta memajukan negara. Islam perlu dilihat sebagai pendekatan yang memberi kebaikan (rahmat) kepada masyarakat.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah Al-Anbiya, ayat 107)
Ulama besar, Shah Waliullah al-Dehlavi mengetengahkan kaedah mentafsir al-Quran untuk difahami dan dijadikan panduan kepada kehidupan manusia bermasyarakat dan bernegara.
Beliau memberi garis panduan pembahagian ayat al-Quran melalui kitabnya, Al-Fauzul Kabir Fi Usulit Tafsir (Prinsip-prinsip Dalam mentafsir al-Quran) yang membahagikan pengajaran al-Quran kepada lima bahagian.
Ilmu hukum, ilmu mempertahankan kebenaran dan menentang musuhnya, ilmu mengingat nikmat Allah, ilmu mengingati hari balasan Allah di bumi ini dan ilmu mengingatkan manusia di bumi ini akan mati dan kejadian yang berlaku selepas mati.
Dalam konteks memahami ilmu hadis, Shah Waliullah dalam kitab agungnya (Magnun Opus) Hujatullah-ul-Balighah membicara hadis mengikut aspek hikmat syarak iaitu sesuatu hukum agama selaras dengan kehendak fitrah insaniah.
Oleh itu, pentingnya kitab Hujatullah-ul-Balighah dalam konteks memahami ilmu hadis ialah untuk menghala pengkaji hadis supaya melihat pengertian hadis ke arah kepentingan hidup manusia di dunia dan akhirat kelak.
Selain menguasai ilmu al-Quran dan hadis, ulama dan kepemimpinan negara perlu menguasai ilmu untuk memahami masyarakat supaya prinsip al-Quran serta hadis dapat dilaksana dengan tepat dan berkesan.
Dalam era pertembungan tamadun dan budaya, Islam perlu dikemukakan sebagai pendekatan sempurna, canggih dan sesuai dalam kehidupan bermasyarakat pada zaman sekarang, seterusnya pada masa depan.
Pendekatan dan ramuan Islam dalam semua aspek penyusunan dan pengendalian negara perlu diketengahkan supaya menjadi panduan kepada kepemimpinan negara Islam melaksanakannya.
Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
http://www.bharian.com.my/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment