Mengapa kita perlu menderma darah?
Setiap hari darah diperlukan untuk menyelamatkan nyawa. Darah mungkin diperlukan untuk pembedahan mangsa kemalangan, atau merawat pesakit leukemia, barah, penyakit jantung, penyakit hati dan hemophilia. Sumbangan anda mungkin menyelamatkan mereka.
Siapakah yang layak untuk menderma darah?
Jika anda berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai berat badan melebihi 45kg. Pada amnya, pengambilan ubat tidak menjadi halangan untuk menderma darah kerana penerimaan dan penolakan berdasarkan laporan perubatan. Sekiranya anda mengambil sebarang ubat, sila beritahu sebelum menderma.
Adakah anda cukup sihat untuk menderma darah?
Anda harus cukup sihat jika hendak menderma darah. Kesihatan dan keselamatan anda amat penting. Anda akan diminta untuk mengisi borang persetujuan menderma darah di mana sejarah perubatan akan disoal. Tekanan darah dan setitik darah akan diambil untuk tujuan hemoglobin. Semua maklumat yang diberikan adalah sulit.
Adakah jarum itu menyakitkan?
Anda Cuma berasa sakit sedikit apabila jarum dimasukkan dan tidak lagi selepas itu.
Berapa banyak darah yang akan diambil?
Sebanyak 450ml, iaitu kurang dari 1 pain (586ml). Orang dewasa biasanya mempunyai lebih kurang 5 liter (10-12 pain) darah di dalam badan.
Bagaimanakah rasanya selepas menderma darah?
Kebanyakan orang merasa lebih selesa selepas menderma darah. Anda dinasihatkan supaya mengambil makanan ringan sebelum menderma darah.
Bolehkah kita melakukan aktiviti sukan selepas menderma darah?
Boleh. Cuma elakkan dari melakukan aktiviti yang berat untuk tempoh 5 jam selepas menderma darah. Banyakkan minum air dalam tempoh 24 jam.
Berapa lamakah masa yang diambil untuk menggantikan darah yang telah diderma itu?
Plasma digantikan semula dalam tempoh 24 jam. Anda perlu minum air 4 gelas tanpa alkohol dan jangan melakukan kerja berat dengan menggunakan tangan anda untuk tempoh 5 jam. Darah memerlukan jangkamasa 4-8 minggu untuk digantikan dan anda boleh menderma selepas itu.
Apakah yang akan dibuat kepada darah yang telah didermakan itu?
Darah anda akan diuji untuk menentukan kumpulan darah dan ujian saringan untuk jangkitan tertentu dilakukan. Kemudian, disimpan untuk kegunaan pesakit. Darah juga boleh diasingkan kepada beberapa komponen darah dan boleh digunakan untuk merawati lebih dari seorang pesakit.
No comments:
Post a Comment