Sunday, September 26, 2010

Rokok tingkat risiko pneumothorax?

AHMAD (bukan nama sebenar) berusia 29 tahun. Menjalani gaya hidup seperti lelaki muda yang lain, pada mata kasar dia kelihatan sihat dengan susuk tubuh kurus (tidak terlalu kurus) dan tiada sebarang penyakit.
Namun anak muda itu merokok. Walaupun begitu, dia tidak pernah lupa bersenam terutama menghabiskan masa bersama teman bermain badminton, futsal dan sebagainya. Dari segi pengambilan makanan, dia tidak cerewet namun tidak juga terlalu berhati-hati.

Suatu hari, secara tiba-tiba Ahmad mengalami kesakitan di bahagian dada yang teramat sangat. Tanpa berlengah, dia terus berjumpa doktor. Ahmad tidak pernah mempunyai sebarang sejarah penyakit berkaitan jantung atau paru-paru. Dia terkejut apabila doktor mengesahkan dia mengalami pneumothorax.

Apa itu pneumothorax?

Jarang berlaku, namun ia bukan sesuatu yang mustahil. Menurut Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Madya Dr. Mohd. Ramzisham Abdul Rahman, pneumothorax atau masalah pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga pleural antara paru-paru dan dinding dada berlaku apabila terdapat kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru atau paru-paru itu sendiri.

“Terdapat dua jenis pneumothorax. Yang pertama boleh berlaku secara tiba-tiba atau spontan dan ini dipanggil spontaneous pneumothorax. Masalah ini berlaku kepada mereka yang mempunyai gelembung udara nipis pada paru-paru sejak lahir dan apabila perubahan tekanan antara atmosfera dan rongga torasik berlebihan berlaku, ia akan pecah,” katanya.

Keadaan itu katanya, boleh terjadi kepada lelaki berusia antara 15 hingga 30 tahun dengan bentuk fizikal kurus dan tinggi.

“Sebanyak 10 peratus lelaki muda mengalami masalah ini dan di PPUKM sahaja, boleh dikatakan satu kes akan dirujuk setiap minggu,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, individu merokok meningkatkan lagi risiko pneumothorax. Dalam sesetengah keadaan, ia berlaku apabila kebocoran udara berterusan dari paru-paru ke rongga dada dan menyebabkan tekanan pada struktur dada termasuk saluran yang membawa darah kembali ke jantung.

Bila keadaan tersebut berlaku, pesakit akan mengalami sesak nafas, sakit dada, batuk-batuk dan mungkin pengsan. Keadaan itu boleh mengundang maut andai tidak dirawat dengan segera.

Jenis kedua pneumothorax pula kata beliau, berlaku disebabkan trauma fizikal seperti kemalangan melibatkan bahagian dinding dada seperti keretakan bahagian rusuk dan sebarang kecederaan tembus dada (tembak atau tikaman).

Selain itu, pneumothorax juga boleh berlaku sebagai kesan penyakit paru-paru, termasuk cystic fibrosis, penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), kanser paru-paru, asma dan jangkitan paru-paru.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Sumber: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment