Saturday, September 18, 2010

Bantu Anak Anda Belajar Dengan Lebih Baik

Cara untuk membantu anak anda belajar dengan lebih baik bukan terletak pada aktiviti atau teknik pengajaran, tetapi dengan membantu membentuk perkembangan emosinya.
 

Memahami gaya pembelajaran anak anda membina asas cara untuk mengajarnya. Menyemai tabiat pembelajaran yang baik juga penting dalam proses membantu anak anda belajar dengan lebih baik dan cemerlang di tadika. Cara asuhan sepanjang tahun-tahun awal membentuk emosinya. Ini penting dalam keupayaannya untuk belajar

Asuhan bukan sahaja tentang mendisiplin perangai anak anda tetapi juga mengajarnya cara mengawal emosinya. Para pakar telah mengenal pasti satu cara asuhan iaitu bimbingan emosi yang boleh membantu kanak-kanak membentuk ikatan kukuh dengan ibubapa mereka (sila rujuk kotak). Bimbingan emosi bermakna membantu pembangunan emosi kanak-kanak, mula-mula dengan membantu mereka memahami emosi mereka sendiri dan kedua, dengan ibu bapa bertindak balas terhadap emosi ini. Anda boleh melakukannya dengan cara berikut:

Berbual dengan anak anda

Tanya anak anda bagaimana perasaannya dan berikan perhatian sepenuhnya bila dia bercakap. Dengar dengan berempati. Beri galakan bila dia cuba mengenal pasti dan memberitahu anda perasaannya. Bantunya jika perlu.

Fahami perasaannya

Ketahui bagaimana perasaan anak anda dengan memerhatikan bahasa isyarat badannya, ekspresi wajahnya dan mendengar nada suaranya. Dengan kepekaan kepada komunikasi tidak verbal ini, anda dapat memberi sokongan dan simpati bila dia sedih, marah atau kecewa, dan bergembira bersama bila dia riang atau gembira.

Jawab pertanyaannya

Anak anda dalam usia prasekolah gemar bertanya. Cuba sedaya upaya untuk menjawabnya. Jangan bersikap acuh tak acuh atau menyuruhnya jangan mengganggu anda dengan soalannya. Anda membuatnya takut untuk bertanya dan hilang semangat untuk belajar. Jika anda tidak tahu jawapannya, luangkan masa untuk mencari jawapan bersamasamanya.

Bila anak anda membuat kesilapan

Pujuknya dengan memahami perasaannya selepas dia membuat kesilapan. Terangkan bahawa perasaan bersalah itu adalah normal. Bantu anak anda membetulkan kesilapannya. Dengan cara ini, anda memberikan penyelesaian kepada situasinya. Jangan memarahinya kerana ini hanya akan menjadikannya takut. Dia tidak akan belajar cara menyelesaikan masalah, mengulangi kesilapan sama dan menyebabkannya dimarahi lagi lalu menyangka dia tidak akan dapat melakukannya dengan betul.

Tetapkan batas

Meskipun semua perasaan – baik dan buruk – boleh diterima, bukan semua perangai boleh diterima. Sebagai contoh, dia marah dengan kawannya kerana menconteng bukunya tetapi itu tidak bermakna dia boleh memukul rakannya itu. Pastikan anak anda tahu apa yang diterima dan apa yang tidak patut dilakukan, dan bantunya mencari penyelesaian kepada masalahnya. Daripada tidak memukul kawannya, apa yang boleh dia lakukan?

Ikatan kukuh

Ikatan kasih merujuk kepada hubungan antara ibu bapa dan anak. Anak yang rapat dengan ibu bapanya akan mencari perlindungan daripada ibu bapanya, dan kurang takut bila ke tadika. Dia dapat berinteraksi dengan guru-gurunya, berkawan dengan kanak-kanak sebaya dan lebih mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Dia mempunyai kesungguhan untuk belajar, bersifat ingin tahu dan berani bertanya dan belajar daripada kesilapan. Dengan itu, dia lebih berkelakuan baik, kurang bermasalah dan dapat menyelesaikan pertikaian dengan lebih bijak. Bila dewasa, dia akan menjadi seorang yang bermaruah tinggi, yakin pada diri sendiri, mudah berkongsi perasaan dengan orang lain dan dapat mengekalkan hubungan dengan mereka.

Oleh Woo Pei Jun, Pakar Psikologi
Sumber: http://www.mypositiveparenting.

No comments:

Post a Comment