Friday, March 25, 2011

10 Kaedah bagi Meningkat Kebolehan Membaca



Tidak dapat dinafikan bahawa kebolehan membaca itu amat penting bagi membantu kejayaan anak-anak di dalam bidang akademik. Adakah anda masih tercari-cari dan pening untuk memikirkan kaedah terbaik untuk membantu anak anda membaca? Atau adakah anda tertekan kerana anak anda masih tidak dapat membaca, tetapi anak jiran anak yang seusianya sudah boleh membaca dengan lancar?

Adakah perlu kaedah ‘pukul’ yang sering diamalkan oleh masyarakat Malaysia adalah cara terbaik untuk memupuk kebolehan membaca dalam diri anak-anak? Adakah perlu sekiranya seorang ibu yang penyayang menjadi garang sekelip mata, semata-mata untuk mendisiplin anak supaya dapat membaca?

Sebenarnya, tidak perlu semua itu. Dan anda tidak perlu tertekan dan membanding-bandingkan kebolehan anak anda dengan anak orang lain. Ini kerana, kebolehan setiap kanak-kanak itu adalah berbeza-beza.

Walaubagaimanapun, saya tidak mengatakan bahawa anda perlu terus bertenang dan berdiam diri sahaja sekiranya anak anda tidak langsung mengenal huruf walaupun sudah berusia 6 tahun! Saya pasti anda mahukan yang terbaik untuk anak anda. Maka, di sini, saya ingin berkongsi 10 tips bagi meningkatkan kebolehan membaca anak anda di rumah. Kaedah ini bukanlah kaedah untuk membaca secara spesifik (seperti fonik), tetapi lebih kepada cara untuk meningkatkan minat membaca. Anda perlu melakukan kaedah yang disyorkan dalam keadaan yang tenang dan tanpa paksaan, daripada kedua-dua belah pihak – anak anda dan juga diri anda. Sekiranya anda dalam keadaan tertekan, perasaan tersebut akan dirasai oleh anak nda, dan keberkesanan pembacaan akan berkurang.

Sebaik-baiknya, bermulalah lebih awal, seawal usia anak 1 hari. Sebelum usia 3 tahun, adalah lebih mudah untuk anda membentuk minat membaca tersebut kerana anak anda belum mempunyai identiti tersendiri. Pada usia 5 tahun, identiti anak sudah mula terbentuk dan anda memerlukan masa dan ‘effort’ yang lebih banyak untuk memupuk minat tersebut. Walaubagaimanapun, ia masih berlum terlambat.

1. Tetapkan masa untuk anda membaca dengan anak setiap hari.

Kajian menunjukkan bahawa ‘reading out loud’ atau pembacaan yang konsisten kepada kanak-kanak memberi hasil yang memberangsangkan bagi meningkatkan pemahaman pembacaan, pengkayaan perkataan serta mengingat perkataan. Seterusnya, ini akan memupuk minat membaca dalam diri kanak-kanak tersebut.

2. ‘Limpahkan’ anak anda dengan sumber pembacaan.

Menurut kajian juga, kanak-kanak yang diberikan sumber pembacaan yang banyak menunjukkan keputusan yang lebih cemerlang dalam ujian. Sediakan bahan pembacaan yang boleh menarik perhatian anak anda, sesuai dengan usianya. Letakkan buku-buku atau majalah tersebut di mana-mana sahaja di dalam rumah/kereta anda – di dalam kereta, bilik tidur, ruang tamu, ruang menonton, dan sebagainya. Lebih banyak lebih baik.

3. Wujudkan ‘Masa Membaca Sekeluarga’

Wujudkan ‘Masa Membaca Sekeluarga’ sekurang-kurangnya dalam 15 hingga 30 minit setiap hari, di mana setiap ahli di dalam rumah membaca bersama-sama dengan senyap. Dengan melihat aktiviti rutin ini, anak anda akan minat untuk membaca. Aktiviti yang cuma memakan masa 15 minit sehari ini mampu meningkatkan kebolehan anak anda membaca dengan lancar.

4. Galakkan pelbagai aktiviti membaca

Jadikan membaca sebagai sebahagian daripada kehidupan anak anda. Galakkan mereka membaca menu makanan di restoran (walaupun mereka masih belum boleh membaca, berikan menu kepada mereka setiap kali di restoran), papan tanda di jalan, laporan cuaca, masa menonton wayang, dan pelbagai informasi harian yang lain. Selain itu, pastikan mereka ada sesuatu yang boleh dibaca ketika masa terluang seperti sedang menemani anda berjumpa dengan kawan anda, di dalam kereta, menunggu di klinik dan sebagainya.

5. Pupuk ‘hobi’ ke perpustakaan atau kedai buku.

Teruskan galakan untuk membaca dengan membawa anak anda ke perpustakaan terdekat setiap minggu, atau mungkin setiap dua minggu bagi mendapatkan bahan bacaan yang baru. Sekiranya anda mempunyai peruntukan khas untuk bahan bacaan, anda juga boleh ke kedai buku. Sesetengah kedai buku dan perpustakaan mempunyai program-program membaca khas untuk kanak-kanak yang mungkin boleh lebih meningkatkan minat anak anda untuk membaca.

6. Ketahui tentang perkembangan anak anda

Ketahui tentang kebolehan membaca yang perlu dicapai oleh anak anda pada usia tertentu. Ikuti perkembangan membaca anak anda. Walaubagaimanapun, seperti yang telah dikatakan, elakkan daripada memberi tekanan yang boleh menyebabkan anak anda benci pada membaca.

7. Pastikan samada anak anda mempunyai masalah membaca atau tidak.

Kadangkala, masalah membaca tidak dapat dikesan sehingga ia menjadi serius. Lihat samada anak anda boleh ‘membunyikan’ perkataan, tahu perkataan-perkataan yang sering digunakan (‘sight words’) dan faham apa yang sedang dibaca.

8. Dapatkan bantuan segera terhadap masalah membaca

Masalah ‘membaca’ tidak dapat hilang begitu sahaja. Lebih segera anak anda mendapat bantuan adalah lebih bagus untuk menjadikannya pembaca yang lebih hebat. Pastikan anak anada menerima pertolongan yang diperlukan daripada guru, tutor atau pusat pembelajaran sebaik sahaja masalah tersebut dikesan.

9. Gunakan pelbagai sumber bagi membantu anak anda

Bagi membantu anak anda untuk membaca, gunakan buku teks, program computer, ‘audio cd’ dan pelbagai lagi bahan yang boleh diperolehi di pasaran. ‘Games’ untuk membaca adalah satu pilihan yang bagus kerana anak anda akan berasa seronok tanpa menyedari bahawa dia sedang meningkatkan kebolehannya membaca.

10. Berikan semangat positif kepada anak anda

Reaksi anda amat mempengaruhi samada anak anda akan terus berusaha untuk menjadi pembaca yang bagus/lancar atau tidak. Maka, pastikan anda berikan semangat yang berterusan dan pujian yang ikhlas apabila anak anda berjaya mencapai sesuatu peringkat pembacaan.

Pupuklah minat anak membaca daripada sekarang, dan anda tidak perlu bersusah payah untuk bertegang urat atau duduk di sisi anak anda bagi memaksanya memegang buku untuk membaca. Anak anda akan dengan sukarela dan gembira membaca kerana minat yang mendalam dan sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Selamat mencuba!

http://littleleaders.wordpress.com /

No comments:

Post a Comment