Thursday, March 10, 2011

Apabila Maut Datang Menjemput

DIKISAHKAN bahawa malaikat maut (Izrail) bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s. Dia datang dengan bentuk manusia sehingga tidak seorang pun yang mengetahui kedatangannya selain baginda.

Pada ketika itu Nabi Sulaiman sedang berkumpul dengan beberapa orang sahabatnya. Semasa malaikat maut hendak pergi dia memandang salah seorang sahabat Nabi Sulaiman dengan pandangan yang aneh, lalu pergi.

Setelah malaikat maut pergi, sahabat Nabi Sulaiman itu bertanya: "Wahai Nabiyullah, mengapa ia memandang ku seperti itu?" Jawab Nabi Sulaiman: "Ketahuilah, dia itu adalah malaikat maut".

Kemudian sahabat Nabi Sulaiman itu berkata, "Wahai nabi, tiupkanlah angin dengan kencang, sehingga angin itu membawaku ke puncak negeri India, sesungguhnya aku berfirasat buruk".

"Apakah engkau akan lari dari takdir jika maut akan menjemputmu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Sesungguhnya Allah memerintahkan kita untuk mencari sebab-sebabnya. Dan, aku yakin bahwa engkau akan mengkabulkan permintaanku," kata sahabat Nabi Sulaiman itu.

Kemudian, Nabi Sulaiman memerintahkan kepada angin untuk membawanya ke tempat yang diinginkan.

Selang beberapa saat malaikat maut datang, Nabi Sulaiman bertanya: "Apa urusanmu dengan salah seorang sahabatku, mengapa engkau pandang dia seperti itu?"

Malaikat maut menjawab, "Aku memandangnya kerana tercatat didaftar kematian bahawa dia akan mati di sebuah negeri di India. Aku hairan, bagaimana dia dapat pergi ke sana sedangkan dia ada bersamamu? Kemudian, di tempat yang telah ditentukan, pada waktu yang telah digariskan aku lihat dia datang kepada aku dan aku cabut nyawanya".

Kisah di atas mengingatkan kepada kita bahawa malaikat maut akan selalu mengintai sesiapa saja yang masa perjanjiannya akan berakhir di dunia ini. Jika masa perjanjian itu berakhir maka tiada sesiapa pun dapat melarikan diri daripada maut.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan, maka apabila telah datang tempohnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. (al-A'raaf: 34)

Dalam ayat lain, Allah SWT menegaskan, Dan apabila (sampai ajal seseorang) datanglah 'sakaratul maut' dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya. (Qaf: 19)

Kita berjumpa doktor apabila sakit menimpa, kita makan apabila datang rasa lapar dan minum apabila haus, tetapi apabila kematian datang menjemput tiada tempat yang boleh kita lari atau meminta pertolongan.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...(an-Nisaa': 78)

Sebab itu, mari kita hayati dan renungkan pesan Rasulullah SAW agar kita tidak mensia-siakan peluang hidup yang diberi oleh Allah kepada kita semasa di dunia ini.

Janganlah kita dilalaikan oleh urusan dunia sehingga lupa membuat persiapan bekalan untuk mengadap Allah SWT.

Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Justeru, janganlah kita bertangguh-tangguh dalam berbuat kebaikan dan rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

Beribadatlah, dan perbanyakkanlah ibadat sunat di samping ibadat fardu semasa sihat sebelum datangnya kesakitan.

Bersedekahlah semasa masih kaya (berharta) sebelum ditimpa kemiskinan.

Berzikirlah sewaktu masih mempunyai kelapangan sebelum dilanda kesibukan, misalnya di waktu pagi sebelum melakukan kerja-kerja harian dan di waktu petang setelah selesai bekerja.

Atau kita boleh sahaja berzikir sambil memandu ke tempat kerja terutama sewaktu kita terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di bandar utama khasnya Kuala Lumpur.

Carilah keperluan dunia dan akhirat semasa masih muda dan mempunyai kekuatan tenaga sebelum datangnya tua dan tidak mempunyai kekuatan.

Beramallah di sini (semasa berada di dunia) semasa hidup kerana ia berguna selepas kematian nanti (semasa di akhirat). Di sana kita tidak lagi dapat beramal.

Susunan ZULKIFLE BAKAR
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment