Tuesday, March 15, 2011

Jasmani, Rohani Bersih Tubuh Menjadi Kuat


PERSEKITARAN bersih membolehkan kita hidup ceria tanpa ancaman penyakit. Tempat kotor selalu menjadi sarang pelbagai serangga seperti lalat selain nyamuk aedes yang membawa virus demam denggi. Justeru, kebersihan amat penting demi kesihatan diri, keluarga dan masyarakat.

Ada rakyat yang tidak prihatin mengenai kebersihan sama ada di dalam mahu pun di luar rumah menyebabkan penyakit mudah menular. Contoh, wabak penyakit tangan, kaki dan mulut yang menyerang Sarawak pada 1997 kembali berulang pada 2006. Akibatnya beberapa tadika dan sekolah rendah di negeri terbabit terpaksa ditutup.

Begitu juga pada 2009 wabak Influenza A (H1N1) menular di negara ini menyebabkan beberapa sekolah ditutup sebagai langkah mengelakkan penyebarannya.

Justeru itu, dalam Islam soal kebersihan diberi perhatian utama dalam kehidupan, terutama ketika mengerjakan ibadat. Islam menekankan pentingnya kebersihan dalam semua sudut kehidupan, termasuk jasmani dan rohani. Rasulullah bersabda: “Bersihkan dengan apa terdaya. Allah mendirikan Islam ini atas dasar kebersihan, tidak akan masuk syurga melainkan orang yang bersih.”

Ulama menyifatkan kebersihan sebahagian daripada iman. Kebersihan bukan saja pada alam sekitar malah lebih penting ialah kebersihan diri kita.

Diri yang sentiasa bersih dituntut agama. Justeru, kita disarankan sentiasa dalam keadaan berwuduk tidak kira tempat atau masa. Berwuduk bererti bersih daripada segala najis dan hadas.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Umat (kelak di hari kiamat) akan dipanggil putih bersinar kerana bekas wuduknya (di dunia dahulu).” (Hadis riwayat Bukhari)
Satu hakikat yang tidak boleh kita nafikan ialah kebersihan itu asas kesihatan. Tubuh yang sihat datangnya daripada diri yang bersih jasmani dan rohaninya.

Bagi umat Islam, kebersihan jasmani adalah syarat mutlak apabila hendak melaksanakan ibadat kepada Allah SWT terutama ketika mendirikan solat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Apabila kamu mengerjakan solat, basuhlah mukamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku. Sapulah kepalamu dan basuhlah kedua belah kakimu meliputi buku lali. Sekiranya kamu junub maka bersucilah. Sekiranya kamu sakit, atau pun dalam pelayaran atau pun salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau pun kamu sentuh perempuan sedang kamu tidak mendapat air, bertayamumlah dengan debu yang bersih. Sapulah mukamu dan kedua tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak menjadikan kamu bagi menanggung kepayahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Maidah ayat 6)

Sesungguhnya Allah amat mencintai hamba-Nya yang sentiasa menjaga kebersihan. Kebersihan itu sama taraf dengan taubat seperti firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah ayat 222).

Dalam soal menjaga kebersihan ini, elok kita jadikan warga Jepun sebagai contoh. Orang Jepun menurut Dr Maseke Sinami, sentiasa menjaga kebersihan peribadi mereka dengan sempurna. Apabila mereka habis makan, orang Jepun terus membersihkan gigi mereka. Tanpa tangguh sekitar tempat makan juga dibersihkan.

Di luar rumah juga orang Jepun begitu mengambil berat soal kebersihan. Sampah sarap mereka kumpulkan mengikut klasifikasi berbeza: plastik, kaca, elektronik dan sampah dapur. Tong sampah mereka juga sentiasa kelihatan bersih. Hasilnya, kita sukar melihat lalat dan tikus berkeliaran di sekitar tong sampah mereka.

Sesungguhnya kebersihan itu bermula daripada diri kita sendiri. Jika kita mencintai kebersihan dalam semua aspek kehidupan, di samping menjaga soal pemakanan, pastilah diri kita akan sihat sekali gus dapat menghindarkan diri kita dan keluarga kita dari dihinggapi wabak penyakit. Sihat adalah nikmat hidup yang tidak ternilai tetapi kita selalu lalai menjaganya, hingga Rasulullah SAW mengingati umatnya melalui hadis yang diriwayatkan Bukhari maksudnya: “Dua kenikmatan yang sering dilalaikan oleh manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”

Oleh: Ahmad Sabki Mohd Tahir
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers