Wednesday, March 23, 2011

Ingin Tahu: Penggalak Pembelajaran

Anak anda bukannya ingin menyibuk apabila banyak bertanya. Mereka sememangnya dilahirkan dengan sifat ingin tahu.

Kanak-kanak sememangnya berminat untuk belajar dalam tahun perkembangan mereka. Mereka ingin tahu tentang semua yang berlaku di sekeliling mereka. Apa sahaja yang mereka lihat, dengar dan bau adalah seperti misteri yang menanti untuk disingkap. Keingintahuan adalah keinginan semulajadi untuk belajar, menjelajah, membuat penemuan dan memahami banyak perkara.

Anakku, Milikilah Sifat Ingin Tahu


Seorang kanak-kanak yang memiliki sifat ingin tahu akan terus menjelajah dan belajar, mungkin sehingga zaman dewasanya. Oleh itu, menyokong kebolehan semulajadi anak anda untuk bersikap ingin tahu akan membantunya menjadi pelajar sepanjang hayat. Anak anda berpeluang untuk mengembangkan kreativitinya dan belajar menyelesaikan masalah secara sendiri.

Sebagai ibu bapa, anda boleh memberi peluang dan persekitaran untuk membantu memupuk sifat ingin tahu anak anda:
  • Kerap mendedahkan mereka kepada pengetahuan dan pengalaman baru menerusi membaca, aktiviti luar dan bermain pelbagai permainan.
  • Galakkan mereka untuk bertanya jika mempunyai sebarang soalan, dan bantu mereka mencari jawapannya. Anda ingin pelajar kecil anda tidak merasa takut untuk bertanya atau menguji idea baru
Cara Menggalakkan Sifat Ingin Tahu dan Pembelajaran Anak

Alam semulajadi

Bawanya berjalan di taman atau hutan. Alam semulajadi merupakan salah satu sekolah terbaik. Ia penuh dengan bahan mengajar semulajadi (contohnya tumbuh-tumbuhan, serangga) yang akan menggalakkan minda yang bersifat ingin tahu serta gemar menjelajah.

Muzium, zoo dan akuarium

Kunjungi tempat ini bersama. Artifak dan makhluk, hidup atau mati, akan membangkitkan sifat ingin tahu dan imaginasi kanak-kanak. Ia merupakan cara yang lebih menarik untuk belajar tentang sejarah dan sains kehidupan.

Permainan

Biarkan anak anda main permainan yang memberi peluang untuk mereka bertanya soalan. Sebagai contoh, pilih satu objek dan galakkan dia bertanya soalan yang boleh membantu meneka objek tersebut

Daripada Kekaguman kepada Kekecewaan

Apabila cuba menggalakkan kebolehan semulajadi anak anda untuk berfikir dan bertanya soalan, ada kalanya anda mungkin akan mendapati soalan yang ditanya agak menjengkelkan, terutama sekali apabila anda sibuk. Anda juga mungkin tidak akan rasa selesa menjawab soalan tertentu atau kecewa kerana tidak tahu jawapannya.

Walaupun demikian, berhati-hatilah supaya tidak terlalu cepat mengetepikan semangat ingin tahu dengan meminta anak anda berhenti bertanya atau tidak menghiraukan soalannya. Respon seperti ‘jangan ganggu’ atau ‘jangan tanya’ boleh menenggelamkan semangatnya dengan mudah. Ini akan turut menjejaskan proses pembelajaran zaman awal kanak-kanak yang kritikal.

Mungkin ada sebab di sebalik soalan yang ditanya, seperti ingin mendapatkan perhatian anda atau tidak puas hati dengan jawapan yang diberi. Tidak kira apa sebabnya, anda boleh mencuba cara berikut untuk mengendalikan situasi berbeza.
  1. Jika anak anda sering menanya soalan yang sama, cuba tanya jika dia tahu akan jawapannya. Dia mungkin akan menjawab soalannya sendiri dan berhenti menanya. Kadang-kala dia hanya mahukan perhatian atau persetujuan anda.
  2. Jika anda sibuk, beritahunya anda akan menjawab soalannya kemudian. Tidak menghiraukan anak anda atau soalannya hanya akan membiarkan anak anda mencari jawapannya sendiri. Jawapannya mungkin salah atau mengelirukan.
  3. Jika anda tidak tahu jawapannya, berterus-terang atau beritahunya anda akan mencari jawapannya dan akan berkongsi dengannya. Jelaskan dengan baik supaya dia akan berhenti bertanya soalan yang sama.
  4. Apabila berhadapan dengan soalan sukar, minta sedikit masa untuk berfikir tentangnya. Ini membolehkan anda merancang respon terbaik yang bersesuaian dengan usia anak anda. Jangan menipu kerana dia mungkin tidak akan mempercayai anda lagi jika didapati tertipu.
  5.  Anda juga boleh menggalakkan anak anda untuk mencari jawapannya sendiri dengan mengunjungi perpustakaan, atau mendapatkan bantuan ahli keluarga lain atau guru sekolah
Oleh Dr Yen Teck Hoe, Pakar Perunding Psikiatri
Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers