Tuesday, March 22, 2011

Jangan Takbur


AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menerangkan pada permulaan surah ini bukti-bukti yang nyata tentang keesaan, kekuasaan, kebijaksanaan dan ketelitian ciptaan-Nya. Allah SWT meneruskan keterangan-Nya dengan menerangkan kenapa manusia derhaka, sombong dan menentang-Nya.

Puncanya adalah cinta dan sibuk dengan urusan keduniaan serta menumpukan sebahagian besar kehendaknya untuk mencapai kesenangan dunia semata-mata. Natijahnya, hati manusia menjadi buta dan lalai terhadap penciptanya dan tidak melaksanakan kewajipan terhadap-Nya.

Pada saat cukup dan berkemampuan, berpengaruh dan berkedudukan, dia sepatutnya lebih memerlukan Allah SWT berbanding ketika miskin dan fakir. Ketika kefakiran, cita-citanya hanyalah keselamatan sendiri dan keluarga sahaja.

Pada saat beroleh kekayaan pula, selain berita-citakan keselamatan diri dan keluarga, ia juga bercita-cita mengekalkan keselamatan kekuasaan, pengaruh dan harta kekayaannya.

Tafsiran Ayat

Firman Allah SWT: Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Kerana dia melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut: Maksud orang yang melampaui di sini adalah Abu Jahal. Ini kerana apabila dia memperolehi harta beliau melakukan penjarahan dan takbur.

Sayid Qutub berkata: Allah itulah yang telah memberikan rezeki dan mengurniakan kekayaan kepada manusia di samping menciptakan mereka, memuliakan mereka dan mengajar ilmu pengetahuan kepada mereka. Tetapi manusia pada umumnya, kecuali mereka yang dilindungi imannya, tidak bersyukur apabila diberi nikmat harta hingga mereka kaya-raya.

Mereka tidak mengenal punca nikmat yang menjadikan mereka kaya iaitu punca yang telah mencipta dan memberi ilmu pengetahuan dan rezeki kepada mereka. Mereka bertindak melampau, sombong dan takbur, sedangkan sepatutnya mereka mengenal Allah dan bersyukur kepada-Nya.

Sesudah ayat ini menunjukkan gambaran manusia pelampau yang lupakan asal kejadiannya dan berlagak takbur serta sombong kerana merasa sudah kaya, maka ia iringi pula dengan ancaman secara tidak langsung.

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers