Monday, March 14, 2011

Perniagaan Keluarga

Menurut Ward (1987) sesuatu perniagaan dianggap perniagaan keluarga apabila terdapat sekurang-kurangnya dua generasi dalam satu keluarga menjalankan sesuatu perniagaan. Pandangan ini telah diperkembangkan oleh Wendy (1989) apabila mereka menyatakan sesebuah perniagaan dikategorikan sebagai perniagaan keluatga apabila perniagaan tersebut dimiliki dan dikawal oleh satu keluarga atau lebih untuk tempoh masa tertentu.

Manakala Lea (1991) telah mentakrifkan perniagaan keluarga secara lebih komprehensif sebagai perniagaan yang dimiliki sama ada oleh semua atau majoriti ahli-ahli dalam sesebuah keluarga. Ia mungkin diketuai oleh seoreang pengasas dengan dibantu oleh isteri, anak-anak, cucu-cucu atau ahli-ahli keluarga pengasas yang lain sebagai kesinambungan kepada perniagaan yang telah diasaskan oleh generasi pertama. Perniagaan keluarga mungkin dalam bentuk milik tunggal, perkongsian, syarikat sendirian berhad atau syarikat umum berhad yang mana satu keluarga memiliki saham majoriti yang membolehkannya mengekalkan, menguasai dan menjamin kepentingannya. Sifat yang membezakan perniagaan keluarga daripada perniagaan lain ialah satu keluarga yang memiliki dan mengoperasikannya terlibat secara langsung dalam pengurusan berkaitan dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan.

Seterusnya, mengikut Rosenblatt dan lain-lain (1985) telah terlebih dahulu mendefinisikan perniagaan keluarga sebagai suatu perniagaan yang mana majoriti pemilikannya atau kawalan adalah di bawah pegangan satu keluarga di mana dua atau lebih ahli keluarga terlibat secara langsung dalam perniagaan yang dijalankan. Definisi ini selari dengan pandangan yang dibuat oleh Lea (1991) apabila beliau telah menyatakan perniagaan keluarga sebagai suatu perusahaan/perniagaan yang wujud dan berkembang daripada kehendak keluarga itu sendiri. Ia dibentuk berdasarkan kemampuan keluarga iaitu bekerja dengan kebolehan dan kemahiran yang berlandaskan kepada nilai-nilai moral dan budaya yang dimiliki oleh keluarega berkenaan.

Manakala Bork (1993) menyatakan perniagaan keluarga dimulakan oleh keluarga dan diteruskan atau dijangka diteruskan oleh generasi yang berjaya dalam keluarga. Pandangan ini didapati selaras dengan pandangan yang diberikan oleh Ward (1987) menyatakan sesebuah syarikat sebagai perniagaan berkeluarga apabila ia dapat diperturunkan kepada sekurang-kurangnya dua generasi dalam keluarga yang saling mempengaruhi terhadap polisi, kepentingan dan objektif syarikat.

No comments:

Post a Comment