Wednesday, March 9, 2011

Malaikat Bantu Tentera Islam


SETELAH pasukan tentera Islam mencapai kemenangan di Badar mengalahkan tentera Quraisy, Rasulullah SAW segera menyampaikan berita gembira itu kepada para pengikut baginda yang lain di Madinah.

Dua orang sahabat, iaitu Abdullah bin Abi Rawahah dan Zaid bin Harithah diutuskan bagi menyampaikan berita itu sementara baginda masih di Badar dalam persiapan untuk pulang ke Madinah.

Sebelum itu, di Madinah telah tersebar berita palsu atau fitnah apabila golongan Yahudi dan munafik.

Mereka memberitahu, Rasulullah terbunuh di medan Badar dan tentera Islam mengalami kekalahan teruk.

Buktinya apabila Zaid bin Harithah pulang ke Madinah menyampaikan berita itu dengan menunggang unta milik Rasullullah yang bernama Al Qaswa.

Apabila daripada jauh mereka melihat Zaid menunggang unta itu dan ditunjukkan kepada para penduduk Madinah yang lain, maka mereka pun berkata: "Memang benarlah Muhammad telah mati dibunuh. Bukankah unta yang dinaiki oleh Zaid itu kita sangat kenal? Zaid pun tidak tahu untuk berkata-kata apa kerana takut dan pulang bagai orang yang tewas."

Namun apabila kedua-dua utusan itu sampai di tengah-tengah orang ramai yang mula berkerumun untuk mengetahui berita yang dibawa, mereka begitu terkejut.

Lebih-lebih lagi apabila Abdullah dan Zaid melaung-laungkan: "Sudah terbunuh Abu Jahal yang fasiq itu! Telah terbunuh juga Utbah, Umayyah, Syaibah dan Abu Al Buhturi!"

Penduduk Madinah menjadi terpinga-pinga. Ini kerana ada juga yang mengetahui bahawa Nabi SAW dan para sahabat keluar dari Kota Madinah untuk menyekat rombongan dagang Abu Suffian.

Jadi apa kena mengena nama-nama yang disebutkan tadi dengan kafilah Abu Suffian itu?

Bagaimanapun, apabila Abdullah dan Zaid memberitahu perkara yang sebenar dan kemenangan yang mereka capai, barulah penduduk Islam Madinah bersorak sorai kegembiraan.

Mereka bertakbir dan berselawat meraikan kemenangan yang tidak disangka-sangka itu.

Namun bagi golongan Yahudi dan munafik di Madinah tetap tidak percaya dengan berita gembira yang dibawa oleh Abdullah dan Zaid itu. Bagaimana Muhammad yang pergi menyekat kafilah yang sangat besar itu datang membawa cerita bahawa semua panglima Mekah tewas di tangan Nabi Muhammad. Sekali gus juga 70 orang pahlawan Mekah tewas.

Walaupun golongan ini cuba menyebarkan fitnah mengatakan bahawa Nabi Muhammad sebenarnya telah mati dibunuh berikutan unta yang ditunggang oleh Zaid itu, mereka tidak dapat menyekat para pembesar yang beramai-ramai keluar dari Madinah kerana tidak sabar untuk menemui Nabi SAW.

Ketika tiba di Al Rawha, mereka pun bertemu dengan rombongan baginda di situ. Di situ baginda menerima ucapan tahniah dan begitu gembira berkongsi kejayaan dengan pasukan tentera Islam yang lain.

Salah seorang daripada mereka, iaitu Salamah bin Abi Sa'lamah pun berkata: "Apa sebabnya kami mengucapkan tahniah kepada kamu? Demi Allah kemenangan ini tidak lain kecuali kerana dibantu oleh orang-orang tua yang botak kepalanya tetapi gagah perkasa mengalahkan seekor unta yang garang!"

Sambil tersenyum baginda pun berkata: "Wahai anak saudaraku, mereka itu sebenarnya para malaikat yang turun membantu!"

Sementara Usaid bin Hudayr pula berkata: "Wahai Rasulullah, syukur kepada Allah yang memberi kemenangan kepadamu dan mententeramkan kamu. Demi Allah, wahai Rasulullah, kalaulah aku tahu bahawa kamu akan bertemu dengan musuh besar dalam suasana perang nescaya pasti aku juga ingin turut menyertai dalam peperangan ini.

"Kerana tidak menyangka bahawa kamu keluar sebenarnya untuk menghadapi sebuah angkatan perang dari pihak Quraisy".

"Kamu benar, semuanya sebagaimana dalam perancangan Allah," jawab baginda.

Tidak lama kemudian, mereka pun semakin menghampiri Kota Madinah dan makin ramai penduduk Madinah yang menyambut baginda dan anggota tentera yang lain. Saat itu bagai pesta bagi seluruh penduduk Madinah menyambut kemenangan tentera Islam.

Namun di saat itu juga seluruh golongan Yahudi hanya mampu melihat daripada jauh kepulangan yang penuh dengan kemenangan itu dengan pelbagai perasaan yang tidak kurang juga gerun di hati.

Kemenangan di Badar bererti umat Islam bukan lagi calang-calang yang boleh dikalahkan. Begitupun, kepulangan Rasulullah dalam keadaan tidak mengalami sebarang kecederaan itu persis pahlawan yang gagah berani telah menarik lebih ramai penduduk Madinah memeluk Islam.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers