Monday, March 14, 2011

Mencintai Diri Sendiri


DAN hendaklah ada di antara kamu satu pihak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.

Potongan ayat Allah SWT daripada surah Ali Imran ayat 104 ini menjadi titik tolak kepada Arif Muazzim Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan panggilan Amar menghasilkan buku motivasi berjudul Transformasi Cinta Pertama Remaja.

Ditambah pula dengan kes-kes remaja sekolah menengah yang sudah pandai mencari keseronokan dengan meminum air ketum dan gadis-gadis Melayu yang semakin liar berpacaran sehingga melahirkan anak zina.

Tidak kurang juga para belia yang sangat dahagakan hiburan sehingga lupa diri dengan mengunjungi kelab-kelab hiburan. Lebih menyedihkan, sampai kepada pengambilan pil-pil khayal yang lambat laun merosakkan otak.

Insiden ini lebih menguatkan semangat dan menjadi pemangkin kepada artis nasyid solo tanah air ini untuk terus melahirkan buku-buku terutamanya yang berbentuk motivasi diri.

Antaranya; Anda Mampu Melakukannya, Dunia Kartun Motivasi Amat dan beberapa buku dunia silap mata.

Malah atas dasar tanggungjawab dan kasih sayang semasa Islam untuk berkongsi serba sedikit ilmu yang dimilikinya, sekali gus menyumbang kepada dakwah Islamiah di negara ini.

Daripada kacamata penulis sebagai seorang insan biasa yang suka memerhati dan berfikir, mutakhir terlalu ramai yang tidak menaruh rasa cinta dan sayang kepada diri sendiri. Ini kerana apabila di sebut cinta, fikiran dan perasaan kita lebih terarah kepada cinta dengan insan lain.

Lantas, para remaja khususnya perlu ditekankan dan dijelaskan mengenai kepentingan mencintai diri sendiri sebelum mencintai orang lain. Perlu diterangkan bahawa mencintai diri sendiri bukannya bermaksud ia suatu tindakan yang mementingkan diri sendiri.

Ini kerana, kecintaan terhadap diri sendiri mampu memberikan kekuatan untuk membentengi diri daripada segala kemungkaran dan kejahatan.

Konsep mencintai diri sendiri sebagai cinta pertama adalah suatu pendekatan yang praktikal dan tepat untuk dilaksanakan, apatah lagi Amar menerusi buku ini memberi jaminan konsep ini mampu mengubah jati diri pembaca ke arah kebaikan dunia dan akhirat.

Malahan mencintai diri sendiri terlebih dahulu bukan sahaja dirasai faedahnya oleh diri sendiri tetapi masyarakat dan makhluk di sekeliling kita.

Contohnya, seorang Muslim yang memberi makan jirannya yang kelaparan kerana miskin. Dia bukan sahaja mencintai dirinya tetapi juga jirannya kerana jika dia tidak menunaikan hak jirannya, maka dia akan disoal oleh Allah SWT di hari akhirat. Dia akan dimurkai Allah SWT.

Buku ini adalah kesinambungan buku pertama Amar berjudul Anda Mampu Melakukannya. Kalau menerusi buku ini, pembaca mampu menguasai minda dengan mengatakan bahawa kejayaan dan kecemerlangan bukan milikan orang tertentu sahaja tetapi adalah milik semua orang yang mempunyai keinginan dan istiqamah untuk mencapainya. Apa lagi, semua manusia itu dilahirkan untuk berjaya dan cemerlang.

Namun dalam buku terbaru Amar ini, ia memfokuskan kecintaan kepada diri sendiri. Dua ciri penting orang yang mencintai diri sendiri sebagai cinta pertama adalah melakukan kebaikan, menjauhi kemaksiatan dan melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan.

Buku ini juga dihasilkan daripada pemerhatian, pembacaan buku-buku ilmiah, pengalaman memberi motivasi kepada pelajar-pelajar, melalui input-input yang diperoleh menerusi ceramah serta kesimpulan daripada segala sumber di atas.

Terdapat 12 bab dengan tajuk-tajuk yang menarik antaranya; Fantasi Cinta, Berpakaian atau Tidak?, Cintakan Dunia, Kayu-kayan dan Haiwan, Penyakit-penyakit Cinta Dunia, Ubat Hati, Cinta Pertama Penyelamat Diri, Adakah Kita Hamba Yang Bersyukur, Rebut 5 Perkara Sebelum Datang 5 Perkara, Golongan yang Dilindungi Allah, Jadilah Bintang Yang Bersinar, '5F' Penghalang Cinta Pertama dan Jauhi Dosa, Tambahkan Pahala.

Semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada semua golongan terutamanya golongan remaja.

Usaha ini diharapkan akan menjadikan kita sama-sama menggapai kecemerlangan yang seimbang di dunia dan di akhirat.

Oleh: ZUARIDA MOHYIN

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment